BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Search This Blog

Selamat Datang

Selamat datang kepada semua rakan,sahabat,guru,bekas pelajar SMK Marudi dan pelajar SMK Marudi yang sedang menuntut di SMK Marudi ke laman blog saya ini.

Followers

Tuesday, 29 June 2010

PENGHARAMAN JUDI DAN MINUM ARAK DALAM ISLAM


TAZKIRAH :Peringatan ini ditujukan kepada semua muslimin dan muslimat:

Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu

`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

PENGHARAMAN JUDI DAN MINUM ARAK DALAM ISLAM

Islam telah mengharamkan semua unsur perjudian sama ada melalui permainan judi 4 nombor ekor/TOTO, hiburan iaitu FUN Fair dan sebagainya. Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan RasulNya mengharamkan judi dan menyuruh umat Islam menjauhinya kerana ia adalah perbuatan keji dan ia adalah perbuatan syaitan serta tergolong daripada dosa-dosa besar.

Judi adalah salah satu perbuatan yang boleh mengeruhkan hubungan sesama manusia dalam sesebuah masyarakat. Ia juga mencacatkan hubungan dengan Tuhan. Mereka yang melakukannya (melanggar larangan Allah) tidak akan mendapat keberkatan di dunia dan akhirat.Duit hasil kemenangan nombor ekor haram digunakan.Di dalam Al-Qur‘an al-maisir (judi) disebutkan sebanyak tiga kali, sebagaimana Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman yang tafsirnya :

“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya”. Dan mereka bertanya pula kepadamu: “Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)?” Katakanlah: “(Dermakanlah apa-apa) yang berlebih daripada keperluan (kamu)”. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir”(Surah Al-Baqarah: 219)

FirmanNya lagi:

Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”.(Surah Al-Ma’idah: 90)

Dan firmanNya yang lain:

Tafsirnya: “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil?”.(Surah Al-Ma’idah: 91)

Berdasarkan ketiga-tiga ayat di atas juga, ulama fiqh sependapat untuk menetapkan hukum berjudi dan minum arak itu salah satu dosa besar.Wahai muslimin dan muslimat marilah kita menjauhkan diri kita daripada perbuatan bermain judi dan minum arak.Perkara ini telah dijelaskan dalam Al-Quran dan apa yang dinyatakan dalam Al-Quran adalah perintah ALLAH. Jadi takutlah kepada ALLAH. Azab dan siksaan Allah kepada orang yang melanggar perintah-Nya amatlah dahsyat.Janganlah kita terpengaruh dengan dakyah syaitan dan kehidupan masyarakat bukan Islam yang jauh dari pegangan kita semua. Amalan ini juga wajib dihentikan oleh semua orang Islam.Janganlah kita membazirkan wang untuk tujuan berjudi,gunakan nikmat yang diberikan oleh ALLAH untuk tujuan kebajikan.ALLAH berkuasa untuk menarik nikmat itu bila-bila masa sahaja dan memberi bala kepada orang yang melakukan dosa.Bertaubatlah kita kepada ALLAH dan sesungguhnya ALLAH maha penerima taubat.

BACALAH RISALAH INI AGAR ANDA DIBERIKAN KEBERKATAN OLEH ALLAH.

Friday, 25 June 2010

Tazkirah Hari Jumaat 25 Jun 2010: Pergi tak akan Kembali.

Sebagai seorang Islam yang berpegang kepada al-Quran dan hadith, kita mempercayai bahawa kehidupan, kematian dan kehidupan selepas mati adalah peringkat kewujudan yang wajib dilalui oleh semua manusia. Dalam peringkat kehidupan kita di dunia, jarang umur manusia melebihi 100 tahun tetapi puratanya mencapai umur antara 60 hingga 80 tahun . Umur pendek atau panjang tidak menjadi persoalan kerana akhirnya manusia pasti mati. Bagaimana sihat seseorang, bagaimana megah kuasa dan kayanya, namun manusia pasti mati dan meninggalkan dunia fana ini. Malah para nabi, rasul iaitu manusia yang paling dekat dengan tuhan, bahkan manusia yang menjadi kekasih Allah SWT pun tidak dapat lari dari kematian, menghadapi alam barzakh dan hari penghakiman di padang Mahsyar.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa’ ayat 78:
Maksudnya:” Di mana sahaja kamu berada, pasti mati mendatangi kamu, sekalipun kamu bersembunyi di atas mahligai atau benteng yang paling kuat”.

Setiap manusia pasti mati kerana mati bermakna manusia kembali kepada asal kejadiannya. Ia berasal dari tanah, maka pastilah ia akan kembali menjadi tanah agar menjadi peringatan kepada manusia. Persoalan mati adalah suatu kejadian yang paling hebat, suatu kejadian yang tidak dapat dielakkan. Bila seseorang manusia itu mati, ia dikatakan kiamat kecil berlaku pada diri manusia kerana jasadnya menjadi busuk, dimakan cacing, tulang belulang menjadi hancur lebur kembali menjadi tanah dan roh telah keluar dari badan manusia. Rohlah yang menyebabkan kita hidup, boleh mendengar, melihat, berakal, merasai dan berfikir.

Kubur atau alam barzakh adalah sebagai tempat permulaan alam akhirat. Sebagaimana kesukaran manusia menghadapi keperitan saat nazak kematian, maka jenazah juga sekali lagi menghadapi kesukaran siksaan kubur di alam barzakh. Sebaik sahaja ahli keluarga dan sahabat handai selesai mengkebumikan dan dalam perjalanan pulang ke rumah maka dalam suasana yang gelap gelita dua malaikat iaitu Munkar dan Nakir datang menghampiri dan mendudukkan jenazah. Bagi jenazah yang beriman dan berbekalkan amal soleh serta ketakwaan yang unggul maka alam barzakh adalah suatu kerehatan yang damai. Tetapi bagi jenazah yang ingkar, sarat dengan beban dosa kerana melanggar perintah Allah SWT, maka alam barzakh adalah episod ngeri yang dipenuhi gelombang azab sengsara hingga datangnya hari kiamat. Mereka berkeadaan seperti orang yang lemas dalam air yang meraung meminta pertolongan.

Umat Islam sekalian perlu ingat bahawa pada akhir zaman ini, semakin kurang atau amat sedikit dari kalangan manusia yang bercakap tentang kematian, alam berzakh dan Mahsyar, kerana manusia sedang sibuk dengan pembangunan kerjaya dan kelazatan kehidupan dunia. Akhirnya mereka terkejut besar apabila malaikat Izrael datang dengan mencabut nyawanya. Saididna Ali RA pernah berkata, ” bahawa manusia tidur lena, apabila kematian tiba baru dia terjaga dari tidurnya. Demikianlah orang yang tidak mengingati mati itu sentiasa dalam keadaan lalai atau bagaikan orang yang tertidur dia akan terkejut bila kematian datang secara mendadak”.

Kesibukan mencari keseronokan dan kelazatan dunia merupakan penyumbang terbesar kelalaian manusia mengingati mati dan membuat persediaan menghadapi kematian. Sebagai contoh mereka yang terjebak dengan gejala sosial seperti penagih dadah sanggup melakukan apa saja termasuk mengambil ubat-ubat jalanan yang mengandungi dadah dan bahan-bahan terlarang yang tidak diluluskan oleh Kementerian Kesihatan bagi menambah lagi nikmat keseronokan. Perbuatan ini seolah-olah mengali lubang kubur sendiri.Mereka ini akan menanggung siksaan hidup dengan penyakit-penyakit kronik yang akhirnya membawa kepada kehancuran dan kematian.

Berdasarkan kajian JAKIM terdapat kelompok ajaran sesat tidak menerima hakikat kematian pemimpinnya. Mereka sering mendakwa keajaiban pemimpin yang kadangkala lebih hebat dari Rasulullah SAW dan Khulafa’ al-Rasyidin. Dakwaan terbaru kumpulan ajaran sesat ini ialah pemimpin mereka yang silih berganti tidak akan mati sampai bila-bila, mereka hanya ghaib. Sebelum ini mereka mendakwa pemimpin mereka sering bertemu dan berbincang dengan Rasulullah SAW dalam keadaan sedar untuk menerima arahan baru dari Rasulullah SAW. Ketaksuban kepada pemimpin dengan mendewa serta memujanya menjadi salah satu ciri ajaran sesat. Pendewaan ini berterusan sehingga kematian pemimpin tersebut. Pernah berlaku diluar negara terdapat mayat pemimpin di awet untuk dikekalkan jasadnya seterusnya di dewa dan di puja.

Firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 185:
Maksudnya: “ Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Maka sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke Syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan tiadalah kehidupan di dunia ini melainkan kesenangan yang memperdayakan.”

