BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Search This Blog

Selamat Datang

Selamat datang kepada semua rakan,sahabat,guru,bekas pelajar SMK Marudi dan pelajar SMK Marudi yang sedang menuntut di SMK Marudi ke laman blog saya ini.

Followers

Friday, 26 November 2010

Berita Harian Online | Orang Islam patut mengetahui hukum, kepentingan berwasiat

Berita Harian Online Orang Islam patut mengetahui hukum, kepentingan berwasiat

Thursday, 25 November 2010

Kaya di Dunia Muflis Di Akhirat


Sebagai seorang Islam kita seharusnya bijak melayarkan bahtera kehidupan ke arah yang benar mengikut petunjuk yang telah digariskan oleh al-Quran dan Hadith. Untuk kita sampai ke destinasi akhirat maka hendaklah kita beramal dengan seberapa banyak amalan kebajikan dan sentiasa berada dalam keampunan Allah SWT semasa hidup di dunia.

Ini selaras dengan firman Allah SWT dalam surah al-Hadid ayat 21: Maksudnya: Berlumbalah kamu untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Rasul-Nya;.

Banyak ayat al-Quran mengambarkan kepada kita perihal mereka yang melakukan dosa akan menjadi cemas, takut dan merana bila dibentangkan buku catatan amalan mereka di Padang Masyar. Insaflah bahawa segala amalan kita di dunia ini akan di adili di akhirat nanti walaupun ianya sekecil zarah. Ketahuilah bahawa setiap amalan dan tingkah laku kita semuanya di catat oleh malaikat yang di tugaskan oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah al-Infitaar ayat 10 dan 11:
Maksudnya: Padahal sesungguhnya, ada malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan kamu, (Mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu).

Namun persoalannya pada hari ini ada dikalangan kita yang kaya di dunia tetapi tidak bersedia untuk menghindari muflis di akhirat. Mereka menikmati pelbagai kemewahan kurnian Allah SWT di dunia tetapi tidak bersyukur dan mengabaikan tanggungjawab terhadap Allah SWT dan mengkianati amanah sesama manusia. Dalam mengejar kemewahan mereka lupa solat, zakat, menunaikan haji dan sebagainya kerana sibuk dengan pelbagai urusan duniawi. Selain itu, mereka juga tidak prihatin kepada hak-hak sesama manusia, hak-hak golongan fakir, miskin dan anak-anak yatim.Malah ada dikalangan kita menzalimi sesama manusia. Ketahuilah bahawa gaya hidup sedemikian akan menjadikan mereka muflis di akhirat. Nabi SAW dalam hadithnya yang di riwayatkan oleh iman Muslim RA memberi amaran kepada kita tentang berlakunya gejala muflis dikalangan umatnya.

Sabda Rasulullah SAW: Bermaksud: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Para sahabat menjawab: Bagi kami orang yang muflis ialah orang yang tidak memiliki wang mahupun hartabenda”. Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: Sebenarnya orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah mereka yang pada hari Kiamat datang dengan membawa pahala amal solat, puasa, zakat dan haji tetapi semasa di dunia mereka pernah mencaci maki orang, menuduh tanpa bukti, memakan harta dengan zalim, membunuh dan memukul sesuka hati. Lalu pada hari kiamat, orang yang di zalimi akan menerima pahala amal si penzalim. Jika pahala amalnya telah habis (diberikan) sedangkan kesalahan dan dosanya semasa di dunia kepada orang yang tidak berdosa masih banyak, maka Alllah SWT akan memberi pula dosa orang yang dizalimi itu kepadanya sehingga semakin berat bebannya, lalu Allah SWT campakkan dia ke dalam neraka." (Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadith ini, dapat kita fahami bahawa golongan yang menjadi muflis di akhirat adalah berasal daripada mereka yang memiliki pahala, seperti pahala solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya. Bagaimanapun, semua pahala ibadah mereka itu habis kerana digunakan sebagai membayar ganti rugi kepada insan yang pernah disakiti, dikianati atau dizalimi. Di samping mereka dibebankan dengan dosa orang yang dizalimi.

