BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Search This Blog

Selamat Datang

Selamat datang kepada semua rakan,sahabat,guru,bekas pelajar SMK Marudi dan pelajar SMK Marudi yang sedang menuntut di SMK Marudi ke laman blog saya ini.

Followers

Friday 30 April 2010

Renungi Kehidupan...Ingati Kematian.


          Setiap yang bernyawa pasti akan mati, begitu jugalah dengan manusia tiada seorang pun boleh lari dari ajalnya yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, di mana bila ajal seseorang itu telah sampai malaikat Izrail tetap akan mencabut nyawanya tidak kira di mana seseorang itu berada. Sebagaimana Firman Allah dalam surah al-Jumu’ah ayat 8:
Yang bermaksud : "Katakan (wahai Muhammad) sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan nyata, lalu ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya).

         Begitulah apabila nyawa seseorang telah terpisah daripada jasadnya, maka tinggallah segala apa yang dimilik sama ada ahli keluarga, saudara mara dan harta benda yang akan diwarisi oleh kaum keluaga. Jasad yang terbujur kaku akan diurus dan dihantar ke kubur untuk dikebumikan. Pada saat itu, terpisahlah ia ke alam lain iaitu alam kubur atau alam barzakh sementara menunggu hari pembalasan di akhirat.

        Para alim ulama pernah berkata, kehidupan di dunia yang sementara ini, kadang-kadang menjadikan manusia lupa tentang kehidupan di alam akhirat yang kekal abadi. Maka kehidupan di dunia ini dianggap sebagai godaan terbesar yang boleh memesongkan manusia dari mengingati Allah SWT, kecuali bagi orang-orang yang berjaya mengurus kehidupan mereka dengan ketakwaan kepada Allah SWT, yang mana ketakwaan tersebut menjadi jambatan emas menuju ke syurga. Persoalannya, mengapa Islam menyuruh umatnya untuk sentiasa mengingati mati?.

Pertama, di antara sebab kenapa Islam menganjurkan umatnya supaya mengingati mati ialah, kerana manusia yang sentiasa mengingati mati akan dapat mendidik jiwanya menjadi randah diri, tidak resah gelisah, tidak lupa diri dan sombong bahkan bersedia untuk menempuh kehidupan yang kekal abadi di akhirat.

Kedua, mengingati mati adalah suatu kejadian yang pasti akan dialami oleh setiap manusia dan mati juga suatu perkara yang tidak dapat dihindarkan walau dengan apa cara sekalipun dan ianya pasti berlaku ke atas setiap diri manusia. Namun begitu, mengingati mati itu, bukanlah bermaksud memaksa diri untuk segera mati atau sengaja mendedahkan diri kepada kematian.
Ketiga, mengingati mati menjadikan diri seseorang itu lebih bersedia dan merancang kehidupan sebelum mati dan dapat mengingatkan dirinya untuk berhadapan dengan mati, dengan itu dia terdorong untuk meningkatkan ketakwaan dengan memperbanyakkan amal ibadah sebagai bekalan untuk bertemu dengan Allah SWT.

         Sebaliknya, bagi orang yang melupakan tentang kematian merupakan kesuatu perbuatan yang tidak dapat diterima akal dan termasuk di kalangan orang yang tidak bijak merancang masa depan, kerana sesungguhnya dengan mengingati kematian itu memberi kesedaran dan peringatan tentang kehidupan di dunia yang dilaluinya dan kehidupan di akhirat yang bakal ditempohi.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Jabir yang bermaksud:
"Apabila seseorang dimasukkan nur (cahaya keimanan) maka hatinya akan menjadi lapang dan terbuka. Lalu sahabat bertanya : Apakah tandanya hati yang lapang dan terbuka itu?. Jawab Rasulullah SAW : Ada perhatian terhadap kehidupan yang kekal di akhirat dan timbulnya peringatan tentang tipu daya ini dan orang bersiap sedia mengahadapi mati sebelum datangnya ajal".

         Apabila seseorang telah disemadikan jasadnya di dalam kubur, pastinya ia keseorangan, tiada lagi kawan-kawan, tiada lagi ahli keluarga, tiada lagi tempat untuk mengadu dan memohan pertolongan. Bagi orang yang beriman kehidupan mereka di alam kubur dipenuhi dengan segala macam kenikmatan kurniaan Allah SWT. Sebaliknya bagi orang yang syirik, kufur dan ingkar terhadap suruhan dan perintah Allah sudah pasti seksaan dan azab kubur diterima sebagai tanda hukuman yang akan diterima di hari akhirat.

              Oleh itu, sebelum jasad diusung ke tanah perkuburan dan disemadikan disana, marilah kita memperkasakan diri dengan keimanan yang mantap dan ketakwaan yang sebenar-benarnya kepada Allah SWT. Di samping kita juga berdoa supaya kita termasuk di kalangan orang-orang yang soleh yang sentiasa memperbanyakkan amal ibadah tanpa jemu dan putus asa yang mana bekalan amal soleh sahajalah yang dapat menyelamatkan manusia dari azab kubur dan seksaan di akhirat. Janganlah kita menjadi seperti orang yang hanya mengaku beriman di mulut sahaja sedangkan di dalam hati masih kufur kepada Allah dengan perilaku seharian seolah-olah mempersenda-sendakan ajaran islam.



Oleh itu, kita semua perlu sentiasa bersedia untuk mengahadapi kematian dengan berlumba-lumba melaksanakan perkara kebaikan dengan berbekalkan keimanan dan amal soleh. Disamping menginsafi diri dengan perkara-perkara berikut:

1. Kehidupan sesudah mati jauh lebih penting daripada kehidupan sebelum mati. kerana itulah, segala apa yang dimiliki daripada nikmat dunia ini tidak memberi manfaat di hari akhirat kecuali keimanan kepada Allah dan amal soleh yang sebenar-benarnya.