Menghadapi kematian pemimpin yang disayangi sememangnya amat perit dan sukar diterima. Kita perlu mencontohi sikap waras Abu Bakar RA ketika berhadapan dengan kewafatan nabi. Beliau memujuk Umar al-Khattab RA yang masih terkejut dengan pemergian nabi SAW seraya berkata: ketahuilah, sesiapa yang menyembah Muhammad SAW, maka sesungguhnya Muhammad telah wafat. Sesiapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah sentiasa hidup tidak akan mati.

Persoalan tentang perkara ghaib misalnya mengenai kematian, alam barzakh, hari kiamat, syurga, neraka dan sebagainya adalah hak Allah SWT yang sama sekali tidak boleh dicerobohi oleh manusia atau malaikat. Islam menetapkan dasar akidah dan perkara ghaib adalah bersandarkan kepada dalil al-Quran dan hadith-hadith sahih. Dasar akidah yang bersumber qiyas, ilham manusia atau ramalan kosong seperti yang diamalkan oleh penegak ajaran sesat adalah ditolak. Para nabi dan malaikat yang mulia hanya dapat mengetahui sesetengah perkara ghaib setakat yang diizinkan oleh Allah SWT sahaja.

Firman Allah SWT dalam surah al-Jinn ayat 26-27:
Maksudnya : ” Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Ia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapa pun. Melainkan kepada sesiapa yang di redhai-Nya dari Rasul-Nya maka Ia mengadakan di hadapan dan di belakang mereka malaikat yang menjaganya”

Akhirul kalam insaflah dan sedarlah bahawa kematian merupakan perjalanan hidup yang tidak akan kembali lagi ke dunia yang fana ini. Kita sering bercakap tentang kematian rakan dan sahabat kita yang telah kembali menyahut seruan Ilahi. Bagaimanapun sayang sekali apakah kematian rakan-rakan kita itu telah menimbulkan keinsafan dan kesedaran untuk kita membuat persiapan serta menyediakan bekalan yang mencukupi menghadapi kematian yang pasti itu. Ingatlah dan sedarlah bahawa alam barzakh sentiasa menanti-nanti kehadiran kita dan sentiasa membuka pintunya untuk kita. Tidak kira di mana kita berada atau bila masanya kematian pasti mendatangi dan menjemput diri kita, Cuma persoalannya adakah kita sudah bersedia menghadapi kematian ini.

Sebagai renungan marilah sama-sama kita menghayati firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 144:
Maksudnya: ” Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul. Apakah kalau ia pula mati atau terbunuh, kamu berbalik ke belakang (murtad)? Dan sesiapa yang berbalik ke belakang maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).



Sunday, 20 June 2010

Sorotan Kutbah Sempena Hari Bapa

Islam mengajar umatnya supaya menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa. Segala jasa dan pengorbanan yang mereka curahkan sejak di alam rahim sehingga kita dilahirkan begitu besar pengorbanannya. Merekalah yang bertanggungjawab mencari nafkah dan mendidik kita sehingga dewasa. Mereka juga sanggup mengorbankan nyawa dan kepentingan diri demi mengharungi pelbagai cabaran untuk masa depan anak-anak.

Marilah kita merenung kembali semasa kita kecil dulu apa yang telah dilakukan oleh kedua ibu bapa kita, merekalah yang memberi susu kepada kita, menyuap makanan ke mulut kita, memandikan kita, memakai pakaian kepada kita, mendodoi dan menidurkan kita, membersihkan najis dan segala kotoran di badan kita, menghantar kita ke sekolah demi melihat anaknya ini menjadi insan berguna di kemudian hari.

Kasih ibu bapa kepada anak-anak berpanjangan sepanjang hayat, pengorbanan dan kudrat dicurah siang -malam, hanya tahu memberi dan tidak mengharapkan apa-apa balasan dari anak kerana menginsafi anak itu adalah lahir dari kandungannya yang dijaga penuh selama sembilan bulan.

Mimbar menyeru ingatlah apa yang kita miliki pada hari ini, harta, pekerjaan, pangkat, kesenangan dan keluarga kita adalah hasil dari pengorbanan mereka. Tanpa mereka kita tidak dapat melihat dunia ini dan tanpa nasihat dan pengorbanan mereka kita tidak akan memiliki semua ini. Sehubungan itu, kita sebagai anak wajib menghormati, mentaati dan berbuat baik terhadap mereka. Ini sebagai suatu penghormatan tertinggi daripada anak dan membalas jasa ibu bapa mereka.

Firman Allah SWT dalam surah al-Israk ayat 23-24:

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan 'ah', dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.”

 
Tidak dapat dinafikan bahawa kasih sayang seorang ibu mengatasi segalanya, tidak dapat dinilai dengan emas dan perak, tidak dapat dibayar dengan wang ringgit. Berdasarkan sifat dan naluri keibuan, maka tidak hairan kasih sayang dan pengorbanannya melebihi segalanya. Tidak hilang dihati seorang ibu perasaan rindu terhadap anak-anaknya walaupun sesaat, kadang-kala ibu tidak dapat menyuap makanan ke mulutnya dan melelapkan matanya kerana teringatkan anak-anaknya ini dan ada ketikanya air mata berlinangan mengalir membasahi dipipinya kerana mengenang dan merindui akan anak-anak. Mimbar mengingatkan, bilakah kali terakhir kita bertemu dengan mereka, menatap wajah dan mencium tangan mereka?.Ambillah kesempatan yang ada semasa hidup sebelum mereka pergi buat selama-lamanya.

Kebiasaan kita sebagai anak akan lebih mengingati dan menyebut nama ibu. Jika kita ada masalah kita akan luahkan kepada ibu, kita lebih suka berkongsi perasaan dengan ibu, jika kita sakit, kita lebih suka ibu yang jaga. Kalau hendak makan, kita lebih suka ibu yang masak dan suapkan. Sehinggakan untuk memasuki gerbang perkahwinan pun, masih mengharapkan bantuan ibu. Oleh itu, wajarlah Allah SWT memuliakan ibu sesuai dengan pengorbanannya. Firman Allah SWT dalam surah Luqman ayat 14:

Maksudnya: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan atas kelemahan dan menceraikan susunya dalam masa dua tahun; bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan kepada Akulah tempat kembalimu.”

Rasulullah SAW ketika menjawab pertanyaan seorang sahabat bersabda :
Maksudnya: “Siapakah yang paling berhak saya pergauli dangan baik? Nabi bersabda “Ibumu”, Orang itu bertanya kemudian siapa lagi? Nabi bersabda “Ibumu”, Orang itu bertanya kemudian siapa lagi, Nabi bersanda “Ibumu”. Orang itu bertanya kemudian siapa lagi, Nabi bersabda : Ayahmu.”(Riwayat al- Bukhari)

Al-Bazzar meriwayatkan, ada seorang lelaki sedang tawaf dengan mengendung ibunya, maka lelaki itu bertanya kepada Rasulullah SAW, “Apakah dengan ini saya telah melaksanakan kewajipan saya kepadanya? Rasulullah SAW menjawab “Tidak, tidak sebanding dengan satu kali hembusan nafas ketika ibumu melahirkanmu.”

Betapa besarnya pengorbanan ibu-bapa, namun persoalannya kini, bagaimana pula pengorbanan anak untuk menghargai dan membalas balik jasa serta pengorbanan ibu yang tidak terhitung ini. Inilah persoalan yang perlu direnung setiap anak, apakah mereka sudah menunaikan kewajipan terhadap ibunya.

Imam Muslim meriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud RA berkata bahawa beliau pernah bertanya Rasulullah SAW tentang amalan paling utama. Baginda bersabda: Solat pada waktunya. Beliau bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbakti kepada kedua ibu bapa. Beliau bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjuang pada jalan Allah”.

Islam menganjurkan agar setiap anak menghormati dan berbakti kepada ibu bapa selagi suruhan tersebut tidak melanggari syariat Islam. Jika anak-anak mengingkari perintah ibu bapa, maka itu adalah derhaka dan satu dosa besar walau hanya menyebut ungkapan ‘uuh’ atau ‘aah’ dikira sebagai menyakiti dan menderhaka, apatah lagi jika ada antara anak mencerca, memaki dan memukul ibu bapa mereka.

Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Abdullah bin Amru bin al-'As RA bertanya Rasulullah SAW tentang dosa besar. Sabda baginda: Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca ibu bapanya. Tanyanya lagi: Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun ibu bapanya? Jawab Nabi SAW: Ya. Seorang lelaki memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya.

Mimbar mengingatkan jemaah dan umat Islam sekalian, bahawa menyayangi ibu bapa bukan sekadar ketika keduanya masih hidup sahaja tetapi sebenarnya berpanjangan ketika mereka berada di alam arwah atau alam kubur. Roh orang mati tetap hidup di sisi Allah. Menurut Abu Darda’, Allah SWT telah menempatkan roh orang mukmin di sebuah perkampungan di langit ketujuh yang diberi nama Darul Baida’. Dari sana roh orang mukmin sentiasa diberi peluang oleh Allah SWT untuk melihat amalan atau kegiatan manusia yang masih hidup di dunia khususnya anak-anak atau kaum kerabat mereka.