Alangkah ruginya golongan muflis ini, kerana walaupun mempunyai pahala kerana mengerjakan ibadah dan bermacam kebaikan, akhirnya menjadi kosong kerana di ambil oleh orang lain sebagai ganti rugi dengan sebab kesalahan terhadap orang lain atau kezaliman yang telah dilakukan.

Dalam kehidupan sehari-hari kita perlu berhati-hati agar tidak melakukan dosa, terutama dosa sesama manusia. Namun kenyataannya pada hari ini segelintir daripada kita secara terangan melakuan pelbagai kesalahan kepada orang lain, iaitu; Pertama: Mencabuli kehormatan dan harga diri melalui fitnah, mengumpat dan mencaci. Kedua: Merosakkan harta benda dengan merompak, menyamun, mencuri, menipu dan sebagainya, Ketiga: Mencabuli keselamatan dan kebahagiaan dengan cara keganasan,penderaan mental dan fizikal, pukul, bunuh, perbuatan sihir, ilmu hitam dan sebagainya. Keempat: Merosak rumahtangga melalui perbuatan curang dengan suami atau isteri yang menyebabkan runtuhnya institusi keluarga.

Jika kita miskin di dunia masih ada lagi orang yang bersimpati dan dapat membantu kita. Tetapi bagaimana pula hal keadaan kita apabila muflis di akhirat ?. Siapakah yang akan bersimpati, siapakah yang akan menolong kita dan siapakah pula yang akan menyelamatkan kita dari azab seksaan neraka Allah SWT?

Perlu di fahami bahawa kehidupan di akhirat lebih perlu di utamakan kerana ia merupakan kehidupan yang kekal abadi. Kesejahteraan di akhirat tentulah memerlukan persiapan dan usaha yang lebih terancang dan konsisten. Kita perlu banyak mengorbankan masa, fikiran dan tenaga dalam mempersiapkan bekalan ke alam akhirat. Dengan persiapan dan bekalan yang mencukupi, kita akan dapat menghadapi pelbagai rintangan dalam perjalanan menuju ke alam akhirat, bermula di alam kubur seterusnya di padang Mahsyar dan di negeri akhirat.

Ini selaras dengan firman Allah dalam surah Az-Zumar ayat 73:Maksudnya: “Dan orang yang bertakwa kepada Tuhan mereka dibawa masuk ke Syurga dengan berpasuk-pasuk, sehingga apabila mereka sampai ke Syurga itu dibuka pintu-pintunya dan berkatalah penjaganya: Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, silalah masuk ke dalam Syurga ini dengan kekal.

Marilah sama-sama kita menghitung diri kita, adakah kita sudah berada dalam gaya hidup yang diredhai Allah ataupun gaya hidup yang di murkai oleh Allah. Andainya kita telah berada dalam keredhaan Allah, maka kita pertingkatkan dan gandakan lagi agar ianya lebih mendapat rahmat dan keredhaan Allah SWT. Andainya kita menderhakai kepada Allah maka bersegeralah kita bertaubat dan kembali ke jalan Allah, mudah mudahan kita diampuni Allah dan dilimpahi dengan kehidupan akhirat yang penuh dengan nikmat.Marilah sama-sama kita merenung firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 133: Maksudnya: “ Dan segeralah kamu kepada keampunan dari Tuhan kamu, dan Syurga yang luasnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertakwa.”

Wednesday, 24 November 2010

Manusia Berwajah Syaitan


Dalam sejarah kewujudan dunia, didapati Iblis adalah makhluk pertama yang menderhaka dan menentang hukum Allah SWT. Allah telah memerintahkan para Malaikat dan Iblis sujud kepada Nabi Adam AS sebagai menghormati manusia makhluk Allah yang paling mulia. Para Malaikat mematuhi perintah Allah tetapi Iblis terus ingkar dan menderhaka perintah Allah. Sejak penentangan itu, Iblis berikrar akan terus menderhakai Allah dan akan memujuk manusia menyertainya menentang perintah Allah.

Firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 121:
Maksudnya: “Dan sesunggguhnya Syaitan itu membisikkan kepada pengikut-pengikutnya, supaya mereka membantahmu; dan jika kamu menurut hasutan mereka, maka sesungguhnya kamu tetap menjadi orang musyrik.”.

Menurut Ulama, Syaitan adalah golongan kafir daripada Jin. Bapa mereka ialah Iblis. Syaitan adalah musuh utama manusia dan syaitanlah yang mengeluarkan Adam dan Hawa daripada Syurga. Syaitan sentiasa berusaha supaya manusia tidak dapat memasuki syurga dan menjauhkan diri daripada jalan kearahnya. Walaupun demikian sifat syaitan, namun masih ada manusia yang menurutnya dan meninggalkan syariat Allah SWT dan petunjuk para Nabi dengan menerima pujuk rayu syaaitan.

Kerja Syaitan ialah Pertama: Mewas-waskan manusia dengan melakukan tipu daya supaya manusia berbuat kejahatan dan mengajak kearah keburukan dan kekejian, kedua: Menjadikan pekara-perkara buruk kelihatan baik pada pandangan pengikut-pengikutnya sehingga manusia tidak nampak keburukan, ketiga: Melalaikan manusia daripada melakukan tugas-tugas dakwah dan menjauhkan manusia daripada mengingati Allah, keempat, Syaitan akan meninggalkan dan membiarkan manusia pada saat genting apabila manusia telah terjebak mengikut telunjuk Syaitan.

Manusia yang berwajah Syaitan atau saudara Syaitan adalah mereka yang mengikut hawa nafsunya dan menjadi pengikut jalan para perosak. Mereka ini tidak mendapat petunjuk dari Allah SWT sedikit pun. Di dalam hatinya terdapat sifat-sifat tercela seperti tamak, hasad dengki, iri hati, malah mendorong ke arah kemaksiatan dan kederhakaan kepada Allah SWT. Sayidina Ali RA berkata: “yang paling aku takutkan menimpa kamu adalah panjang angan-angan dan mengikuti hawa nafsu. Panjang angan-angan dapat melupakan kehidupan akhirat, sedangkan mengikuti hawa nafsu dapat menghalang-halangi kebenaran.”

Firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 21:Maksudnya : "Wahai orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu sentiasa menyuruh melakukan perkara yang keji dan yang mungkar.

Mereka yang dikalahkan oleh hawa nafsunya, kebatilan menguasai hati dan menyangka bahawa Syaitan adalah teman karibnya sehingga menjadi pengikut dan bertopengkan Syaitan, maka ingatlah bahawa musuh Allah SWT ini sentiasa mengintai-intai sasarannya dan menunggu mangsanya untuk dijerumuskan ke dalam jurang yang dalam.

Manusia yang berwajah Syaitan licik memutarkan kata-kata, manis bibirnya, bijak melaksanakan program-program Syaitan. Antaranya dengan melakukan pujuk rayu , bisikan, tipu daya, fitnah dan kata-kata nista. Pujuk rayu merupakan bahagian terpenting dari seluruh langkah-langkah program Syaitan, kerana ianya tersembunyi dan boleh menimbulkan kesan negatif yang sangat merbahaya bagi manusia. Dengan pujuk rayu Syaitan akan menerbitkan perbuatan mencaci, mencela, mengutuk, mengumpat mengaib serta memutuskan hubungan Silaturrahim sesama insan. Lebih dari itu mereka ini sanggup melakukan apa saja seperti menipu dan membunuh.

Dalam usaha menjadikan manusia itu sebagai pengikutnya, maka sudah menjadi kebiasaan Syaitan melakukaan kefasadan, memusuhi anak Adam, mendatangi anak Adam dari sebelah kanan, kiri, hadapan dan belakang mereka. Sentiasa mencari cari peluang untuk menghasut,menyesat dan menakutkan manusia.

