BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Search This Blog

Selamat Datang

Selamat datang kepada semua rakan,sahabat,guru,bekas pelajar SMK Marudi dan pelajar SMK Marudi yang sedang menuntut di SMK Marudi ke laman blog saya ini.

Followers

Saturday 5 June 2010

KUTBAH JUMAAT SEMPENA HARI KEPUTERAAN BAGINDA YANG DIPERTUAN AGONG

Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan bahawa Islam adalah agama persekutuan atau dimaksudkan juga sebagai agama rasmi negara. Di dalam Perlembagaan juga dinyatakan bahawa yang di Pertuan Agong adalah ketua agama Islam bagi negeri yang tiada raja seperti Pulau Pinang, Sarawak, Sabah, Melaka dan Wilayah Persekutuan. Manakala di negeri-negeri lain ketua agama Islam ialah Sultan atau Raja di negeri berkenaan.

Dalam Islam, seseorang pemimpin merupakan wakil bagi sesuatu umat, bahkan boleh pula disebut sebagai ketua khalifah Allah untuk melaksanakan amanah Allah SWT di atas muka bumi ini. Salah satu amanah sebagai khalifah Allah ialah menyebarkan dasar Islam sebagai agama pembawa rahmat kepada manusia. Antara rahmat yang perlu disebar ialah berlaku adil kepada sesama manusia iaitu tidak membenci, tidak berlaku zalim, tidak melakukan penindasan, penipuan dan tidak mengabaikan manusia tanpa memandangkan status seseorang. Usaha mewujudkan keadilan kepada manusia sejagat adalah sebahagian sifat ketakwaan.

Firman Allah dalam surah an-Nahli, ayat 90,
Maksudnya: ” Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, berbuat baik dan memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan mungkar dan kezaliman. Ia mengajar kamu supaya kamu mengambil peringatan.”

Pemerintah yang melaksanakan kebaikan dan berlaku adil untuk rakyat akan mendapat pahala daripada Allah SWT dan begitu juga bagi rakyat yang mentaati akan mendapat ganjaran yang sama.

Sabda Rasullullah SAW:Mafhumnya, : Akan ada selepas aku pemerintah-pemerintah, maka hendaklah kamu taat kepada mereka, kerana pemerintah laksana perisai yang melindungi kamu, Jika mereka memerintah dengan baik, maka kamu dan mereka akan mendapat kebaikan, tetapi jika mereka memerintah dengan cara tidak baik, maka mereka akan menanggung akibatnya,manakala kamu terselamat daripada menanggung akibat perbuatan mereka.” (Riwayat: at-Tabarani).

Dalam beberapa hadith yang lain disebutkan pemerintah yang adil doanya dimakbulkan oleh Allah SWT, kata-katanya begitu tajam, tindakannya menepati, nasihatnya menjadi tauladan dan pedoman. Persoalan besar timbul ialah mengapa doa pemerintah yang adil dimakbulkan Allah SWT?. Pemerintah yang adil merupakan golongan yang terhormat disisi Allah SWT, disayangi rakyat jelata, rakyat sentiasa berdoa supaya pintu-pintu langit dibuka agar rahmat berkekalan dicurahkan oleh Allah SWT ke atas pentadbirannya. Manakala tempatnya di akhirat nanti berada di bawah naungan Arash yang mulia.

Kelemahan dalam melaksanakan amanah dan keadilan ini menjadi punca kemarahan, pemberontakan, permusuhan dan boleh membawa keruntuhan sesuatu bangsa.

Sabda Rasulullah SAW:Mafhumnya: ”Apabila amanah telah disia-siakan, maka tunggulah kehancuran. Sahabat bertanya, ’Bagaimana mensia-siakannya?. Rasulullah menjawab; ”Apabila sesuatu jawatan di serahkan kepada orang-orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancurannya” (Riwayat: al-Bukhari).