Roh sentiasa bertanya khabar kepada jenazah yang baru tiba di alam arwah terutama tentang kehidupan keluarga mereka di dunia. Setiap hari amalan umat Muhammad diangkat ke langit dan segala amalan tersebut dipertonton kepada roh ibu bapa kita. Oleh itu gembirakanlah roh ibu bapa kita dengan amalan soleh semasa kita masih hidup di duna ini. Roh–roh ibu-bapa akan sakit, tersiksa dan menderita jika melihat amalan anak-anak mereka terlibat melakukan dosa besar seperti berzina, berjudi, minum arak, rasuah, memfitnah orang, bersubahat melakukan kezaliman, penganiayaan dan perbuataan maksiat lain.

Perbuatan anak di dunia menjadi ukuran dan bukti adakah kita yang masih hidup ini sebenar-benar menyayangi ibu-bapa kita. Apalah gunanya anak-anak mengadakan majlis kenduri tahlil dan doa selamat setiap minggu, setiap tahun sedangkan perbuatan harian mereka penuh dengan maksiat, kejahatan dan melakukan dosa besar.

Rasulullah SAW bersabda:

Mafhumnya : Sesungguhnya amal-amal kamu dibentangkan kepada keluarga dan kaum kerabat kamu yang telah mati; maka kalau amal perbuatan kamu itu baik-mereka gembira mengetahuinya, dan kalau sebaliknya, mereka (berdoa untuk kamu dengan) berkata : ‘ Ya Allah Ya Tuhan kami, berilah kaum kerabat kami yang hidup itu hidayah pertunjuk, sebagaimana engkau telah member hidayah petunjuk kepada kami (sehingga kami mati dalam iman)’. (Riwayat Imam Ahmad dan al-Tirmizi)

Bersempena dengan kedatangan bulan Rejab yang diketahui mempunyai banyak kelebihan, marilah kita sama-sama mengambil kesempatan untuk melipatgandakan ibadah dan memperbanyakkan amalan sunat. Antaranya berpuasa sunat sekurang-kurangnya satu hari dari bulan Rejab, bersedekah dan menziarahi ibu bapa.

Perlu diinsafi, ketidakredhaan ibu-bapa kepada sikap keji anak-anak ini mengundang kemurkaan Allah SWT. Selama mana kita tidak diredhai oleh ibubapa, selama itu juga kita hidup dalam kemurkaan dan derhaka terhadap Allah SWT, sepertimana kisah Alqamah di zaman Rasulullah yang mengutamakan isterinya berbanding ibunya sendiri. Akhirnya ketika hampir meninggal dunia dia tidak dapat mengucap dua kalimah syahadah kerana ibunya enggan memaafkannya.

Mimbar menyeru, marilah sama-sama kita menzahirkan perasaan kasih sayang terhadap ibu setiap masa. Memberi kasih sayang kepada mereka bukan sekadar memberi hadiah bahkan seluruh jiwa dan raga kita serahkan kepada ibu. Mimbar menyeru jemaah dan umat Islam sekalian, gembirakanlah mereka dan carilah keredhaan mereka serta perbanyakkanlah doa keampunan kepada mereka. Budayakanlah amalan memuliakan dan menghormati ibu-bapa di sepanjang kehidupan kita dan janganlah hanya dibuat pada masa-masa tertentu sahaja.

Ambillah kesempatan yang ada ini untuk menyayangi sebelum mereka didatangi ajal. Mengakhiri khutbah marilah kita mengambil beberapa pengajaran penting berikut:

Pertama : Kepentingan menjaga ibu lebih utama daripada perang di jalan Allah.
Kedua : Berbuat baik kepada ibu- bapa mestilah menjadi keutamaan yang paling atas selepas kewajipan kepada Allah dan Rasul-Nya.
Ketiga : Redha Allah adalah terletak pada redha kedua ibu-bapa dan kemurkaan Allah terletak pada murka kedua ibu bapa.
Keempat : Roh ibu-bapa akan sakit dan terseksa jika anak-anak yang masih hidup melakukan amalan yang bercanggah dengan ajaran Islam.
Sebagai renungan hayatilah firman Allah SWT dalam firman-Nya:
Maksudnya: “Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.”(Sural al-Israa’:24)



Friday, 18 June 2010

Mula-mula Insaf Lepas tu Alfa dan tidak kisah


Manusia seolah-olah sudah lali dengan perkara-perkara yang sering mereka temui setiap hari. Apabila manusia pertama kali mendengar sesuatu berita tentang kekejaman yang berlaku, mereka menjadi begitu prihatin. Namun demikian, keprihatinan mereka itu hanya menjadi suatu perkara rutin tidak berapa lama kemudian.

Peperangan dan konflik yang berlaku di dalam dunia yang sedang kita diami ini adalah kes yang paling jelas dan nyata. Apabila sesebuah negara dijajah dan kemudian proses penyembelihan dan genocide.

Tiada terjemahan tepat untuk perkataan genocide, maka istilah ini dikekalkan. Genocide ber­maksud pembunuhan seluruh bangsa atau kaum yang tertentu. Kita akan dapat melihat banyak protes-protes anti-kekejaman yang diadakan di seluruh pelusuk dunia. Sebagai contoh, mari kita merenung semula detik-detik pertama tercetusnya konflik di Bosnia, ataupun Chechnya, ataupun Palestin dan selatan Lubnan sekarang ini...

Imej seorang kanak-kanak Palestin yang berada di riba ayahnya yang tidak lama selepas itu menjadi sasaran peluru askar-askar Israel, bayi-bayi Chechen yang dibunuh ketika mereka sedang lena diulit mimpi, wanita, golongan tua dan kanak-kanak yang menjadi mangsa genocide yang sangat mengerikan di Gaza...

Apabila manusia pertama kali melihat imej-imej kekejaman tersebut, mereka sering meluahkan perasaan marah dan berkata mahu melakukan sesuatu. Walau bagaimanapun, laporan-laporan kekejaman yang bertali-arus, yang tidak pernah putus-putus itu, akhirnya tidak berupaya untuk menarik perhatian mereka lagi.

Semakin ramai manusia yang mati setiap hari, wanita-wanita dicabul kehormatannya, kanak-kanak sewenang-wenangnya ditembak atau kehilangan kaki setelah terpijak periuk api... Walau bagaimanapun, reaksi masyarakat ketika awal-awal konflik dan peperangan, akhirnya telah digantikan dengan sikap acuh tak acuh dan tidak ambil kisah. Apabila mereka membeli suratkhabar, mereka lebih suka membaca gosip-gosip artis berbanding berita-berita peperangan. Oleh sebab itulah, kematian manusia yang berlaku di Palestin, Chechnya, Kashmir ataupun Timur Turkistan hanya sekadar menjadi suatu “berita rutin.”

Tambahan pula, propaganda-propaganda yang dicipta telah menggambarkan kebuasan-kebuasan manusia itu sebagai suatu perkembangan politik sahaja. Akibatnya, pembunuhan berterusan di Chechnya hanya dianggap sebagai urusan sulit pihak Rusia, apa yang berlaku di Palestin hanyalah suatu perjuangan untuk mendapatkan tanah di antara orang-orang Israel dan Palestin, dan penekanan puak Hindu ke atas penduduk Kashmir sebagai masalah yang berpunca daripada posisi strategik wilayah itu.

Memang benar bahawa faktor sejarah dan ekonomi memainkan peranan penting yang mencetuskan konflik-konflik tersebut. Chechnya mempunyai kepentingan ekonomi dan strategi yang penting kepada Rusia. Orang-orang Yahudi yang fanatik terus berniat untuk menawan Jerusalem dan kawasan-kawasan pendudukan Palestin yang lain sejak berabad-abad lamanya. Namun demikian, faktor-faktor dalaman dan ekonomi bukanlah satu-satunya penyebab kepada tekanan yang dikenakan kepada orang-orang Chechen oleh pihak komunis Rusia, ataupun kekejaman yang dilakukan kepada umat Islam di Afrika, ataupun keganasan dan proses pembersihan etnik yang dideritai oleh umat Islam di rantau Balkan yang dilakukan di hadapan mata penduduk dunia.

Mereka dihimpit dengan berbagai-bagai bentuk penindasan kerana mereka adalah golongan yang beriman kepada Allah dan mahu hidup dengan berlandaskan Islam, dan mahu melihat anak-anak mereka menjadi orang-orang yang beriman juga. Kewujudan negara-negara kuat yang mementingkan nilai-nilai spiritual atau sebuah liga Islam yang kuat yang akan melindungi hak-hak umat Islam seadil-adilnya, telah menimbulkan ketakutan kepada golongan-golongan tertentu di Barat dan juga telah menimbulkan ancaman terhadap kepentingan pihak-pihak tertentu.