Syaitan menggunakan dua cara untuk mewujudkan pintu godaan ini iaitu lisan dan perbuatan. Cara lisan lebih hebat daripada perbuatan kerana di situlah terhimpun segala pujuk rayu dalam jiwa. Lisan juga merbahaya kepada tubuh manusia kerananya juga akan membawa hidup penuh sengsara di dalam Neraka. Sayidina Mu’adz pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang amalan yang dapat memasukkan ke dalam Syurga dan menjauhkan daripada api Neraka. Maka Rasulullah SAW memegang lidahnya sendiri lalu bersabda:

Bermaksud: “Jagalah lisanmu, kecuali untuk berkata baik, sebab dengan demikian itu engkau dapat mengalahkan godaan Syaitan”. (Riwayat at-Thabrani)



Bagi menghindari dari Syaitan menguasai diri kita, maka antaranya hendaklah kita sentiasa mendekatkan diri kita kepada Allah SWT dengan memohon perlindungan daripada-Nya, sentiasa membaca ayat-ayat suci al-Quran, mencegah diri dari berbicara yang berlebihan, memelihara mata, telingga, hati dan segala anggota, membuang amalan-amalan Syaitan seperti ketawa yang berlebihan, berjalan di waktu senja dan yang terakhirnya yang mesti kita lakukan ialah jihad melawan segala bentuk tipu daya Syaitan.

Dalam kehidupan hari ini ramai manusia yang bertopengkan Syaitan atau dengan kata lain menjadikan Syaitan sebagai saudara mereka. Ingatlah wahai muslimin sekalian bahawa kejadian pembunuhan manusia, penyeksaan sesama manusia, membunuh diri, menentang hukum Allah SWT dan melakukan kejahatan, kezaliman keatas makhluk-makhluk Allah adalah perbuatan yang dipengaruhi Syaitan. Mereka yang menjadikan Syaitan sebagai kawan atau idola akan sesat dalam kehidupan mereka. Golongan ini tidak akan diberi petunjuk oleh Allah SWT dan di akhirat kelak mereka akan di azab dengan api neraka yang amat pedih.

Marilah sama-sama kita merenung diri kita, dimanakah sebenarnya kedudukan kita, adakah dilandasan kebenaran atau masih lagi berada dijalan yang berliku yang penuh dengan duri-duri syaitan. Marilah sama-sama kita kembali ke jalan yang benar dengan melakukan amal soleh, menilik wajah kita agar ianya berseri-seri dengan amalan mulia di sepanjang kehidupan ini dan tidak bertopengkan wajah Syaitan. Akhir sekali marilah sama-sama kita merenung

Firman Allah SWT dalam surah al- Hadid ayat 21:Maksudnya: “Berlumbalah kamu untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Rasul-Nya; itulah kurniaan Allah; diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki; dan Allah mempunyai kurnia yang besar







Friday, 19 November 2010

Pengorbanan Kembali Kepada Allah


Ibadah haji mengembalikan kenangan agong yang berlaku kira-kira 5,000 tahun yang lampau melibatkan pengorbanan nabi Ibrahim AS dan keluarganya dalam mentaati perintah Allah. Dalam mencapai pengorbanan yang agong ini nabi
Ibrahim telah menghabiskan segenap usianya untuk berbakti kepada tuhan,meletakkan batu asas supaya manusia kembali kepada agama Allah. Selain menjadikan kota Mekkah sebagai pusat gerakannya, baginda kemudian berpindah
dari satu daerah ke satu daerah, dari wilayah Iraq sampai ke Palestin, terus ke Mesir. Ditinggalkan isterinya Hajar bersama putranya Ismail di tanah tandus yang tidak berair itu sehingga terpancarlah air zamzam untuk memberi minum kepada mereka. Apabila baginda kembali ke Makkah, diperintahkan tuhan menyembelih puteranya Ismail, dan dilakukannya dengan penuh keikhlasan. Maka diganti oleh Allah SWT dengan haiwan iaitu kibas yang dijadikan korban sembelihan.

Kemudian bersama putranya membina semula Baitullah yang menjadi kiblat kaum muslimin hingga sekarang. Pengorbanan besar nabi Ibrahim dan keluarganya kepada Allah SWT dapat dilihat dalam kalimah talbiah yang berbunyi,

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, kami datang semata-mata dengan ikrar setia dan taat kepada perintahMu. Wahai Tuhan kami yang tiada sekutu bagiMu, kami sahut seruanMu. Sesungguhnya segala puji nikmat dan kekuasaan, kesemuanya adalah bagiMu, wahai Tuhan kami yang tiada sekutu bagiMu.