2. Islam menganjurkan umatnya mengingati mati supaya kesempatan hidup ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya sesuai dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abi Bakrah RA:
Maksudnya : "Dari Abi Bakrah dia mendengar daripada bapanya bahawasanya seorang lelaki bertanya Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling baik? Jawab Baginda: Orang yang pangjang umurnya dan baik pula amalannya. Ia bertanya lagi: Siapakah orang yang paling jahat? Jawab Baginda: orang yang pangjang umurnya dan jahat pula amalannya".

3. Sewaktu di alam kubur kita akan didatangi oleh dua malaikat iaitu Munkar dan Nakir untuk menyoal dengan beberapa pertanyaan. Bagi orang yang beriman dan melakukan amal soleh semasa hayatnya di dunia, dia akan dapat menjawab dengan mudah dan lancer, pada saat itu kuburnya diluaskan dengan seluas-luasnya serta dipenuhi dengan pelbagai nikmat yang berkekalan sehinggalah dibangkitkan pada hari kiamat. Sebaliknya jika gagal menjawab pertanyaan tersebut, kubur akan disempitkan dan diberikan azab seksa sehinggalah berlakunya hari kiamat.



Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya : "Sesungguhnya kubur itu, adalah singgahan pertama ke akhirat, sekiranya yang singgah itu terselamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih mudah lagi. Dan jika tidak selamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih sukar lagi".

Yang bermaksud : "Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak pinak, harta benda yang banyak berpikul-pikul dari emas dan perak, kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan ingatlah pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga)." (Surah Ali-Imran ayat: 14)

semoga pembaca berolah manfaat dan keberkatan.......
sampaikanlah ilmu walaupun satu ayat.

Thursday 29 April 2010

Gaya Hidup Di Dunia Membayangi Ahli Syurga atau Neraka.

     
  “Gaya Hidup Di Dunia Membayangi Ahli Syurga Atau Neraka”. Sebagai seorang Muslim kita wajib mempercayai akan adanya syurga dan neraka yang mana setiap manusia akan mengalaminya.
  Orang yang beramal soleh akan ke Syurga manakala orang yang ingkar akan ke Neraka. Semua orang Islam yang beriman berkeyakinan sedemikian.Persoalan besar timbul ialah apakah kita menyedari bahawa gaya hidup dan tingkah laku kita sehari-hari itu termasuk sebagai persediaan sebagai ahli Syurga atau telah pun tergelincir sebagai ahli Neraka.
          Gaya hidup dan tingkah laku manusia yang beruntung ialah hidup yang selalu diisi dengan amalan soleh iaitu melaksanakan hak-hak Allah, mengerjakan kebajikan dan melakukan perbuatan yang membawa kebaikan kepada masyarakat atau manusia umumnya.
          Ketahuilah  sekalian bahawa setiap kebajikan atau kejahatan yang kita lakukan akan dicatat, direkod dan dikumpulkan oleh Allah SWT dengan perantaraan malaikat-malaikatnya untuk diperhitungkan dan dipertanggungjawabkan ke atas kita di akhirat kelak.

         Allah SWT menjadikan kita di dunia ini bukan dengan tujuan sia-sia atau secara main-main tetapi ada tanggungjawab tertentu. Kerana itulah manusia diberi akal fikiran supaya tidak terikut-ikut dengan gaya hidup yang tidak sempurna. Dengan demikian amat rugilah manusia jika manusia bertingkah laku sedemikian.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Mukminun, ayat 115:
Bermaksud: “Maka adakah patut kamu menyangka bahawa kami hanya menciptakan kamu sia-sia sahaja? Dan kamu tidak akan dikembalikan kepada kami?.”

           Dengan demikian kita sebagai manusia yang berakal hendaklah celik akal dan celik mata supaya kehidupan kita selari dengan ajaran Islam dan menjauhi daripada gaya hidup yang penuh dengan budaya maksiat. Manusia yang bebas daripada budaya maksiat akan membentuk masyarakat yang bertamadun dan berintegriti.

           Orang yang baik bukan hanya sekadar melakukan kebaikan sahaja tetapi mestilah juga meninggalkan segala keburukan dan mencegahnya. Seseorang itu tidaklah dinamakan baik apabila ia pada sebelah pagi melakukan kebaikan tetapi apabila sebelah petang pula melakukan kejahatan.

        Oleh itu, untuk mengelakkan kita tidak rugi atau menyesal, maka marilah kita mengambil kesempatan dalam tempoh hidup yang pendek ini kita gunakan untuk melakukan kebaikan sebanyak-banyaknya dan menghindarkan perbuatan yang merosakkan masyarakat.Sebagai renungan kita perhatikan Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:



"بَيْنَمَا رَجُلٌ يَمْشِيْ بِطَرِيْقٍٍ، وَجَدَ غُصْنَ شَوْكٍ عَلَى الطَّرِيْقِ فَأَخَّرَهُ، فَشَكَرَ اللهُ لَهُ، فَغَفَرَلَهُ."

(Sahih al-Bukhari)

Bermaksud: “Seorang lelaki telah melalui sebatang jalan dan ternampak satu ranting pokok yang berduri lalu dialihkannya ke tepi. Maka Allah melimpahkan kasihnya kepada lelaki tersebut dan diberikan keampunan keatasnya.”

       Menurut Hadis ini, walaupun menjauhkan sebatang duri daripada tengah jalan kelihatan mudah tetapi pekerjaan berkebajikan ini dianggap oleh Allah sebagai satu kebajikan yang besar kerana boleh mengurangkan kesusahan dan penderitaan manusia sejagat.

    Janganlah berangan-angan ingin memasuki Syurga Allah SWT sedangkan usaha dan gaya hidup kita dipenuhi dengan budaya maksiat. Oleh kerana itu, setiap kita yang mengaku beriman dan ingin ke Syurga perlu membuktikannya dengan melakukan amal ibadah dan amal soleh yang bersungguh-sungguh. Sebagai persediaan menjadi manusia yang soleh maka kita perlu mengambil langkah berikut:

Pertama : Memperbanyakkan amal soleh dan menjauhi kejahatan,

Kedua : Memastikan kehidupan kita sehari-hari tidak bercanggah

dengan hak-hak Allah dan hak-hak manusia,

Ketiga : Memperbanyakkan kebajikan kepada manusia seperti

membantu mengurangkan kesusahan dan mempercepatkan

urusan yang melibatkan kepentingan manusia, dan

Keempat : Memastikan dalam kehidupan seharian tidak mencampur

adukkan perkara yang halal dan perkara yang haram.