Aspek lain tentang hal ini ialah terdapat sesetengah manusia yang tidak mengetahui apa-apa pun tentang masyarakat yang hidup di negara-negara tersebut, dan malah tidak pernah mendengar sama sekali nama negara-negara itu. Situasi bagi seseorang yang tidak memiliki sebarang idea tentang kepayahan, penindasan, kekejaman, kebuluran, dan kemiskinan yang dideritai oleh umat Islam Sudan, Algeria, Indonesia, Myanmar, Djibouti dan Tunisia sebenarnya memerlukan suatu “makanan” untuk mengisi minda mereka. Ada juga segelintir manusia yang menyedari kekejaman dan ketidakadilan tersebut. Namun dia tidak mencuba untuk menghulurkan sebarang bantuan ataupun berusaha untuk menghentikan penindasan tersebut.

Tambahan lagi, mereka sungguh yakin bahawa mereka tidak dapat melakukan apa-apa, malah laporan-laporan yang dibaca dan imej-imej kekejaman yang dilihat menerusi televisyen tidak dapat menyedarkan mereka walaupun sedikit.

Seseorang yang benar-benar beriman, walau bagai­mana­pun,bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang mereka lihat dan dengar. Allah menyeru umat Islam di dalam Al-Quran.

Sudah tiada sebab lagi bagi orang-orang yang memiliki kesedaran, yang patuh kepada arahan yang terkandung di dalam ayat di atas untuk terus menutup mata dan tidak mengendahkan apa yang sedang berlaku. Adalah sesuatu yang mustahil untuk umat Islam tidur dengan nyenyak di atas katil tanpa wujud sebarang perasaan tanggungjawab di hati mereka, membazirkan masa mereka, dan hanya memikirkan tentang kepentingan dan keseronokkan dirinya sahaja sewaktu kekejaman yang melampau-lampau sedang berlaku di seluruh dunia. Ini kerana orang-orang yang beriman mengetahui bahawa kunci asas untuk menyelesaikan masalah peperangan yang berat sebelah, pembunuhan beramai-ramai, kekejaman, kebuluran, dan kebejatan masalah sosial, atau dengan ringkas segala masalah yang ada di dunia ini, adalah dengan menyebarkan ajaran moral yang terkandung di dalam al-Quran. Pengetahuan tentang perkara tersebut telah meletakkan suatu tanggungjawab besar di atas bahu mereka: iaitu menerangkan tentang ajaran Islam dan keindahan-keindahan yang dibawa olehnya, menyebarkan ajaran moral yang terkandung di dalam al-Quran,

Sesiapa yang mengambil tugas mulia tersebut akan dapat membebaskan semua insan yang hidup di bawah penindasan dengan bantuan petunjuk al-Quran:

Tujuan utama dari pendedahan hari ini adalah untuk mendedahkan penderitaan umat Islam yang tidak berdosa di serata dunia, dan juga untuk menyeru mereka yang berkesedaran untuk memikirkan tentang situasi tersebut dan seterusnya mencari jalan penyelesaiannya. Ini bukan masanya untuk kekal membisu, bersifat tidak kisah, mengejar kesenangan kecil dunia ini, dan membuang masa dengan perdebatan dan pertengkaran yang sia-sia.

Ketika berjuta-juta umat Islam menderita disebabkan oleh kekejaman dahsyat tersebut, kita adalah manusia yang tersangat-sangat mementingkan diri sendiri jika enggan memikul sebarang tanggungjawab untuk menegakkan agama Islam. Tidak menjadi satu keraguan bahawa perbuatan tersebut hanya menyebabkan kita menerima akibat yang pedih di akhirat nanti.


Wednesday, 16 June 2010

Akhlak Mahmudah VS Akhlak Mazmumah


AKHLAK MAHMUDAH MELAHIRKAN INSAN YANG BERTAKWA

Sifat Mahmudah atau juga dikenali dengan akhlak terpuji ialah sifat yang lahir didalam diri seseorang yang menjalani pembersihan jiwa dari sifat-sifat yang keji dan hina (sifat mazmumah). Sifat Mazmumah boleh dianggap seperti racun-racun yang boleh membunuh manusia secara tidak disedari dan sifat ini berlawanan dengan sifat mahmudah yang sentiasa mengajak dan menyuruh manusia melakukan kebaikan.

Oleh itu, dalam Islam, yang menjadi pengukur bagi menyatakan sifat seseorang itu sama ada baik atau buruk adalah berdasarkan kepada akhlak dan perilaku yang dimilik oleh seseorang.

Rasulullah s.a.w. bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi :
Maksudnya : "Orang mukmin yang sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya ".


Dalam mengamalkan sifat-sifat mahmudah atau etika hidup yang murni, ia merangkumi banyak aspek antaranya :

1. Akhlak Terhadap Diri Sendiri, seperti menjaga kesihatan diri, membersih jiwa daripada akhlak yang buruk dan keji serta tidak melakukan perkara-perkara maksiat.

2. Akhlak Terhadap Keluarga, seperti pergaulan dan komunikasi yang baik antara suami isteri, berbuat baik kepada kedua ibu bapa, menghormati yang lebih tua dan mengasihi orang-orang muda daripada kita.

3. Akhlak Terhadap Masyarakat, seperti sentiasa menjaga amanah, menepati janji, berlaku adil, menjadi saksi yang benar dan sebagainya.

4. Akhlak Terhadap Islam, seperti memertabatkan Islam sebagai suatu cara hidup yang sempurna, meletakkan Islam ditempat yang tinggi serta mempertahankan Islam dan muslimim dari dihina dan sebagainya.

5. Akhlak Terhadap Allah Dan Rasul-Nya, ini merupakan akhlak yang paling tinggi dan mengatasi segala-galanya, Allah s.w.t. sahajalah yang berhak mendapat semua pujian dan segala ketaatan. Sementara kemuliaan Rasul-Nya perlu dipelihara dan dipertahankan. Oleh itu, sebarang usaha untuk menghina Nabi dan Rasul perlu ditangani dengan sewajarnya serta penuh bijikasana.

Akhlak dapat dibentuk dengan baik sekiranya kita benar-benar mengikuti lunas-lunas yang telah disyariatkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Antara jalan terbaik untuk membentuk akhlak yang mulia ialah :

1. Mempunyai Ilmu Pengetahuan. setiap mukmin perlu mempelajari apakah yang dimaksudkan dengan akhlak terpuji (akhlak mahmudah) dan tahu membezakan dengan akhlak yang keji ( akhlak mazmumah ).

2. Menyedari Kepentingan Akhlak Yang Diamalkan. Ini kerana akhlak merupakan cermin diri bagi seseorang muslim dan membawa imej Islam, malahan daya tarikan Islam juga bergantung kepada akhlak yang mulia.

3. Mempunyai Keazaman Yang Tinggi, melalui keazaman yang tinggi dan kuat sahajalah jiwa seseorang dapat dibentuk untuk benar-benar menghayati sifat yang mulia.

4. Melaksanakan Ibadah Dengan Bersungguh-Sungguh Dan Ikhlas, ketekunan dan keikhlasan dalam melakukan ibadah kepada Allah s.w.t. sahajalah mampu menangkis serangan bisikan hawa nafsu dan syaitan yang sentiasa memusuhi manusia.

5. Bergaul Dengan Orang Yang Baik Akhlak, pergaulan sebenarnya boleh mempengaruhi diri seseorang untuk berubah. Ini adalah kerana sifat manusia suka dan cepat meniru perilaku orang lain. Berapa ramai di kalangan kita yang berakhlak mulia hasil didikan ibu bapa menjadi rusak akhlaknya kerana tersalah langkah bersahabat dengan orang yang buruk akhlaknya.

6. Sentiasa Berlapang Dada Untuk Menerima Nasihat, kerana kadang kala kita tidak menyedari kelemahan dan kekurangan yang ada pada diri sendiri. Oleh itu, kita perlu berlapang dada dan menerima nasihat-nasihat yang baik bertujuan untuk membaiki diri menjadi insan yang bertakwa.

Pembentukan ketakwaan melalui penghayatan akhlak terpuji merupakan sumber kekuatan umat Islam. Kerana dengan takwalah umat Islam diberi kejayaan dan kemenangan oleh Allah s.w.t. seorang penyair Arab pernah melafazkan :
Maksudnya : " Sesungguhnya satu bangsa (umat) dikenal kerana akhlaknya, jika akhlaknya telah runtuh, maka runtuhlah bangsa itu ".

Akhirnya, akhlak terpuji yang dilandasi takwa adalah merupakan teras dalam pembangunan modal insan, ia juga berperanan besar dalam menentukan prestasi sesebuah organisasi dan negara. Selain itu, ia juga merupakan kayu ukur di hari pembalasan dimana ganjaranya lebih besar sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah s.w.t. orang yang berakhlak berpotensi besar menjadi orang yang lebih produktif kerana mereka sentiasa dan biasa dengan budaya patuh kepada peraturan, undang-undang dan arahan.






