BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Search This Blog

Selamat Datang

Selamat datang kepada semua rakan,sahabat,guru,bekas pelajar SMK Marudi dan pelajar SMK Marudi yang sedang menuntut di SMK Marudi ke laman blog saya ini.

Followers

Tuesday 11 May 2010

BERKUALITIKAH SOLAT KITA.

          
     Allah S.W.T telah mewajibkan solat sebagai salah satu ibadat khusus yang paling utama kepada hamba-hambanya adalah bertujuan untuk mengabdikan diri kepada Nya lalu memelihara diri, akal, akhlak malah mendidik nafsu diri manusia supaya menjadi insan yang berkualiti serta dapat melaksanakan tuntutan amar makruf nahi mungkar dan seterusnya menegakkan agama Allah S,W.T “Addinul Islam”.

Rasulullah S.A.W pernah bersabda : Maksudnya : Solat itu adalah tiang agama, sesiapa yang mendirikannya, maka sesungguhnya dia membina atau memajukan agama dan sesiapa yang meninggalkannya, maka sesungguhnya dia meruntuhkan atau merobohkan agama. (Hadith riwayat Imam al-Baihaqi)

       Sehubungan dengan itu, solat yang akan diterima dan mendapat penilaian daripada Allah S.W.T hanyalah solat yang berkualiti. Berkaitan dengan hal ini,

Firman Allah S.W.T dalam Surah al-Ma’un, ayat 4-5 : Maksudnya : (Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan agama), maka kebinasaan besar bagi orang-orang yang solat (iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan solatnya.

         Solat adalah diumpamakan sebagai tiang sesebuah bangunan, maka kekuatan struktur bangunan tersebut adalah bergantung kepada kekuatan tiang-tiang bangunan tersebut. Perumpamaan ini adalah gabungan daripada luaran dan dalaman bangunan tersebut yang boleh diumpamakan sebagai zahir dan batin. Sudah pasti yang zahir itu amat ketara atau boleh dilihat. Manakala yang batinnya pula tidak ketara atau tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Maka kekukuhannya bukanlah bergantung kepada bahagian luarannya sahaja, malah lebih banyak tertumpu kepada bahagian dalamannya yang tidak dapat dilihat itu.

       Manakala bahagian dalamannya pula mengandungi pelbagai bahagian yang terdiri daripada besi konkrit, batu-bata, pasir, simen dan sebagainya yang telah diadun dan disepadukan bagi menjamin kualiti keteguhan dan kekuatannya.

          Begitulah juga halnya dengan solat yang memerlukan kesempurnaan segala pra-syaratnya seperti bersuci, berwudhuk, menutup aurat dengan pakaian suci, tempat solat juga suci, menghadap ke arah kiblat, menyempurnakan syarat-syarat sah, rukun dan sunat-sunatnya. Sementara bahagian dalaman atau batinnya pula adalah merupakan faktor yang berhubung-kait dengan kerohanian, emosi, minda, mental dan sekaligus kalbu atau hati nurani orang yang bersolat itu.

         Bahagian-bahagian dalaman yang dimaksudkan itu adalah seperti ikhlas kerana Allah S.W.T semata-mata, tanpa riak, takabbur, sum’ah, atau pun ujub. Sekaligus mempunyai penuh kesedaran tentang khusyuk iaitu khauf dan raja’. Khauf di sini ialah merasa gementar dan takut kalau-kalau solatnya itu tidak diterima dan raja’ pula ialah pengharapan yang penuh agar solatnya diterima oleh Allah S.W.T Firman Allah S.W.T di dalam Surah al-Mukminun, ayat 1-2 : Maksudnya : Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.

        Seseorang yang bersolat itu hendaklah khusyuk sejak dari permulaan mengangkat takbiratul ihram hingga selesai solat. Solat yang sempurna ialah solat yang dikerjakan dengan kekhusyukan yang terbaik, iaitu dengan sepenuh hormat dan ingatan kesedaran meliputi anggota-anggota jasmani dan rohani.Sesungguhnya sesiapa yang mampu memelihara dan menyempurnakan solat dengan penuh konsentrasi serta sebaik-baiknya sekaligus menunaikannya berdasarkan tuntutan syarak, maka dijanjikan baginya cahaya dan tanda pada wajahnya serta mendapat kejayaan dan keselamatan di hari akhirat.
Sabda Rasulullah S.A.W :
Maksudnya : Sesiapa yang menjaga solatnya maka pada hari kiamat, solatnya akan menjadi nur (cahaya), pembela dan penyelamat baginya. Sesiapa yang tidak menjaga solatnya, tiadalah baginya cahaya, pembela dan penyelamat. Pada hari kiamat, dia akan bersama-sama Qarun, Fir’aun, Haman dan Ubai bin Khalaf.
(Hadith riwayat Imam Ahmad dan Ibnu Hibban)

        Sesungguhnya, Rasulullah S.A.W mengumpamakan solat lima waktu itu sebagai sebatang sungai yang mengalir di hadapan rumah seseorang. Orang itu pula iltizam dan istiqamah mandi di dalamnya siang dan malam, lima kali sehari semalam. Maka apakah masih ada lagi kekotoran yang tertinggal sesudah dia bemandi-manda itu? Jawapannya tentulah tidak. Ini bererti bahawa solat lima waktu mampu untuk membersihkan dosa-dosa orang yang bersolat dengan basuhan yang sebenarnya selagi dia menjauhi dosa-dosa besar yang perlu kepada taubat untuk menghapuskannya.

         Kesan daripada solat yang berkualiti, selain mendapat kejayaan dan kebahagiaan yang memuaskan di akhirat, juga berfungsi sebagai benteng yang kuat bagi diri seseorang daripada melakukan kerja-kerja maksiat dan mungkar.

Firman Allah S.W.T di dalam Surah al-Ankabut, ayat 45 : Maksudnya : … Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar …

Kebanyakan hasil di blog ini ialah kupasan khutbah Jumaat yang dibaca oleh saya di Masjid Besar Marudi,Baram,Sarawak.Maklumlah semasa khutbah dibaca ada yang dengar ada yang tidak.Ada yang mengantuk dan macam-macam.InsyaAllah dengan entri pembaca akan lebih memahami.
Semoga pembaca memperoleh matlumat dan ilmu pengetahuan

2 comments:

humairah said...

nak tahu solat itu berkualiti atau tidak ialah lepas solat kalau masih nak buat maksiat maknanya..sembahyang tu belum ok le tu

md nasir said...

setuju dgn humairah..seolat mencegah kita dari melakukan kemungkaran..
terima kasih kerana berkongsi ilmu..
n_n

http://www.stormreaders.net/mNasir

komen anda dihargai