Tuesday 27 April 2010

Wabak Selsema Babi Satu Peringatan ALLAH


“WABAK SELSEMA BABI SATU PERINGATAN ALLAH”.

          Dunia seringkali dikejutkan dengan pelbagai ancaman wabak penyakit. Beberapa tahun lalu kita dikejutkan dengan ancaman Selsema Burung, JE, Denggi, Chikungunya, dan HIV. Kini sekali lagi dunia berdepan dengan wabak yang menakutkan iaitu Wabak Selsema Babi. Sehingga kini seramai 159 orang disahkan meninggal dunia dan lebih 1,300 orang sebagai pengidap. Antara negara yang terlibat ialah Mexico, Amerika Syarikat dan beberapa negara Asia.

          Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memberi amaran kepada semua negara agar mengambil langkah tegas mengawal penularan wabak ini. Wabak Selsema Babi adalah kombinasi daripada tiga virus iaitu Virus Selsema Burung, Virus Selsema Manusia dan Virus Selsema Babi. Virus ini menyerang sistem pernafasan disebabkan oleh virus selsema jenis A (H1N1) yang mula dikesan sejak 1988.

        Wabak ini mudah berjangkit melalui sentuhan langsung dengan babi atau pemindahan virus selsema babi kepada manusia dan manusia sesama manusia. Kesan yang dikenal pasti apabila suhu badan melebihi 37.8 darjah celsius, sakit badan, batuk, berhingus, bersin, sesak nafas, hilang selera makan, muntah, dan cirit birit.

        Al-Qur’an banyak memberi amaran kepada manusia yang mengkufuri dan melakukan maksiat kepada Allah s.w.t. dengan pelbagai ancaman. Antara ancaman tersebut ada yang berbentuk kesengsaraan di dunia dan ada yang berbentuk kesengsaraan di akhirat. Di antara kesengsaraan di dunia ialah seperti bencana alam, peperangan, kemalangan, dan serangan wabak penyakit.

        Persoalan besar yang timbul ialah apakah perkaitan antara pengharaman babi dengan wabak yang dahsyat ini?. Benarkah virus boleh berubah dalam bentuk yang lebih bahaya pada babi?. Menurut pengkaji, kuman-kuman virus daripada babi ini mampu berubah menjadi lebih berbahaya dari semasa ke semasa. Justeru sejak 1430 tahun hijrah lalu, al-Qur’an telah memperingatkan sebanyak empat kali tentang pengharaman babi yang akan membinasakan kehidupan manusia.

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Maidah ayat 3:
Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan mati dipukul, dan mati jatuh, dan mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih, dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan) kamu mengundi nasib dengan anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik.”


        Berdasarkan ayat tersebut, jelas bahawa Allah s.w.t. mengharamkan sesuatu perkara mempunyai hikmah yang tertentu. Antaranya, bertujuan membuktikan perhambaan diri kepada Allah azza wa jalla dan menyelamatkan manusia daripada kerosakan. Menurut kajian saintis, memakan daging babi menyebabkan seseorang boleh dihinggapi hampir 70 jenis penyakit.

           Dalam menghadapi ancaman wabak selesema babi ini, semua pihak agar mengambil perhatian serius terhadap serangan wabak ini. Lebih-lebih lagi pihak berkuasa negara, perlulah mengawal pintu masuk negara daripada kemasukan pelancong ke negara ini yang dikhuatiri membawa virus tersebut. Seterusnya mempastikan warganegara Malaysia tidak berkunjung ke negara yang dilanda wabak, di samping perlunya peraturan dan kawalan ketat terhadap aktiviti penternakan babi di negara ini. Sebagai muslim, kita mestilah berusaha mematuhi segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya di samping memperbanyakkan doa dan munajat kepada Allah Azza wa jalla dalam menghadapi apa jua ancaman dan musibah.

        Yakinlah bahawa Islam adalah agama Allah yang benar, memenuhi keperluan fitrah setiap manusia. Oleh itu, pengharaman Islam terhadap babi, arak, zina, rasuah, judi dan sebagainya adalah untuk menjaga maslahah nyawa dan kehidupan manusia seluruhnya. Mimbar amat mengharapkan adanya usaha yang terancang pihak kerajaan dalam menguatkuasakan pengharaman ke atas perkara-perkara yang jelas ditegah oleh Allah s.w.t.
Maksudnya: “Demi masa, Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”

Sunday 25 April 2010

Watak Manusia Yang diBenci Oleh Islam

Watak Manusia Yang Dibenci Oleh Islam ”.

           Allah SWT mencipta alam dan muka bumi dengan sempurna supaya manusia dapat hidup aman damai. Bagaimanapun terdapat manusia yang suka mengganggu ketenterman dan kesejahteraan itu sendiri. Dalam al-Qur’an disebutkan empat watak manusia yang sebegini. Sama ada dalam kehidupan peribadi, berjiran tetangga, bermasyarakat, berbangsa atau bernegara. Keempat-empat watak ini selalunya mengganggu masyarakat dan sentiasa bekerja mengelabui mata orang ramai, mempersenda-sendakan agama dan melakukan apa sahaja untuk merosakkan masyarakat dan ummah.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 204-205:
Maksudnya: “Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan ia (bersumpah) bahwa Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal ia adalah orang yang sangat-sangat keras permusuhannya. Dan apabila ia berpaling, berjalanlah ia di bumi, untuk melakukan kerosakan padanya, dan membinasakan tanam-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia); sedang Allah tidak suka kepada kerosakan.”