Saturday, 12 June 2010

Selamatkan Palestine

Palestin telah melalui sejarah yang panjang dalam catatan tamadun manusia dan menjadi rebutan kepada tiga agama, iaitu Islam, Kristian dan Yahudi. Namun demikian Palestin mempunyai kedudukan yang istimewa dihati setiap muslim sejak zaman berzaman. Keistimewaan Palestin ialah kerana hubungannya dengan masjid al-Aqsa. Masjid ini mempunyai lima keistimewaan iaitu, pertama : menjadi salah satu daripada tiga masjid paling suci selepas masjidil Haram Mekah dan masjid Nabawi Madinah, kedua: kiblat pertama umat Islam, ketiga: masjid yang kedua dibina atas muka bumi selepas 40 tahun pembinaan masjidil Haram, keempat: tempat berlakunya Isra’ Mikraj dan kelimanya: masjid al-Aqsa menjadi harta waqaf umat Islam sepanjang zaman.

Kezaliman yang dilakukan oleh rejim Zionis kepada rakyat Palestin bermula dalam tahun 1948 apabila wujudnya negara haram Israel dibumi Palestin dengan pertolongan negara Barat terutamanya British dan Amerika Syarikat. Apa yang sebenarnya berlaku di Palestin bukanlah isu-isu kemanusiaan semata-mata tetapi lebih daripada itu. Ia melibatkan isu menyayat hati kaum muslimin apabila kezaliman Zionis yang menghina akidah umat Islam, rakyat Palestin diseksa, dizalimi dan dibunuh seperti haiwan dan bangsa Palestin diaibkan, dimalukan secara terbuka kepada masyarakat dunia tanpa mendapat pembelaan sewajarnya.

Berdasarkan pemerhatian  dan penganalisis politik antarabangsa kerajaan zionis Israel adalah kerajaan yang kebal, berada diatas undang-undang antarabangsa dan boleh bertindak sesuka hati kerana ia dinaungi oleh kuasa barat. Benarlah apa yang diungkapkan oleh Allah mengenai sifat-sifat keji mereka.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa' ayat 157:
Maksudnya: " Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka dan mereka kufur akan ayat-ayat keterangan Allah dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada suatu alasan yang benar dan mereka berkata: hati kami tertutup. Bahkan Allah telah memeterai hati mereka disebabkan kekufuran mereka. Oleh itu mereka tidak beriman kecuali sedikit sahaja diantaranya. "

Sejak penubuhan negara Israel hingga kini iaitu sejak 60 tahun yang lalu, rejim Zionis sedang berusaha keras untuk menghapus bersih bangsa dan tamadun Palestin. Pada tahun 1969 puak Zionis membakar masjid al-Aqsa yang suci. Usaha terus dibuat hingga ke hari ini untuk meruntuhkan masjid dengan beransur-ansur menggali terowong-terowong dibawah masjid al-Aqsa supaya masjid ini runtuh dengan sendirinya. Tapak masjid ini akan digantikan dengan kuil Yahudi Haikal Sulaiman. Pada masa ini masjid ini masih dikepong dan hanya umat Islam yang berumur 45 tahun keatas dibenarkan solat di masjid ini. Di saat ini juga masjid-masjid lain di Palestin telah ditukar menjadi kelab malam, panggung wayang dan kandang-kandang lembu.

Bumi Palestin dinodai. umat Palestin dinafikan haknya. Rakyat Palestin menangis kesedihan kerana mereka yang serba kekurangan dari semua sudut, berjuang bersendirian untuk mempertahankan masjid al-Aqsa dan wilayah-wilayah yang ditakluki oleh rejim Zionis. Dalam perkembangan terbaru pula rejim Zionis sedang melakukan kepungan dari darat dan laut di semenanjung Gaza supaya penduduk Gaza mati dalam kelaparan. Sesungguhnya kekejaman Zionis pasti akan berterusan dan tiada penamatnya kecuali rakyat Palestin berlutut kepadanya.

Apa yang memeritkan tatkala masyarakat Islam masyarakat antarabangsa seluruh dunia menghantar misi bantuan kemanusian melalui darat dan laut kepada rakyat palestin, rejim Zionis menghalang serta melakukan pembunuhan keatas sukarelawan yang terlibat dalam misi kemanusian tersebut. Mimbar merasa kecewa dengan kekejaman yang menimpa fortila-fortila yang melaksanakan misi ini kerana apa yang dilakukan oleh sukarelawan ini merupakan sebahagian daripada bantuan kemanusiaan yang merentasi sempadan agama, bangsa dan negara.

Negara Israel sebuah Negara yang kecil, tetapi rejim Zionis yang disokong kuat oleh kuasa besar barat agak sukar dikalahkan. Walhal negaranya dan penduduk yang sedikit.

Di manakah salah dan silapnya? Kita perlu membataskan kebergantungan kita dengan orang lain dan kembali mengukuhkan hubungan kita dengan Allah SWT. Sikap ini perlu dibebaskan daripada jiwa kita dan kita wajib membantu rakyat Palestin dengan apa jua cara tindakan.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujuraat ayat 10:
Maksudnya: “Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu; dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat.”.

Bantuan kepada rakyat Palestin boleh dimulakan dengan berdoa kepada Allah SWT sehinggalah kepada usaha-usaha untuk memberi tekanan-tekanan yang boleh menyebabkan rejin Yahudi dihalau keluar daripada negara Palestin. Berdasarkan pedoman sejarah Islam, tentera Islam pernah berjaya menewaskan kubu kuat puak Yahudi dalam peperangan Khaibar pada tahun 7 Hijrah. Dalam peperangan itu Rasulullah SAW memimpin tentera Islam seramai 1,400 orang tentera mengepung perkampungan itu selama 10 hari. Tentera Islam diketuai Saidina Ali berjaya menewaskan pertahanan Yahudi dan mereka menyerah kalah.

Insaflah dan sedarlah, sesungguhnya umat Islam wajib bersatu untuk mempertahankan Islam dan tidak bergantung harap kepada bantuan orang bukan Islam untuk menyelamatkan maruah Islam. Sikap tidak peduli umat Islam tentang persoalan akidah, ibadah, syariat dan akhlak akan menjerumuskan umat Islam dibawah telunjuk Zionis dan pakatan mereka. Pemimpin dunia Islam perlu bangkit dan memberi sokongan kepada segala usaha untuk menyelamatkan saudara seagama demi mempertahankan Islam dan tanah air.

Oleh itu, seluruh umat Islam wajar menghulurkan segala bentuk bantuan dan menyokong sebarang usaha dalam misi kemanusian Palestin .

Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 78:
Maksudnya: " Orang kafir Yahudi dari Bani Israel telah dilaknat (di dalam Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa Ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan menceroboh. "

Sesungguhnya Janji Allah itu Benar.
Semoga beroleh manfaat.





Thursday, 10 June 2010

Persediaan Awal Sebelum Melangkah ke Alam Barzakh


Rasulullah s.a.w telah memberikan panduan kepada umatnya melalui hadis baginda sebagai satu panduan untuk membuat persediaan awal sebelum melangkah ke alam barzakh.
Sabda Rasulullah s.a.w Maksudnya: “ Apabila seseorang manusia itu meninggal, maka terputuslah segala pahala amalannya, melainkan tiga amalan yang kekal berterusan walaupun selepas kematian, iaitu amalan soleh, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh kepada kedua ibu bapanya”. (Hadis riwayat muslim)

Hadis tersebut menjelaskan kepada kita bahawa terdapat tiga amalan utama yang perlu dilakukan oleh setiap muslim semasa hidupnya di dunia, sebagai bekalan menuju ke alam akhirat.
 Amalan pertama ialah sedekah jariah atau membelanjakan harta pada jalan Allah.
Perlu difahami bahawa menafkahkan harta pada jalan Allah bukan hanya terhad kepada membelanjakan harta di jalan jihad Fisabilillah, malah ia turut mencakupi amalan berzakat, bersedekah, menderma, mewakaf, perbelanjaan kepada ahli keluarga dan kaum kerabat, serta apa-apa sumbangan kebajikan untuk maslahah umum.

Amalan kedua ialah menimba ilmu sama ada ilmu duniawi mahu pun uhkrawi .
Islam adalah ad-din yang mengimbangi antara keperluan dunia dan akhirat. Islam menggalakkan umatnya agar menuntut ilmu sebanyak mungkin dan Allah S.W.T. telah mengangkat darjat orang yang berilmu berbanding dengan orang yang tidak berilmu. Hanya dengan ilmu sahajalah seseorang muslim dapat memantapkan iman dan mempertingkatkan amal soleh serta mengikhlaskan niatnya hanya kepada Allah S.W.T. Baginda Rasululah S.A.W. pernah menyatakan kelebihan ilmu melalui hadis baginda yang telah diriwayatkan oleh at-Termizi yang bermaksud:
“ Sesiapa yang berusaha menuntut ilmu, maka Allah permudahkan baginya jalan menuju syurga. Para malaikat melebarkan sayapnya sebagai tanda keredhaan keatas penuntut ilmu dan seluruh isi alam langit dan bumi serta ikan di lautan mengucapkan istighfar (memohon keampunan daripada Allah S.W.T. ) terhadap orang yang menuntut ilmu. Sesungguhnya kelebihan orang berilmu itu mengatasi orang yang abid (ahli ibadat) adalah seumpama sinaran bulan purnama keatas gugusan bintang di langit .”