Negara kita mempunyai penduduk yang berbilang kaum dan agama. Masing-masing berusaha memperjuangkan hak asasi kaum dan agama mereka. Berdasarkan bukti sejarah dan pemerhatian mimbar bahawa Yang di Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja memain peranan penting dalam menentukan pelaksanaan Islam di negara ini dilakukan secara wasatiyyah. Secara kasarnya ’wasatiyyah’ adalah merujuk kepada pelaksanaan Islam secara berhikmah, berimbang bagi menentukan tidak berlaku kekerasan, kezaliman ke atas hak asasi kaum dan agama lain tetapi pada yang sama Islam terus dihargai atau dimartabatkan.

Banyak negara Islam di dunia hari ini melaksanakan Islam secara wasatiyyah kerana ia mampu memperluaskan penyebaran ajaran Islam, mengelakkan ketakutan di kalangan orang bukan Islam dan mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat. Bagi mengekalkan suasana aman damai ini, marilah kita sebagai rakyat Malaysia hidup penuh mahabbah serta bersatupadu dengan menjunjung institusi Raja berperlembagaan. Elakkan daripada terlibat dengan sebarang tindakan yang boleh mengugat atau mencemar institusi Raja-Raja serta mempertikai kesucian Islam sebagai agama rasmi di negara ini.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 13:Maksudnya: " Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya" .

Bagaimanapun, pada akhir-akhir ini terdapat pihak-pihak tertentu cuba mempertikaikan dan menimbulkan perpecahan kaum dan agama di negara ini. Puak-puak pelampau agama dan kaum membangkitkan isu-isu sensitif tentang status agama Islam, status Yang di pertuan Agong atau Sultan sebagai ketua agama Islam, menindas agama lain, membakar masjid atau rumah ibadat agama lain, membaling kepala lembu atau khinzir dan sebagainya. Mimbar mengingatkan umat Islam dan sahabat -sahabat kita beragama lain supaya bertindak secara wasatiyyah, waras dan jangan melampau batas terhadap jolokan atau probokasi puak-puak tertentu yang mementingkan diri sendiri.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Maa’idah ayat 77:
Maksudnya: Katakanlah: Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampaui dalam agama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan mereka (kini) telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul."

Oleh itu,  jika umat Islam dan rakyat negara ini berterusan berpecahbelah, hilang integriti dan diperalatkan pihak lain, maka lambat laun di negara ini akan bermandi darah seperti yang berlaku di negara jiran kita sekarang ini.

Kedaulatan Islam bertunjang kepada kekuatan kepimpinan. Oleh itu, Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam samada dari segi keperibadiannya atau dalam menjalankan bidang kuasa untuk menjaga kesucian agama Islam di negara ini amatlah dikagumi oleh rakyat jelata. Rakyat menjunjung kasih dan merapat sembah atas keperihatinan Baginda dalam memertabatkan agama, Maka, menjadi tanggungjawab rakyat jelata memberikan taat setia yang tidak berbelahbagi kepada Baginda sebagai pemerintah negara. Lebih-lebih lagi kita sebagai umat Islam telah diajar supaya taat dan patuh kepada pemerintah. 

Firman Allah  S.W.T  dalam surah an-Nisa’ ayat 59:
Maksudnya: " Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasul dan kepada Ulil-Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya." .

Akhir sekali, marilah kita mendoakan semoga Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni al-Marhum Sultan Mahmud al-Muktafi Billah Shah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah diteguhkan keimanan, dilanjutkan usia, dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan bagi mentadbir negara dan menjalankan tugas dengan sempurna. Kita doakan juga agar negara dikekalkan nikmat kestabilan politik dan keamanan, dijauhkan dari segala perbuatan jahat dan fitnah yang boleh membawa malapetaka dan kehancuran. Tanamkanlah rasa kasih sayang di antara rakyat yang berbilang kaum, kukuhkan perpaduan di kalangan mereka semoga sentiasa hidup aman damai, menikmati keadilan, kemakmuran dan keselamatan sepanjang zaman.

Ini adalah sorotan khutbah Jumaat Sempena Keputeraan Baginda Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong Malaysia.Semoga kita beroleh manfaat.InsyaAllah.

0 comments:

komen anda dihargai