Antara watak tersebut adalah:
        Watak Pertama: Manusia yang bermulut manis dibibir tetapi hati penuh dengan racun berbisa. Manusia jenis ini sangat pandai berkata-kata dan mempunyai daya tarikan yang mempersonakan hati ramai orang. Dia boleh dianggap mempunyai hati yang baik, jujur, sentiasa berbuat kebaikan dan seorang pemikir yang sentiasa memikirkan kepentingan umum tetapi pada hakikatnya adalah lain dibibir lain dihati.
Pada pandangan agama Islam, manusia seperti ini adalah seorang yang munafik. Zahirnya mengatakan ’Ya’ tetapi batinnya mengatakan ’Tidak’. Manakala dalam masyarakat Melayu, dia dipanggil ’Musuh Dalam Selimut’, ’Musang Berbulu Ayam’ atau ’Telunjuk Lurus Kelingking Berkait’.

         Watak Kedua: Manusia perosak masyarakat. Manusia jenis ini tidak mempunyai rasa malu dan sanggup melakukan apa sahaja untuk merosakkan masyarakat. Kerosakkan yang dilakukan adalah semata-mata kerana tidak dapat mengawal perasaan dan emosi apabila melihat orang lain mendapat kebaikan.

         Antara musibah yang menimpa masyarakat dengan adanya manusia sebegini adalah lahir kumpulan yang suka menyalahkan orang lain atau kumpulan lain. Ada yang sanggup mencaci, menghina, memaki orang lain. Kita perlu ingat bahawa watak ini tidak dapat menyelesaikan masalah ummah tetapi menambahkan beban masalah buat masyarakat dan negara. Justeru itu, manusia yang terlibat dalam kelompok ini, gemar mencela, mengumpat, mengutuk, memfitnah tanpa dasar yang betul. Adalah suatu kezaliman sekiranya seseorang menuduh orang lain melakukan perbuatan yang tidak dilakukan olehnya.
Rasulullah s.a.w. telah mengingatkan kita dalam sebuah hadith baginda yang diriwayatkan oleh at-Thobarani:
Mafhumnya: “Janganlah kamu mencaci maki para pemimpin. Doakanlah kebaikan untuk mereka kerana sesungguhnya kebaikan mereka membawa kebaikan untuk kamu juga”.

             Salah satu perkara yang dilakukan oleh mereka ini ialah melalui penyebaran berita palsu dan fitnah. Fitnah dilakukan sama ada melalui perkataan, ucapan atau tulisan. Pada zaman era globalisasi ini pelbagai fenomena fitnah telah muncul. Justeru, umat Islam hendaklah berusaha menolak dan menjauhi daripada terlibat. Alat-alat tekonologi yang maju patut digunakan untuk faedah dan kebaikan manusia dan bukannya disalahgunakan.

        Sedarilah bahaya fitnah tersebut boleh menjatuhkan maruah seseorang. Jika fitnah terkena kepada pemimpin, maka jatuhlah kepimpinannya. Jika fitnah itu mengenai guru, maka hilanglah kewibawaannya sebagai pendidik. Dan jika fitnah itu mengenai suami isteri, maka bergoncanglah keharmonian rumah tangga dan keluarga.
Firman Allah SWT dalam surah alk-Anfal ayat 25:
Maksudnya: “Dan jagalah diri kamu daripada dosa yang bukan sahaja akan menimpa orang yang zalim di antara kamu secara khusus. Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya”.

    Watak Ketiga pula ialah: Manusia yang tidak boleh ditegur atau tidak boleh menerima kritikan, tidak bersikap terbuka dan tidak boleh menerima pendapat orang lain serta menghormati perbezaan pendapat. Mereka ini jika diajak membetulkan kesilapan diri, diseru mengikut jalan yang betul, diajak secara jujur, maka mereka menjadi sombong, angkuh dan bongkak.

      Watak manusia sebegini adalah disebabkan mereka tidak dapat melihat kesalahan diri sendiri atau kumpulan mereka. Mereka selalu berasa benar dan bijak, manakala kesilapan datangnya daripada orang lain. Lantaran itu manusia seperti ini akan menjadikan sesiapa sahaja sebagai ‘Kambing Hitam’ untuk menutup segala kesalahan dan kelemahan yang ada pada diri mereka.

          Kesemua watak manusia yang dinyatakan tadi mengajak kita semua berfikir dan berwaspada supaya tidak menjadi golongan berkenaan. Untuk itu mimbar menyeru semua pihak dan sidang jemaah sekalian, sedarilah bahawa masyarakat yang bertamadun akan mengelakkan diri daripada sebarang perbuatan jahat yang boleh memusnahkan agama, masyarakat dan negara. Semoga dengan sikap sedemikian kita tidak terjerumus ke dalam perbalahan, perpecahan, pencerobohan hak, pertumpahan darah dan sebagainya.

         Maksudnya: “Katakanlah: Siapakah yang dapat melindungi kamu dari kemurkaan Allah jika Ia mahu menimpakan bala bencana kepada kamu, atau jika Ia memberikan rahmat kepada kamu? Dan mereka tidak akan beroleh sesiapapun selain Allah, pelindung atau penolong mereka.”
(Surah al-Ahzab:17)





Antara Tema Popular Karangan Bahasa Melayu SPM 2010

     
         Di sini saya hendak berkongsi sikit maklumat berkenaan subjek Bahasa Melayu Kertas 1 SPM iaitu karangan bahagian B kertas 1 iaitu Karangan Respond Terbuka.Rakan, guru ,ibu bapa dan pelajar perlu memberi perhatian terhadap tema karangan yang belum dikemukakan dalam mana-mana peperiksaan SPM antara tahun 2004 hingga 2009 (J). Antara tema tersebut ialah :

1. Pelaburan dan tabungan


2. Perpaduan antara kaum di Malaysia


3. Isu alam sekitar di Malaysia- tanah runtuh, hakisan tanah, banjir kilat, penebangan hutan secara tidak terkawal


4. Isu kemelesetan ekonomi dunia - masalah pengangguran


Atasi dengan cara bekerja sendiri/ berniaga.