Amalan ketiga yang pahalanya berterusan sehingga ke alam akhirat ialah doa kebaikan seorang anak yang soleh setelah ibu atau bapanya meninggal dunia. Alangkah beruntungnya ibu bapa, yang mampu mendidik anak-anaknya sehingga menjadi anak-anak yang soleh dan taat kepada Allah S.W.T. Dalam masa yang sama, anak-anak juga diasuh supaya menjadi generasi harapan yang akan menyumbang bakti berguna kepada agama, bangsa dan negara tercinta. Inilah di antara ciri- ciri anak soleh yang memiliki kekuatan rohani dan kehebatan jasmani yang doanya amat bernilai kepada kedua orang tua. Sesungguhnya anak yang soleh adalah pelaburan jangka panjang, yang amat berharga kepada kedua ibu bapa apabila mereka meninggal kelak. Rasulullah s.a.w pernah menegaskan dalam sabdanya diriwayatkan oleh al-Baihaki yang bermaksud:

“ Orang yang mati dalam kuburnya tidak ubah seperti seorang yang sedang kelemasan meminta pertolongan. Dia sedang menunggu hingga sampai kepadanya rahmat sesuatu doa daripada bapanya, saudaranya ataupun sahabat handainya. Jika sampai doa kepadanya, maka itulah yang amat disukainya berbanding dengan segala isi dunia. ”

Demikianlah antara beberapa amalan soleh yang perlu diamalkan sebagai persiapan menuju kehidupan hakiki. Sedarilah bahawa kehidupan dunia ini hanyalah sementara dan kehidupan hakiki adalah di akhirat. Justeru, sebelum terlambat bersegeralah kita melakukan sebanyak-banyak kebaikan dan dalam masa yang sama menjauhkan daripada segala kemungkaran serta bersungguh-sungguh mendidik anak-anak agar menjadi insan yang benar-benar beriman dan bertaqwa.


Semoga tuan-tuan dan puan-puan beroleh manfaat dan keberkatan.Amiin

Monday, 7 June 2010

WASIAT LUQMANUL HAKIM BUAT ANAKNYA


Marilah kita renung kembali nasihat Luqmanul Hakim kepada anaknya.Adakah nasihat kita kepada anak kita sama dengan nasihat beliau.Kalau sama Alhamdulillah, kalau tak sama marilah kita ambil nasihat ini.


1. " Hai anakku, jadikanlah takwa kepada Allah Taala sebagai perdaganganmu, engkau pun mendapat untung tanpa barang dagangan".

2. "Hai anakku, hadirilah jenazah-jenazah dan jangan menghadiri pesta kerana jenazah mengingatkanmu kepada akhirat sedangkan pesta menyebabkanmu menyenangi dunia"

3. "Hai anakku, janganlah engkau lebih lemah daripada ayam jantan yang berteriak di waktu pagi hari sedang engkau tidur di atas tempat tidurmu".

4. "Hai anakku, janganlah menangguhkan taubat. Kerana maut itu datang secara tiba-tiba".

5. "Hai anakku, jangan engkau mencintai orang bodoh,sehingga ia beranggapan engkau menyukai perbuatannya".

6. "Hai anakku, jauhilah kejahatan, nescaya kejahatan akan menjauhimu. Kerana kejahatan itu berjangkit".

7. "Hai anakku, hendaklah engkau bergaul dengan para ulama dan dengarlah pendapat para hukama (orang-orang bijaksana ). Kerana Allah menghidupkan hati yang mati dengan cahaya hikmah, sebagaimana menghidupkan tanah dengan hujan yang lebat. Jauhkanlah dirimu dari dusta dan akhlak yang buruk. Kerana orang yang berdusta hilanglah air mukanya ( rasa malunya ), dan orang yang buruk akhlaknya banyak kesedihannya. Memindahkan batu besar dari tempatnya lebih mudah daripada memahamkan orang yang tidak mengerti".

8. "Hai anakku, sesungguhnya dunia itu laut yang dalam. Banyak orang hanyut di dalamnya. Jadikanlah takwa kepada Allah sebagai kapalmu di dalamnya, dan peralatannya iman kepada-Nya serta layarnya tawakkal kepada Allah supaya engkau selamat".

9. "Hai anakku, apabila engkau ingin bersaudara dengan seseorang, buatlah dia marah sebelumnya. Jika dia berlaku bijaksana di waktu marah, teruskanlah. Kalau tidak, jauhilah dia ".

10. "Hai anakku, sejak engkau datang ke dunia, engkau meninggalkannya dan menghampiri akhirat. Tempat yang engkau tuju lebih dekat daripada tempat yang engkau tinggalkan ".

11. "Hai anakku, biasakanlah lidahmu mengucapkan "Ya Allah, ampunilah aku", kerana Allah mempunyai saat-saat ketika doa tidak ditolak ".

12. "Hai anakku, janganlah engkau berhutang. Kerana berhutang adalah kerendahan di siang hari dan kesusahan di malam hari ".



Dalam riwayat Tirmizi Nabi saw bersabda yang bermaksud :

"Peliharalah hak Allah, nescaya engkau mendapati-Nya dihadapan-Mu. Kenalilah Allah di kala sejahtera, nescaya Allah mengenalmu di kala susah. Dan ketahuilah, yang luput darimu tidak akan menimpamu, dan yang menimpamu tidak akan luput darimu. Ketahuilah, pertolongan itu bersama kesabaran dan kebebasan itu bersama musibah, dan sesungguhnya di samping kesulitan ada kemudahan ".

Sunday, 6 June 2010

Mencegah Kemungkaran Tanggungjawab Semua Insan

Pada prinsipnya mereka yang terlibat dengan maksiat dan perbuataan berdosa besar telah hilang kewarasaan akal kerana merosakan nama baiknya dan menimbulkan kegelisahaan dalam masyarakat. Perbuatan-perbuatan ini sebenarnya semakin menjauhkan diri seseorang daripada Allah.

Kadangkala dengan hanya satu perbuatan maksiat sahaja boleh menghancurkan nilai kehidupan dan menyebabkan kerugian sepanjang hayat di dunia dan akhirat. Oleh itu, usaha membanteras, memerangi maksiat dan perbuatan berdosa tidak boleh dibuat berdasarkan kes-kes terhad atau oleh agensi tertentu tetapi perlu dibuat secara menyeluruh di seluruh negara selari dengan kehendak syariat Allah.

Selari dengan Islam sebagai Agama Persekutuan dan kebimbangan kita terhadap perkembangan maksiat di negara ini setiap hari, maka amat wajar sekali semua anggota masyarakat berusaha dengan ikhlas memerangi maksiat.


 Terdapat segelintir umat Islam yang mengakui dirinya dan melafaz dibibir bahawa Islam adalah agama yang baik, solat itu baik, kalimah Allah adalah hak Islam tetapi secara diam-diam mengatakan dalam hati dan fikirannya bahawa maksiat itu adalah urusan individu dan mereka tiada upaya melawan kehendak nafsu demi memperkukuhkan kepentingan diri sendiri.

Pencemaran jiwa dan hilang kewarasan akal telah menggugat  usaha memerangi maksiat. Sabda Rasullullah SAW yang diriwayatkan oleh Nu’man bin Basyir:Maksudnya: “Ingat! Sesungguhnya dalam jasad manusia ada segumpal darah, Jika ia baik, baiklah jasad seluruhnya. Jika ia rosak, maka rosaklah jasad seluruhnya, Ingatlah! Itulah hati.” (Hadith Muttafaqun ‘Alaih)

Berdasarkan hadith tadi, jelas jiwa yang tercemar telah menyesatkan dan memalingkan hati manusia menjauhi Allah SWT. Satu lagi perkara yang saling kait mengait dengan hati yang menjadi penghalang Satu Malaysia memerangi maksiat ialah hawa nafsu.

Firman Allah dalam surah Saad, ayat 26:
Maksudnya: “Wahai Daud, sesungguhnya kami telah jadikan kamu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan benar; dan janganlah kamu menurut nafsumu kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan jalan Allah itu.”

Oleh itu, penegak-penegak maksiat dan pengamal dosa besar, jangan berseronok dengan perbuatan keji dan bergembira melihat mangsa diperlaku dengan zalim. Setiap perbuatan keji itu ada pembalasan yang setimpal dengannya sama ada di dunia mahu pun di akhirat. Di samping itu, mereka juga akan menghadapi kesan buruk sewaktu menghadapi saat kematian atau sakaratulmaut.

