BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Search This Blog

Selamat Datang

Selamat datang kepada semua rakan,sahabat,guru,bekas pelajar SMK Marudi dan pelajar SMK Marudi yang sedang menuntut di SMK Marudi ke laman blog saya ini.

Followers

Friday 7 May 2010

Setiap hari purata 47 orang bayi luar nikah lahir di Negara kita..17,000 setahun

          Inilah isi khutbah yang saya dapat pada hari ini.Apa sudah jadi dengan masyarakat kita...ambillah ini sebagai untuk kita semua sebagi umat islam.

          Halatuju pembentukan keluarga masa kini dan masa depan bergantung sepenuhnya kepada dasar hidup yang ditetapkan ibubapa dan dasar negara. Sebagai unit asas dalam masyarakat, maka keluarga adalah tenaga yang sentiasa bergerak melingkari masyarakat dan negara. Semakin kuat pergerakan ahli keluarga, maka semakin bertenaga masyarakat dan negara. Persoalan besar timbul ialah kearah mana halautuju gerakan keluarga itu?. Berdasarkan pemerhatian mimbar dan kajian-kajian yang dibuat ternyata pengaruh globalisasi masa kini telah mengubah corak dan nilai pegangan kehidupan keluarga.

        Berdasarkan beberapa kajian yang dibuat oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bahawa pegangan nilai kehidupan atau pegangan hidup keluarga semakin berubah. Antara perubahan nilai yang ketara ialah kecenderungan untuk memiliki saiz keluarga yang kecil, senario perkahwinan lewat, peningkatan kadar tidak mahu berkahwin, peningkatan masa wanita bekerja di luar rumah semakin meningkat, sibuk bekerja, masa keluarga bersama anak-anak semakin berkurangan, peningkatan anak-anak dijaga oleh pembantu rumah atau pusat-pusat asuhan dan jangka hayat warga emas semakin bertambah kerana kualiti kesihatan.

      Pembangunan sosio –ekonomi yang pesat dan pengaruh budaya asing telah menjadi punca perubahan pegangan nilai hidup yang membawa kepincangan dalam kehidupan keluarga. Kepincangan dalam keluarga bermula daripada sebab seperti kekurangan kasih sayang dalam keluarga, keganasan rumah tangga, peningkatan kadar perceraian, penderaan kanak-kanak, pengabaian kepada warga emas, sumbang mahram, kejahilan, bersekudukan tanpa kahwin, peningkatan kelahiran anak tanpa nikah, peningkatan kadar perceraian dan gejala sosial yang lain. Isu-isu gejala sosial yang berlaku dalam masyarakat pada masa ini adalah sebahagian daripada perubahan pegangan nilai-nilai dalam kehidupan.

            Mengikut satu kajian di negara Amerika Syarikat pada tahun 2006 ke atas 38,000 penduduknya mendapati 95% telah melakukan hubungan seks sebelum berkahwin. Manakala di negara kita satu kajian pada tahun yang sama ke atas 2,332 remaja melayu mendapati 5.5% telah melakukan hubungan seks sebelum kahwin. Laporan Jabatan Pendaftaran Negara pada tahun 2009, jumlah anak tidak sah taraf yang didaftarkan meningkat kepada 17,303 di seluruh negara iaitu purata 47 orang sehari. Kita merasa bimbang dengan penularan budaya hidup berzina dan gaya hidup barat ini yang boleh mencemarkan imej Islam dan memberi kesan kepada akidah. Berdasarkan perubahan nilai hidup ini kita jangan lupa tentang peringatan Allah SWT dalam Surah at-Tahrim ayat 6:

            Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu api neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”

        Menurut Tafsir at-Tabari, pemimpin keluarga hendaklah menjaga, membantu ahli keluarga dan memerintahkan mereka berbuat taat kepada Allah SWT serta mencegah mereka dari melakukan maksiat. Beberapa ahli tafsir lain pula menyatakan adalah menjadi kewajipan setiap muslim mengajar keluarganya tentang apa yang diwajibkan oleh Allah SWT dan apa yang dilarang. Rasulullah SAW bersabda:
Mafhumnya: “Setiap anak yang dilahirkan adalah berkeadaan fitrah( suci) tetapi ibubapa nyalah yang menentukan anak itu Yahudi, Nasrani atau Majusi ( Riwayat Ahmad).

            Bagi membentuk anak-anak menjadi insan cemerlang, ibu bapa hendaklah juga terdiri daripada manusia yang cemerlang. Bagaimana mungkin ibubapa yang derhaka, rumahtangga yang porak peranda, dapat membentuk keluarga yang sejahtera. Pendidikan dan asuhan yang diberikan oleh ibu bapa adalah asas untuk anak-anak bertapak apabila mereka dewasa kelak. Ibubapa adalah cermin yang mudah dijadikan tontonan oleh anak-anaknya. Oleh itu dalam mendidik anak-anak supaya beriman kepada Allah dan berakhlak mulia, ibubapa juga hendaklah terlebih dahulu memiliki sifat yang mulia ini. Contoh yang baik dari ibubapa akan menjadi ikutan kepada anak-anak begitu jugalah sebaliknya.

          Pembentukan keluarga Islam pada abad ke 21 ini , abad mendatang atau abad milenium amat mencabar bagi setiap ibu-bapa. Apakah keluarga Islam yang ada pada hari ini boleh bertahan atau terus hanyut diserang badai globalisasi yang berterusan menyerang merosakkan nilai-nilai kehidupan keluarga. Dasar-dasar rumah tangga yang lemah dan kepimpinan keluarga yang longgar sudah pasti akan tumpas dalam menghadapi cabaran perubahan nilai global yang mengubah kehidupan keluarga.

              Sesungguhnya institusi keluarga adalah satu institusi penting dalam keseluruhan kerangka pembinaan dan kelangsungan ummah. Umat Islam akan berdepan dengan satu masalah besar seandainya institusi penting ini tidak dikawal dan dijaga dengan baik. Kehancuran institusi ini bermakna kehancuran ummah itu sendiri kerana daripada institusi inilah munculnya kalangan ummah di tengah masyarakat.

             Dalam usaha mengukuhkan institusi keluarga, mimbar menasihatkan marilah sama-sama kita memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak kita, demi melihat generasi yang terbaik dimasa hadapan. Korbanlah sedikit masa sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu mengadakan majlis-majlis ilmu di rumah, berikan kasih sayang dan tunjukkanlah contoh yang terbaik kepada mereka serta mengambil tahu hal-hal yang berkaitan dengan kehidupan anak-anak seperti dengan siapa mereka berkawan, kemana mereka pergi, jam berapa mereka keluar rumah dan sebagainya. Ini semua membuktikan kita telah melaksanakan amanah Allah SWT terhadap anak-anak dengan baik dan sempurna.

Rumusan:

Pertama: Ibubapa perlu memperkukuhkan dan melengkapkan pendidikan agama bagi menghadapi cabaran abad yang mendatang,

Kedua: Memperuntukkan masa-masa tertentu bersama ahli keluarga menghadiri majlis-majlis ilmu,

Ketiga: Perubahan nilai dan penghayatan jatidiri yang dipengaruhi budaya asing akan merendahkan harga diri ahli keluarga, dan

Keempat: Perbuatan dan tingkah laku berdosa yang dilakukan oleh anak-anak di atas dunia ini akan menyeksa roh ibubapa yang telah meninggal dunia.

Firman Allah SWT dalam surah al- furqan ayat; 74
Maksudnya: “Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang yang (mahu).”



0 comments:

komen anda dihargai