5. Memulihara warisan bangsa - bangunan bersejarah,


permainan tradisional


6. Kepentingan mempelajari bahasa asing seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin dan sebagainya - persaingan di pasaran pekerjaan.


7. Sistem pengangkutan - kelemahan pengangkutan awam, kemalangan jalan raya, kepentingan pengangkutan moden, keperluan lebuh raya.


8. Amalan membaca - kepentingan, cara-cara menggalakkan


9. Kesan alat komunikasi - telefon bimbit, internet


10. Pemanasan global- kerjasama antarabangsa untuk mengatasi masalah tersebut-Tajuk ini telah disoal dalam SPM November 2009


   Harap maklumat ini memberi manfaat kepada bakal pelajar yang akan menduduki SPM 2010 dan para pembaca yang mempunyai anak,saudara mara dan sesiapa saja.

Friday 23 April 2010

Khutbah Solat Jumaat 23 April 2010

       
         Hari ni 23 April 2010,giliran saya untuk membacakan khutbah sembahyang Jumaat di Masjid Besar Marudi. Insyaalah rakan-rakan dapat berkongsi sedikit maklumat untuk renungan kita bersama. Kita perlu sedar kehidupan kita di dunia ini hanya sementara sahaja. kehidupan kita di negeri akhirat itu akan kekal abadi. Oleh itu, kita perlu menjadikan kehidupan di dunia sebagai tempat untuk mengumpul segala amal kebaikan sebagai bekalan di hari akhirat.

Di sini adalah teks khutbah untuk hari ini.Selamat membaca dan mengambil ikhtibar..

Kepimpinan Adalah satu Amanah

            Kepimpinan yang unggul dan berintegriti merupakan asas kepada kualiti dan kecemerlangan dalam sesebuah organisasi. Kepakaran dan kemahiran dalam kepimpinan serta perwatakan peribadi boleh mempengaruhi corak kepimpinan dan menentukan jatuh bangunnya sesebuah negara. Keluhuran dan keperibadian itu juga dapat mencerminkan sikap dan perwatakan masyarakat atau rakyat yang dipimpinnya.

          Islam amat menitikberatkan aspek kepimpinan yang memiliki kualiti nilai insan yang hebat dan boleh menjadi contoh kepada seluruh masyarakat di dunia ini. Sesungguhnya umat Islam amat beruntung kerana kita mempunyai seorang tokoh yang boleh dijadikan panduan dalam merealisasikan asas kepimpinan ini iaitu baginda Rasulullah SAW. Baginda adalah contoh yang dikagumi bukan sahaja oleh Umat Islam malah disanjungi oleh ramai cendekiawan Barat kerana mempunyai kebolehan dalam memimpin sebuah negara dan bertanggungjawab penuh ke atas perlaksanaannya. Beliau memikul tanggungjawab dengan penuh amanah selari dengan kehendak Allah SWT sehingga masyarakat Arab menggelarnya al-Amin. Sabda Rasulullah SAW ;
Bermaksud:" Ingatlah bahawa setiap daripada kamu adalah penjaga dan setiap penjaga bertanggungjawab terhadap apa yang dijaganya. Dan seorang pemimpin itu bertanggungjawab terhadap orang yang dipimpinnya”(Riwayat al-Bukhari)
 
Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah,

       Kepimpinan amatlah penting bagi membentuk kehidupan yang sempurna. Maka lantaran itulah Allah SWT mengutus para rasul-Nya untuk mempimpin umat-umat terdahulu untuk menjadi manusia yang memiliki sifat-sifat yang menepati dengan kehendak Allah SWT. Allah SWT mengutuskan para rasul-Nya untuk menjadi pemimpin kerana ciri-ciri kepimpinan yang ada pada mereka boleh digunakan oleh pemimpin-pemimpin lain di sepanjang zaman. Firman Allah SWT di dalam surah An-Nahl ayat 36 :
Bermaksud : " Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul ( dengan memerintahkannya menyeru mereka): " Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taaghut ". Maka di antara mereka ( yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan….."
 
Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah,
        Mempimpin sesebuah negara adalah suatu amanah yang diberikan oleh Allah SWT dan mereka yang diberi tanggungjawab ini perlu tunduk dan patuh sepenuhnya kepada Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah Al-Ahzab ayat 72 :
Bermaksud :" Sesungguhnya kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan ( pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan."
 
      Memimpin golongan masyarakat pula adalah tanggungjawab bagi memenuhi keperluan mereka samada dari segi jasmani iaitu hal-hal yang berkaitan dengan pendidikan, kebajikan, kesihatan, ekonomi dan pengurusan dan dari segi rohani iaitu hal yang berkaitan dengan akidah, syariah, akhlak dan kemanusiaan.

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah,
          Sehubungan dengan itu, Islam amat menekankan kepimpinan yang cemerlang, berkualiti dan terbukti unggulnya. Kepimpinan itu semestinya didokong oleh keimanan kepada Allah SWT, cinta dan menghayati sunnah Rasulullah SAW serta berakhlak mulia di mana ianya mampu mengadakan hubungan yang harmoni dengan semua peringkat masyarakat. Ciri-ciri kepimpinan ini akan memberi kesan kepada masyarakat, mereka akan menghormati dan menyanjungi corak kepimpinan yang diberikan.

         Di samping itu, kebijaksanaan dalam kepimpinan juga merupakan aset penting dalam pembangunan sesebuah organisasi. Antara kebijaksanaan yang dimaksudkan itu ialah kemampuan diri mengawal emosi pada semua situasi dengan tenang dan terkawal.

         Kita melihat kepimpinan Khalifah Umar al- Khattab RA yang boleh dijadikan contoh kerana beliau adalah seorang pemimpin yang sangat disayangi oleh rakyatnya di atas perhatian dan tanggungjawabnya yang luar biasa terhadap rakyat. Ada suatu peristiwa di mana serombongan kafilah yang dalam perjalanan pulang ingin bermalam di pinggir kota Madinah dengan membawa barang dagangan yang banyak. Atas keperihatinan Khalifah Umar al- Khattab RA, beliau mengajak hartawan Abdul Rahman bin Auf untuk mengawal dan menjaga keselamatan barang dagangan rombongan kafilah tersebut daripada gangguan pencuri.
 
Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah,
        Mimbar amat yakin, kepimpinan yang beramanah dan bertanggungjawab dalam masyarakat mencerminkan suasana kepimpinan yang cemerlang. Ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 124:
Maksudnya: “Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia". Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: "(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)". Allah berfirman: "(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim.”

        Apa yang jelas, terdapat dua perkara asas dalam ayat ini. Pertama, kepimpinan bukan sekadar perjanjian antara pemimpin dengan masyarakat, tetapi ia juga merupakan ikatan perjanjian antara pemimpin dengan Allah SWT. Kedua, kepimpinan hendaklah mementingkan keadilan dalam melaksanakan sesuatu tanggungjawab.

         Mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar menyeru seluruh pemimpin di pelbagai peringkat supaya mengambil langkah-langkah berikut :

Pertama:Bertindak selari dengan apa yang dikata atau yang dijanjikan supaya kita

menjadi manusia yang disayangi, dan dihormati.

Kedua: Hendaklah bertanggungjawab menjaga kebajikan dan kesejahteraan orang

yang dipimpin di dunia dan di akhirat.

Ketiga; Menginsafi bahawa mengkhianati amanah kepimpinan adalah satu dosa

besar yang akan menerima hukuman Allah di akhirat nanti.



Firman Allah SWT dalam surah asy- Syu'araa' ayat 215-217:

Maksudnya: “Dan hendaklah engkau merendah diri kepada pengikut-pengikutmu dari orang yang beriman. Kemudian jika mereka berlaku ingkar kepadamu, maka katakanlah: Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu lakukan! Dan berserahlah kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani





Wednesday 21 April 2010

Pelbagai Posisi Tidur....

 Tidak kira manusia atau binatang tidur merupakan satu kemestian. Tidur merupakan mati yang sementara. Allah juga memberikan kejadian malam untuk manusia berehat iaitu tidur. Tidur yang cukup pada malam hari membolehkan badan kita sihat. kita dinasihatkan agar tidur sekurang-kurangnya 8 jam dan sekurang-kurangnya 4 jam.

      Ada juga waktu yang tidak digalakkan untuk tidur iaitu selepas solat Asar dan selepas solat subuh.tetapi waktu ini waktu yang paling syok untuk tidur. Tidur selepas subuh akan menutup pintu rezeki dan tidur lepas Asar boleh melemahkan tenaga batin dan otak.

        Di sini ada pelbagai posisi tidur sama ada dalam kalangan binatang atau manusia



Kita dinasihatkan tidur di tempat yang sesuai dan cara yang terbaik menurut rasullullah ialah berbaring di atas lampung kanan dan mengadap kiblat.Sebelum tidur baca Bismillah,Al-Fatihah dan ayat Kursi.InsyaAllah tidur tidak akan sebarang gangguan.

Tuesday 20 April 2010

Menginsafi Perbicaraan di Padang Mahsyar..Suatu ikhtibar

         Hari akhirat ialah hari dimana semua manusia dibangkitkan semula selepas mati dan dihimpunkan di suatu tempat yang dipanggil "Padang Mahsyar" untuk mengahadapi perbicaraan atau timbangan amalan yang dikerjakan semasa hidup di dunia dahulu dan seterusnya ditentukan samada ia menjadi penghuni syurga atau penghuni neraka. Dasar akidah ini amat penting dihayati kerana ia dapat membimbing kehidupan kita di jalan yang diredhai Allah.

          Di zaman moden yang serba mencabar ini kita merasa amat bimbang kerana perilaku di kalangan sesetengah umat islam jauh terkeluar daripada syariat islam. Diantaranya ada yang mengutamakan dunia dan tidak pedulikan nasib di akhirat. Demi keseronokkan dunia, nafsu syahwat dipertuhankan. Ada yang secara terang melakukan kezaliman, penyelewengan, pecah amanah, penipuan dan sebagainya. Ajaran dan panduan syariat tidak dijadikan pegangan dan amalan dalam kegiatan harian. Fenomena kerosakan akhlak di pelbagai peringkat masyarakat seperti penagihan dadah, arak, judi, zina, pergaulan bebas, hiburan liar dan sebagainya didapati meningkat dari semasa ke semasa. Keadaan ini terjadi sesungguhnya kerana keyakinan dan pegangan kepada dasar akidah tentang kehidupan akhirat dikalangan kita tidak diutamakan.

         Terdapat banyak sekali gambaran-gambaran yang disebut oleh Allah Taala didalam Al-Quran tentang dahsyatnya suasana apabila terjadi hari kiamat nanti. Al-Quran secara jelas dan tegas mewajibkan kita meyakini bahawa hari kiamat pasti dan tetap akan berlaku walaupun tidak diketahui bilakah masa dan ketikannya.

           Kedahsyatan yang digambarkan sangatlah menggerunkan sehingga menjadikan seseorang kelihatan terpingga-pingga dan kebingungan. Ada yang kelihatan seperti orang mabuk walaupun sebenarnya Mereka bukanlah mabuk. Ibu-ibu yang sedang menggendong pula akan terus keguguran kerana ketakutan. Begitu juga anak-anak yang sedang menyusu akan tercampak dari pelukan ibunya dan dilupakan begitu sahaja oleh ibunya. Banyak lagi peristiwa dahsyat yang lain yang digambarkan oleh Allah S.W.T untuk renungan kita diantaranya melalui Surah At-takwir ayat 1-3:
Maksudnya: " Apabila matahari dilingkari cahayanya ( dan hilang lenyap ), apabila bintang-bintang gugur berselerakan dan apabila gunung-ganang diterbangkan ke angkasa ( setelah dihancurkan menjadi debu ). "


          Digambarkan juga suasana yang hiruk-pikuk dan kucar-kacir yang menyelubungi manusia ketika berada "dibumi al-mahsyar " yang masing-masing sibuk dengan hal masing-masing. Ada yang berjalan seperti biasa dan ada yang berjalan dalam keadaan terbalik dengan kepala di bawah dan kaki ke atas, ada yang merangkak-rangkak dan bermacam-macam lagi dalam suasana panas cahaya matahari yang berada hanya sejengkal di atas kepala manusia pada masa itu. Ada sesetengah manusia ditenggelami dengan peluh yang banyak dan berbau busuk, bergantung kepada tahap amalan masing-masing.

