BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Search This Blog

Selamat Datang

Selamat datang kepada semua rakan,sahabat,guru,bekas pelajar SMK Marudi dan pelajar SMK Marudi yang sedang menuntut di SMK Marudi ke laman blog saya ini.

Followers

Thursday 13 May 2010

Khutbah Sempena Hari Guru 2010

       InsyaAllah esok adalah hari yang sesuai untuk membaca khutbah yang ada kaitan dengan Hari Guru iaitu akan disambut pada 16 Mei 2010.Sesungguhnya kecemerlangan hidup seseorang di dunia ini tidak dapat lari dari sumbangan dan pengorbanan orang lain sama ada ibu bapa, ahli keluarga, kaum kerabat, rakan-rakan, guru-guru dan sebagainya. Sumbangan dan pengorbanan tersebut sudah tentu tidak mampu dibalas, lebih-lebih lagi sumbangan para guru yang membimbing kita ke arah kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat.

        Oleh itu, tanggal 16 Mei setiap tahun, warga guru diraikan dalam sambutan hari guru bagi menghargai dan mengenang jasa mereka yang mendidik anak bangsa menjadi insan berguna. Sememangnya guru adalah insan mulia kerana mereka telah diamanahkan untuk menyampaikan ilmu dan mentarbiah masyarakat.

       Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan olej Anas bin Malik r.a. :Maksudnya : " Sesungguhnya perumpamaan orang-orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk dan menerangi di dalam kegelapan sama ada di daratan mahupun di lautan, apabila ia terbenam atau hilang dikhuatiri akan hilang arah tujuan".

           Sirah Rasulullah s.a.w. juga memaparkan kepada kita bahawa disamping menjadi guru, baginda s.a.w. juga adalah merupakan pelajar yang sentiasa menerima didikan dan asuhan dari Allah s.w.t, lantaran itu guru adalah sebagai pendidik dan pada masa yang sama guru juga merupakan pelajar yang sentiasa berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan selaras dengan perkembangan semasa. Budaya menuntut ilmu sepanjang hayat seharusnya dihayati oleh setiap guru dan segenap lapisan masyarakat

  Tugas guru bukan hanya sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan tetapi ia juga mendidik anak bangsa supaya menjadi insan yang berakidah, dinamik dan berkualiti di dunia dan di akhirat.Maka, dalam merialisasikan harapan yang tinggi ini, guru terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan dugaan dalam era pendidikan. Contohnya masalah gejala sosial dikalangan pelajar yang semakin parah, harapan yang mengunung daripada masyarakat kepada guru, sikap sebahagian ibu bapa yang menyerahkan tugas mendidik bulat-bulat kepada guru adalah merupakan cabaran semasa para guru. Namun biar sejuta cabaran mendatang, biar sejuta rintangan menghalang, bagi mereka yang bergelar guru tetap memikul tanggungjawab dengan penuh sabar dan tabah

      Aspirasi negara dalam bidang pendidikan adalah untuk membina masyarakat yang sejahtera, harmoni serta mendapat keberkatan dan keredhaan dari Allah s.w.t. Maka bagi mencapai hasrat tersebut, tuntutan kepada ilmu pengetahuan yang berbentuk Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah adalah amat diperlukan. Ianya hendaklah disepadukan agar kemajuan yang hendak dicapai itu dapat memenuhi tuntutan kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Amalan memisahkan antara pendidikan yang bercorak Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah akan melahirkan sebuah masyarakat yang tempang sekaligus menggagalkan usaha membentuk modal Insan gemilang.

        Firman Allah s.w.t. dalam surah Ali-Imran ayat 18 :Maksdunya : " Allah menerangkan ( kepada sekelian makhluknya dengan dalil dan bukti ) bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan dia, yang sentiasa mentadbir seluruh alam dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu ( mengakui dan menegaskan juga yang demikian ) tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Dia Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana ".

      Sebagai anggota masyarakat kita seharusnya rasa terpanggil untuk bersama dengan warga guru bagi menjayakan harapan negara ke arah melahirkan generasi modal insan kelas pertama yang berjiwa " ULUL ALBAB". Tugas mendidik dan menangani gejala sosial sewajarnya dilakukan secara bersama antara ibu bapa, masyarakat dan guru seperti kata pepatah " BERAT SAMA DIPIKUL RINGAN SAMA DIJINJING ".

      Sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Maidah ayat 2 yang Maksudnya : ..dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan ( kebaikan ) dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana Allah sesungguhnya Maha Berat Azab siksanya ( bagi sesiapa yang melanggar perintahnya".

        Ibu bapa dan masyarakat hendaklah seiring dan bersama-sama dalam menginstitusikan keluarga, masyarakat dan persekitaran sebagai sekolah. Disamping ibu bapa juga perlu mewujudkan suasana pembelajaran di rumah dan persekitaran dengan memberi perhatian yang serius terhadap kehidupan seharian anak-anak. Ibu bapa juga hendaklah peka terhadap perkara-perkara yang boleh merosakkan nilai dan jati diri anak-anak seperti gejala merokok, suka membuang masa, sukakan hiburan yang melampau, penyalahan gunaan dadah, amalan pergaulan bebas dan sebagainya. Kita semua sedia maklum bahawa akhlak mulia merupakan teras kepada pembinaan modal insan kelas pertama.

Ingatlah pesan Saiyidina Ali Karramah Allahu Wajhah :
Maksudnya : Bukan kecantikan itu menghiasi diri dan pakaian = sesungguhnya kecantikan itu menghiasi diri dengan ilmu dan adab. Bukanlah yatim itu seseorang yang kematian bapanya = sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab.

         Hubungan baik antara ibu bapa dengan pihak sekolah amat penting agar usaha mengasuh dan mendidik anak-anak berjalan dengan lancar dan sempurna. Persatuan ibu bapa dan guru-guru seharusnya memainkan peranan penting demi membina kecemerlangan anak-anak. Ibu bapa dan masyarakat juga perlu menjalin hubungan yang erat dan berterusan dengan pihak sekolah agar setiap permasalahan yang ditimbulkan oleh anak-anak dapat diselesaikan secara muhibah.

       Pandangan negatif yang tidak berasas terhadap para guru perlu dikikis dan pada masa yang sama guru juga hendaklah sama-sama menilai diri jangan jadi seperti pepatah melayu " KERANA SETITIK NILA ROSAK SUSU SEBELANGA" ibu bapa juga sepatutnya bersungguh-sungguh dan sedia berkorban harta benda dan tenaga bagi mencapai kecemerlangan anak-anak. Ini bertepatan dengan apa yang ditegaskan oleh Imam Al-Syafie bahawa ilmu pengetahuan tidak akan dapat dicapai kecuali dengan 6 perkara iaitu KECERDIKAN, KESUNGGUHAN, KEMAJUAN, PERBELANJAAN YANG CUKUP, SELALU MENDAPINGI GURU Dan MASA YANG LAMA.

   Sekiranya kita berjaya mendidik anak-anak bangsa menjadi manusia yang berilmu, maka sudah tentu kita dapat melihat dan melahirkan wajah pemimpin negara dimasa akan datang. Sebagaimana seorang pemikir dan penyair terkenal Mesir, Ahmad Syauki pernah bermadah :Maksudnya : " Sesungguhnya sesuatu bangsa itu kuat dan hebat kerana akhlaknya, jika rosak akhlak itu maka bangsa itu akan lenyap dan hilang "



1 comments:

humairah said...

ingatlah segala jasa guru yang berkorban untuk menjaga kita sebagai insan..

komen anda dihargai