Firman Allah dalam surah al-Waaqi’ah, ayat 88-89: Maksudnya: “Kesudahannya jika ia (yang mati itu) dari orang Muqarrabiin. Maka (ia akan beroleh) rehat kesenangan, dan rahmat kesegaran, serta syurga kenikmatan.”

Mereka yang dipermudahkan dan disenangkan ketika menghadapi nazak ialah mereka yang beriman dan beramal kebajikan secara ikhlas. Allah mengutus berpuluh-puluh Malaikat Rahmat untuk menghibur hatinya ketika menghembuskan nafas terakhir, berpisah meninggalkan anak isteri dan keluarganya sehingga dia menghadapi mati dengan tenang, mudah, bahagia dan gembira. Manakala bagi orang yang terlibat dengan dosa besar dan maksiat menghadapi kesukaran dan keperitan yang bertindih-tindih ketika nazak.

Firman Allah dalam surah al-Qiyamah, ayat 29:
Maksudnya: “Serta kedahsyatan mati pun bertindih-tindih.”.

Orang yang yang disukarkan nazak ialah orang yang mendustakan agama, tidak mengerjakan solat, sombong dan jahat, serta bergelumang dengan dosa demi dosa. Ketika menghadapi nazak atau sakarataulmaut itu, Allah memperlihatkan kepada dirinya segala dosa yang dilakukan, seluruh penderitaan zahir dan batin mangsa-mangsa perbuatannya dikumpulkan dan ditayangkan kepadanya ketika menghadapi saat kematian. Kalau dia membunuh diperlihatkan perbuatan pembunuhan itu. Jika dia menzalimi orang, maka diperlihatkan kezaliman yang dilakukan.

Di dalam beberapa hadith disebutkan mereka juga dijerkah oleh Malaikat Maut dan diperlihatkan kepadanya azab seksa api neraka. Keperitan dan kesakitan menghadapi sakaratulmaut menyebabkan mati dalam keadaan kufur tidak sempat mengucap dua kalimah syahadah. Malah kadangkala di pertunjukkan kelakuan buruk kepada ahli-ahli yang hadir menziarahinya yang menjatuhkan nama baik dan pangkat yang diperolehi. Dengan demikian berwaspadalah dan jagalah tingkahlaku semasa kita hidup.

Keperitan sakaratulmaut tidak dapat dibayangkan dan tidak dapat dibandingkan dengan kesakitan di dunia ini. Rasulullah sendiri merasakan sakitnya di waktu saat kematiannya sehingga baginda membasahi sehelai kain dengan air kemudian mengusapi diwajahnya sambil bersabda, “ Tiada Tuhan melainkan Allah. Sesungguhnya bagi setiap kematian itu ada sakaratulmaut. Ya Allah, bantulah aku dalam menghadapi sakaratulmaut”. Walaupun Rasulullah SAW terpelihara daripada dosa, namun baginda juga meninggal dunia seperti orang lain menghadapi proses sakaratulmaut, menghadapi kesakitan apatah lagi kita manusia yang tidak dapat lari melakukan perbuatan berdosa.

Ingatlah dan insaflah semasa masih sihat, masih berkuasa dan bertenaga, marilah kita bersama-sama mencegah maksiat, Satu Ummah mendekatkan diri kepada Allah dengan terus kekal bertaqwa kepada Allah. Untuk menghindarkan diri kita dari kesukaran menghadapi sakaratulmaut, nazak yang perit yang tidak dapat dibayangkan kesukaran di saat kematian, marilah kita sekalian mempertebalkan keimanan kepada Allah, memperbanyakan amal kebajikan, menjalankan tugas dengan jujur, menjauhi segala perbuatan berdosa dan maksiat.

Maksudnya: “Katakanlah: Sebenarnya maut yang kamu larikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya).” (Surah al-Jumu’ah:8)

Sesungguhnya aku bukanlah orang yang layak untuk memberi nasihat dan bicara agama,tetapi aku masih mempunyai tanggungjawab untuk mencegah kemungkaran. Semua ini akan dipersoalkan di akhirat kelak. Semoga anda beroleh manfaat dan berkat.Amin.

Saturday, 5 June 2010

KUTBAH JUMAAT SEMPENA HARI KEPUTERAAN BAGINDA YANG DIPERTUAN AGONG

Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan bahawa Islam adalah agama persekutuan atau dimaksudkan juga sebagai agama rasmi negara. Di dalam Perlembagaan juga dinyatakan bahawa yang di Pertuan Agong adalah ketua agama Islam bagi negeri yang tiada raja seperti Pulau Pinang, Sarawak, Sabah, Melaka dan Wilayah Persekutuan. Manakala di negeri-negeri lain ketua agama Islam ialah Sultan atau Raja di negeri berkenaan.

Dalam Islam, seseorang pemimpin merupakan wakil bagi sesuatu umat, bahkan boleh pula disebut sebagai ketua khalifah Allah untuk melaksanakan amanah Allah SWT di atas muka bumi ini. Salah satu amanah sebagai khalifah Allah ialah menyebarkan dasar Islam sebagai agama pembawa rahmat kepada manusia. Antara rahmat yang perlu disebar ialah berlaku adil kepada sesama manusia iaitu tidak membenci, tidak berlaku zalim, tidak melakukan penindasan, penipuan dan tidak mengabaikan manusia tanpa memandangkan status seseorang. Usaha mewujudkan keadilan kepada manusia sejagat adalah sebahagian sifat ketakwaan.

Firman Allah dalam surah an-Nahli, ayat 90,
Maksudnya: ” Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, berbuat baik dan memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan mungkar dan kezaliman. Ia mengajar kamu supaya kamu mengambil peringatan.”

Pemerintah yang melaksanakan kebaikan dan berlaku adil untuk rakyat akan mendapat pahala daripada Allah SWT dan begitu juga bagi rakyat yang mentaati akan mendapat ganjaran yang sama.

Sabda Rasullullah SAW:Mafhumnya, : Akan ada selepas aku pemerintah-pemerintah, maka hendaklah kamu taat kepada mereka, kerana pemerintah laksana perisai yang melindungi kamu, Jika mereka memerintah dengan baik, maka kamu dan mereka akan mendapat kebaikan, tetapi jika mereka memerintah dengan cara tidak baik, maka mereka akan menanggung akibatnya,manakala kamu terselamat daripada menanggung akibat perbuatan mereka.” (Riwayat: at-Tabarani).

Dalam beberapa hadith yang lain disebutkan pemerintah yang adil doanya dimakbulkan oleh Allah SWT, kata-katanya begitu tajam, tindakannya menepati, nasihatnya menjadi tauladan dan pedoman. Persoalan besar timbul ialah mengapa doa pemerintah yang adil dimakbulkan Allah SWT?. Pemerintah yang adil merupakan golongan yang terhormat disisi Allah SWT, disayangi rakyat jelata, rakyat sentiasa berdoa supaya pintu-pintu langit dibuka agar rahmat berkekalan dicurahkan oleh Allah SWT ke atas pentadbirannya. Manakala tempatnya di akhirat nanti berada di bawah naungan Arash yang mulia.

Kelemahan dalam melaksanakan amanah dan keadilan ini menjadi punca kemarahan, pemberontakan, permusuhan dan boleh membawa keruntuhan sesuatu bangsa.

Sabda Rasulullah SAW:Mafhumnya: ”Apabila amanah telah disia-siakan, maka tunggulah kehancuran. Sahabat bertanya, ’Bagaimana mensia-siakannya?. Rasulullah menjawab; ”Apabila sesuatu jawatan di serahkan kepada orang-orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancurannya” (Riwayat: al-Bukhari).

Negara kita mempunyai penduduk yang berbilang kaum dan agama. Masing-masing berusaha memperjuangkan hak asasi kaum dan agama mereka. Berdasarkan bukti sejarah dan pemerhatian mimbar bahawa Yang di Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja memain peranan penting dalam menentukan pelaksanaan Islam di negara ini dilakukan secara wasatiyyah. Secara kasarnya ’wasatiyyah’ adalah merujuk kepada pelaksanaan Islam secara berhikmah, berimbang bagi menentukan tidak berlaku kekerasan, kezaliman ke atas hak asasi kaum dan agama lain tetapi pada yang sama Islam terus dihargai atau dimartabatkan.

Banyak negara Islam di dunia hari ini melaksanakan Islam secara wasatiyyah kerana ia mampu memperluaskan penyebaran ajaran Islam, mengelakkan ketakutan di kalangan orang bukan Islam dan mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat. Bagi mengekalkan suasana aman damai ini, marilah kita sebagai rakyat Malaysia hidup penuh mahabbah serta bersatupadu dengan menjunjung institusi Raja berperlembagaan. Elakkan daripada terlibat dengan sebarang tindakan yang boleh mengugat atau mencemar institusi Raja-Raja serta mempertikai kesucian Islam sebagai agama rasmi di negara ini.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 13:Maksudnya: " Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya" .