              Dalam sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Ibni Ammar Radiallahuanhuma bahwa Rasul Allah S.A.W memberitahu yang manusia akan dibangkitkan kembali antuk bertemu dengan Allah pada hari kiamat sebagaimana keadaan mereka ketika dilahirkan dari perut ibunya telanjang bulat. Siti Aisyah Radiallahuanha bertanya: Lelaki dan perempuan berkumpul sama ya Rasul Allah?. Jawab Rasul Allah S.A.W: Ya!. Siti Aisyah berkata: Alangkah malunya, kemaluanku dapat dilihat setengah daripada setengah yang lain. Rasul Allah S.A.W menepuk bahu Aisyah dengan bersabda: Kesibukkan manusia pada saat itu tidak memungkinkan akan melihat itu, kebanyakkan pandangan mereka pada saat itu mengarah ke langit, berdiri selama empat puluh tahun tidak makan dan tidak minum, ada yang berpeluh sampai ke tumit, betis, perut dan ke mulut kerana lamanya berdiri. Kemudian berdiri para malaikat mengelilingi Arash lalu Allah menyuruh menyeru NAMA fulan bin fulan. Maka semua yang hadir melihat orang yang dipanggil untuk mengadap Allah S.W.T dan apabila ia sudah mengadap Allah, lalu dipanggil orang-orang yang pernah dianiaya dan dizaliminya untuk diberikan kebaikannya kepada orang tersebut kerana pada saat tersebut tidak ada pembayaran dengan emas atau perak. Semua orang yang pernah dianiaya dan dizalimi menagih kebaikan darinya sehingga habis kebaikannya, lalu diambil dosa-dosa orang yang dianiaya dan dizalimi tersebut untuk dipikulnya. Kemudian setelah selesai semuanya maka diperintahkan Allah kembalilah ketempatmu ke Neraka HAWIYAH kerana pada hari ini tidak ada penganiayaan. Sesungguhnya Allah amat segera perhitungannya dan pembalasannya. "



Ingat akan Allah...............
Allah akan sentiasa mengingati kita

Monday 19 April 2010

Sayangilah Ibu.....Cintailah Ibu....Doakan Ibu..

            

  Sayangilah Ibu Cintailah ibu Doakan untuk Ibu.

        Islam amat memuliakan ibu dan kemuliaan ibu menduduki tempat ke-dua selepas mentaati Allah s.w.t. Justeru, Allah s.w.t. telah mewajibkan anak-anak memulia dan menghormati ibu sekalipun berlainan pegangan agama. Allah Azza Wajalla juga secara tegas mengharamkan segala bentuk penderhakaan kepada kedua-dua orang tua selagi ibu bapa berada atas landasan syarak. Ini ditegaskan oleh Allah s.w.t. dalam firman-Nya:

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan 'ah', dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia.” (Surah al-Israa’:23


        Adalah satu hakikat bahawa ibu mempunyai kedudukan yang lebih tinggi berbanding bapa. Berdasarkan sifat dan naluri keibuan, maka tidak hairan anak-anak lebih mengasihi, dan mengingati serta sering menyebut nama ibu berbanding bapa. Jika sakit, kita lebih suka ibu yang jaga. Kalau hendak makan, kita lebih suka ibu yang masak dan suapkan. Kalau ingin tidur, kita mahu ibu yang tidurkan. Kalau ingin berkahwin, ibu juga yang kita risaukan. Malah sehingga saat menghadapi kematian pun, kita akan menyebut nama ibu.


         Kuatnya ingatan anak-anak kepada ibu ialah kerana ibulah yang mengandungkan kita, ibu yang menyusukan kita, ibu yang menyuapkan kita makan dan minum, ibu yang mendodoi dan menidurkan kita, ibu yang membersihkan najis dan segala kotoran di badan kita. Oleh itu, wajarlah Allah s.w.t. memuliakan ibu sesuai dengan pengorbanannya. Firman Allah s.w.t. dalam surah Luqman ayat 14:
Maksudnya: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan atas kelemahan dan menceraikan susunya dalam masa dua tahun; bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan kepada Akulah tempat kembalimu.”
          
           Fahamilah bahawa ibu bapa adalah perantara yang menyebabkan kita berada di dunia ini. Mereka terlalu banyak berkorban tenaga, masa dan harta demi kebahagiaan anak-anak. Sedarilah bahawa ibu bapa kita kini telah tua, lemah tenaga, kabur penglihatan dan kurang pendengaran. Mereka sangat mengharapkan pertolongan dan perhatian anak-anak. Gembiralah ibu bapa andainya mereka di kasihi dan dimuliakan dan hancurlah hati ibu bapa jika kita menderhakainya. Sesungguhnya jasa dan pengorbanan ibu bapa amat besar dan tidak mungkin kita dapat menebusnya.


             Dalam hal ini, Imam Bukhari telah meriwayatkan sebuah kisah daripada Said bin Abi Burdah tentang seorang lelaki Yaman yang bertawaf sambil mendukung ibunya dengan penuh cermat. Sesudah selesai tawaf, beliau bertanya kepada Ibnu Umar: Apakah dengan khidmat dan pengorbananku ini telah dapat membalas jasa bakti ibuku?. Jawab Ibnu Umar: Tidak, apa yang telah kamu lakukan tadi tidak akan dapat menebus jasa ibumu sekalipun sekadar hembusan nafas ketika kesakitan melahirkan kamu.


          Hari masih terdapat kes penderhakaan yang dilakukan oleh segelintir masyarakat kita terhadap ibu. Antaranya ada yang menunjukkan kedegilan melawan cakap ibu, lari meninggalkan rumah kerana tidak suka dinasihati ibu, membiarkan ibu yang sakit bersendirian, meminggirkan ibu tanpa khabar berita, mengherdik ibu, mengkhianati harta benda ibu, menjadikan ibu sebagai orang gaji, malah ada yang sanggup memukul ibu. Apa yang ganjilnya, ada segelintir dari kalangan kita yang berebut-rebut mencium tangan orang lain tetapi jarang sekali mencium tangan ibu sendiri yang sebenarnya ada keberkatan.


              Insaflah, perbuatan menderhakai ibu bapa akan mendatangkan kecelakaan kepada kita di dunia dan di akhirat. Di dunia kita akan menerima giliran diderhakai oleh anak-anak kita, dan begitulah seterusnya. Manakala di akhirat akan menerima kemurkaan Allah Azza Wajalla. Ini selaras dengan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
Mafhumnya: “Amat malanglah! Amat malanglah! Dan amat malanglah. Maka Rasulullah ditanya: Siapakah orang yang amat malang itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Seseorang yang mendapati kedua ibu bapanya atau salah seorang daripada keduanya telah tua namun dia masih gagal memasuki syurga (lantaran gagal berkhidmat kepada mereka).”

Sunday 18 April 2010

Besar sungguh gaji Ronaldo


        
           Pemain bola sepak antarabangsa mendapat bayaran yang begitu lumayan.Lihatlah skil gaji yang mereka terima..kalau di Malaysia ini jutawan Robert Kuok aje yang dapat lawan gaji pemain ini. Wajarkah aku melatih anak-anak aku untuk mereka menjadi seorang pemain bolasepak terkemuka dan mendapat bayaran seperti itu.
            Di Malaysia lain pula cerita, banyak kelab dan persatuan yang bermasalah untuk membayar gaji pemain. Ini menyebabkan pemain Malaysia tidak mendapat bayaran yang lumayan. Penonton kita juga lain cerita juga kalau pasukan pilihan mereka kalah mula tak pergi stadium dan kalau pergi stadium buat macam-macam hal..bakar bendera..bakar kerusi dan merusuh. Kalau begini bagaimana sukan bola sepak nak maju di negara kita ni.
Sebagai renungan bila nama pemian Malaysia akan termasuk dalam senarai ini.

Berikut, daftar 50 pemain profesional yang mendapat gaji  tertinggi di muka bumi.



1. Cristiano Ronaldo (Real Madrid, 11,3 juta pound)


2. Zlatan Ibrahimovic (Barcelona, 10,4 juta pound)


3. Lionel Messi (Barcelona, 9,1 juta pound)


4. Samuel Eto'o (Internazionale, 9,1 juta million)


5. Kaka (Real Madrid, 8,7 juta pound)


6. Emmanuel Adebayor (Manchester City, 7,4 juta pound)


7. Karim Benzema (Real Madrid, 7,4 juta pound)


8. Carlos Tevez (Manchester City, 7 juta pound)


9. John Terry (Chelsea, 6,5 juta pound)


10. Frank Lampard (Chelsea, 6,5 juta pound)

11. Thierry Henry (Barcelona, 6,5 juta pound)


12. Xavi (Barcelona, 6,5 juta pound)


13. Ronaldinho (AC Milan, 6 juta pouned


14. Steven Gerrard (Liverpool, 6,5 juta pound)


15. Daniel Alves (Barcelona, 6,1 juta pound)


16. Michael Ballack (Chelsea, 5,6 juta pound)


17. Raul Gonzalez (Real Madrid, 5,6 juta pound)


18. Rio Ferdinand (Manchester United, 5,6 juta pound)


19. Kolo Toure (Manchester City, 5,6 juta pound)


20. Wayne Rooney (Manchester United, 5,2 juta pound)

21. Robinho (Manchester City, 5,2 juta pound)


22. Iker Casillas (Real Madrid, 5,2 juta pound)


23. Victor Valdez (Barcelona, 5,2 juta pound)


24. Frederic Kanoute (Sevilla, 5,2 juta pound)


25. Deco (Chelsea, 5,2 juta pound)


26. Didier Drogba (Chelsea, 4,8 juta pound)


27. Gianluigi Buffon (Juventus, 4,8 juta pound)


28. Francesco Totti (Roma, 4,8 juta pound)


29. Luca Toni (Roma, 4,8 juta pound)


30. David Villa (Valencia, 4,8 juta pound)

31. Arjen Robben (Bayern Munich, 4,8 juta pound)


32. Bastian Schweinsteiger (Bayern Munich, 4,8 juta pound)


33. Ashley Cole (Chelsea, 4,8 juta pound)


34. Fernando Torres (Liverpool, 4,8 juta pound)


35. Gareth Barry (Manchester City, 4,8 juta pound)


36. Patrick Vieira (Internazionale, 4,8 juta pound)


37. Charles Puyol (Barcelona, 4,3 juta pound)


38. Andres Iniesta (Barcelona, 4,3 juta pound)


39. Sergio Aguero (Atletico Madrid, 4,3 juta pound)


40. Andreas Pirlo (AC Milan, 4,3 juta pound)


41. Willy Sagnol (Bayern Munich, 4,3 juta pound)


42. Franck Ribery (Bayern Munich, 4,3 juta pound)


43. David Beckham (AC Milan, 4,3 juta pound)


44. Wayne Bridge (Manchester City, 4,3 juta pound)


45. Lassana Diarra (Real Madrid, 4,3 juta pound)


46. Dimitar Berbatov (Manchester United, 4,1 juta pound)


47. Andrei Arshavin (Arsenal, 4,1 juta pound)


48. Nicolas Anelka (Chelsea, 4,1 juta pound)


49. Ryan Giggs (Manchester United, 4,1 juta pound)


50. Alessandro Del Piero (Juventus, 4,1 juta pound)


(MEG/Mirror)

komen anda dihargai