Bagaimanapun, pada akhir-akhir ini terdapat pihak-pihak tertentu cuba mempertikaikan dan menimbulkan perpecahan kaum dan agama di negara ini. Puak-puak pelampau agama dan kaum membangkitkan isu-isu sensitif tentang status agama Islam, status Yang di pertuan Agong atau Sultan sebagai ketua agama Islam, menindas agama lain, membakar masjid atau rumah ibadat agama lain, membaling kepala lembu atau khinzir dan sebagainya. Mimbar mengingatkan umat Islam dan sahabat -sahabat kita beragama lain supaya bertindak secara wasatiyyah, waras dan jangan melampau batas terhadap jolokan atau probokasi puak-puak tertentu yang mementingkan diri sendiri.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Maa’idah ayat 77:
Maksudnya: Katakanlah: Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampaui dalam agama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan mereka (kini) telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul."

Oleh itu,  jika umat Islam dan rakyat negara ini berterusan berpecahbelah, hilang integriti dan diperalatkan pihak lain, maka lambat laun di negara ini akan bermandi darah seperti yang berlaku di negara jiran kita sekarang ini.

Kedaulatan Islam bertunjang kepada kekuatan kepimpinan. Oleh itu, Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam samada dari segi keperibadiannya atau dalam menjalankan bidang kuasa untuk menjaga kesucian agama Islam di negara ini amatlah dikagumi oleh rakyat jelata. Rakyat menjunjung kasih dan merapat sembah atas keperihatinan Baginda dalam memertabatkan agama, Maka, menjadi tanggungjawab rakyat jelata memberikan taat setia yang tidak berbelahbagi kepada Baginda sebagai pemerintah negara. Lebih-lebih lagi kita sebagai umat Islam telah diajar supaya taat dan patuh kepada pemerintah. 

Firman Allah  S.W.T  dalam surah an-Nisa’ ayat 59:
Maksudnya: " Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasul dan kepada Ulil-Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya." .

Akhir sekali, marilah kita mendoakan semoga Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni al-Marhum Sultan Mahmud al-Muktafi Billah Shah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah diteguhkan keimanan, dilanjutkan usia, dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan bagi mentadbir negara dan menjalankan tugas dengan sempurna. Kita doakan juga agar negara dikekalkan nikmat kestabilan politik dan keamanan, dijauhkan dari segala perbuatan jahat dan fitnah yang boleh membawa malapetaka dan kehancuran. Tanamkanlah rasa kasih sayang di antara rakyat yang berbilang kaum, kukuhkan perpaduan di kalangan mereka semoga sentiasa hidup aman damai, menikmati keadilan, kemakmuran dan keselamatan sepanjang zaman.

Ini adalah sorotan khutbah Jumaat Sempena Keputeraan Baginda Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong Malaysia.Semoga kita beroleh manfaat.InsyaAllah.

Tuesday, 1 June 2010

Melaksanakan Tuntutan Sosial Sesama Umat Islam Merupakan Satu Cabang Keimanan.

Kehidupan manusia di atas muka bumi ini tidak dapat lari dari hidup secara berjamaah atau dengan kata lain “Hidup Bermasyarakat”. Apabila kita jauh dari sanak saudara dan ahli keluarga, maka orang yang paling hampir dengan kita ialah jiran tetangga atau sahabat handai yang tinggal dekat mahupun yang jauh dari kita.

Firman Allah dalam surah an-Nisa ayat 36 :Maksudnya : “ dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah, dan janganlah kamu mempersekutukannya dengan sesuatu apa jua, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat dan orang-orang musafir yang terlantar dan juga hamba sahaya yang kamu miliki, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takabur dan suka meninggi-ninggikan diri ”.

Berdasarkan ayat tersebut, dapat difahami bahawa melaksanakan tuntutan sosial sesama umat Islam adalah salah satu tuntutan dalam Islam dan ia merupakan salah satu cabang keimanan kita terhadap Allah s.w.t. Hal ini dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. melalui sabda baginda :

Maksudnya  “Sesiapa yang tidak mengambil berat di atas urusan orang muslimin maka bukanlah dia dari kalangan mereka. Dan sesiapa yang pada pagi hari mengutamakan perkara selain daripada agama Allah maka bukanlah dia daripada golongan orang yang diredhai Allah”.

Islam adalah agama persaudaraan dan perpaduan. Dalam persaudaraan dan perpaduan terkandung nilai-nilai unggul seperti berbuat baik, berkasih sayang, hormat menghormati, tolong menolong, amanah, jujur, bertimbang rasa dan sebagainya. Maka nilai-nilai ini menjadi tunjang di dalam kehidupan bermasyarakat.

Justeru, tuntutan berbuat baik atau melakukan kebajikan tidak terbatas kepada ibu bapa, adik beradik, ahli keluarga atau orang-orang yang ada pertalian darah dengan kita sahaja. Bahkan kita dituntut berbuat baik atau melakukan kebajikan kepada kawan-kawan, jiran tetangga bahkan kepada orang-orang yang kita tidak kenali termasuk juga terhadap haiwan dan makhluk-makhluk yang lain.



Sabda Rasulullah s.a.w. :
Maksudnya : “ Sebaik-baik manusia yang memberi manfaat kepada orang lain”.



Berdasarkan hadis tersebut, maka beruntunglah kita atau bagi sesiapa yang menjadi orang yang banyak memberi manfaat kepada sesama manusia, suka memberi bantuan dalam kerja-kerja kebajikan atau berusaha mengurangkan penderitaan terhadap musibah yang ditanggung oleh seseorang. Oleh itu, yang jelas bagi kita semua, bahawa seruan amalan suka menolong dan membantu orang lain adalah termasuk didalam amal ibadah, bahkan pahalanya lebih besar daripada beriktikaf di dalam masjid.

Ibnu Qayyim Rahimahu Allah menghuraikan hadis tersebut dengan menjelaskan bahawa sesiapa yang berbuat baik dengan orang lain. Allah akan berbuat baik kepada dirinya, dan sesiapa yang bersifat rahmah kepada orang lain, Allah akan bersifat rahmah kepadanya, dan sesiapa yang memberi manfaat kepada orang lain, Allah akan memberi manfaat kepada dirinya, dan sesiapa yang menutup keaiban orang lain, maka Allah akan menutup keaibannya, dan sesiapa yang menegah kebaikan orang lain, maka Allah akan menegah kebaikan kepadanya dan sesiapa yang berhubung kepada yang lain dengan sifat tertentu Allah akan bermuamalah denganya sama dengan sifat itu di dunia dan di akhirat. Oleh yang demikian banyakkan membantu atau menolong orang yang memerlukan bantuan kerana Allah.

 
Justeruitu,kita sebagai umat Islam perlu bersama-sama menyemarakan tuntutan tanggungjawab sosial terutama ditempat kediaman kita. Kerana sesungguhnya tersirat seribu rahsia dan hikmah disebalik semangat tersebut. semoga hubungan yang baik dan semangat tolong menolong dapat mengukuhkan lagi ikatan ukhuwah (persaudaraan) sesama Islam.

Akhirnya, terdapat beberapa pengajaran yang dapat diperoleh iaitu:

1. Menurut Sunnahtul Allah, bahawa manusia tidak boleh hidup bersendirian. Oleh sebab itu, manusia tidak dapat lari dari hidup bermasyarakat yang saling perlu memerlukan dan saling bergantung antara satu sama lain.

2. Masyarakat yang hidup saling tolong menolong dan hidup dalam suasana ukhuwwah, akan hidup dalam keadaan aman dan sejahtera, makmur dan bahagia.

3. Tuntutan menunaikan tanggungjawab sesama umat Islam atau melaksanakan hak mereka merupakan salah satu dari cabang iman. Sesiapa yang melaksanakan tuntutan ini akan mendapat ganjaran pahala serta dikasihi Allah s.w.t. dan Rasul.
 
4. Semangat bantu membantu dan hidup berkasih sayang serta bertolak ansur dapat membentuk perpaduan yang jitu. Disamping ia dapat menghindarkan dari anasir-anasir yang tidak sihat, perbuatan khianat, fitnah dan sebagainya yang boleh mengancam kehidupan mesyarakat.

Syabas kepada sukarelawan Malaysia yang sanggup berkorban nyawa demi kebaikan umat Islam di Gaza. Semoga Allah memberi kemenangan.Sesungguhnya janji ALLAH itu benar.
 
Umat Islam mempunyai peluang yang amat luas untuk melipatgandakan pahala khususnya bagi mereka yang dikurniakan harta dan wang ringgit yang banyak. Kerana itu, beruntunglah orang-orang yang diberi oleh Allah s.w.t. kelebihan suka menolong orang lain dan membantu di dalam kerja-kerja kebajikan.

There was an error in this gadget

komen anda dihargai