Lafaz talbiah yang diucapkan oleh nabi Ibrahim AS dan keluarganya memberi pengertian yang besar dalam kehidupan umat Islam. Apa yang nyata talbiah ini adalah ikrar yang dilafazkan jemaah haji di seluruh tanah haram 3
Mekkah semata-mata untuk bertakwa kepada Allah SWT, tanda kerinduan kepada Allah yang Maha Esa dan bersiap sedia untuk berkorban kembali kepada Islam dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Kekuatan ibadah haji terletak kepada penghayatan lafaz talbiah ini yang dizahirkan melalui amalan tawaf, Sai’, wuquf, bermalam di Muzdalifah, melontar di Jamrah, bercukur dan ibadah yang lain. Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin menerangkan bahawa dengan mengerjakan ibadah haji seseorang muslim menunjukkan kerinduannya yang mendalam kepada tuhan. Ditinggalkan kampung halaman, anak isteri, keluarga serta sahabat dan berangkat mengharungi lautan yang luas, meredah angkasa,
mengharungi daratan yang terbentang menuju ke tanah suci dan Baitullah sematamata untuk mengabdikan dan kembali kepada ajaran Islam seperti mana ikrar yang dilakukan oleh nabi Ibrahim, nabi Ismail dan nabi Muhammad SAW ketika
berada di tanah suci Mekkah. Firman Allah SWT dalam surah al-Mumtahanah ayat 4:
Maksudnya: ” Sesungguhnya adalah bagi kamu pada Nabi Ibrahim dan pengikut pengikutnya contoh ikutan yang baik”.

Ibadah haji adalah rukun Islam yang kelima selepas  mengucap kalimah syahadah, solat, berpuasa, dan menunaikan zakat. Mereka yang melaksanakan ibadah haji ini hakikatnya menjadi simbul telah sempurna keimanan dan penghayatan melaksanakan perintah Allah. Mereka melafazkan lafaz talbiah sebagai mengistiharkan dan berikrar untuk kembali dan berkorban mempertahankan ajaran Islam sepenuhnya. Sebab itulah mereka yang menunaikan ibadah haji dan 4 mempertahankan sifat-sifat mahmudah atau sifat yang terpuji yang membawa kebaikan kepada keluarga, jiran, masyarakat dan negara dianggap sebagai mendapat haji mabrur.

Sambutan Hari Raya Korban atau Iduladha adalah merujuk kepada pengorbanan kembali kepada Islam kerana Islam adalah agama Allah. Menerima Islam untuk diamalkan dan diperjuangkan samalah seperti menjemput kedatangan rahmatan, keamanan dan keindahan. Menerima Islam sepenuhnya tidak akan merugikan, menyusahkan dan tidak menjatuhkan maruah seseorang.Terdapat umat Islam mengalami perasaan ragu-ragu untuk menghayati ajaran Islam sepenuhnya. Keadaan ini menyebabkan mereka mengamalkan Islam secara terpisah-pisah atau secara serpihan. Ada yang mengamalkan solat, puasa, haji tetapi pada masa yang sama pula bergelomang dengan maksiat. Lantaran kealpaan inilah kita lalai dalam melaksanakan
tangungjawab sebagai seorang hamba Allah SWT. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan seseorang itu lalai dari tangungjawab yang sebenarnya antaranya ialah kerana mereka ini sukakan kehidupan dunia dan benci kepada kematian, sedangkan perlu diingat suatu hari nanti kita akan berhadapan dengan Allah dalam keadaan bersendirian.

Cinta kepada dunia datang dengan pelbagai bentuk seperti cintakan kemewahan, kesenangan, keamanan, kesihatan, kedudukan dan pangkat. Lantas dengan perkara ini kita menjadi lalai dan tidak mampu mengorbankan apa jua yang
ada pada kita di jalan Allah SWT. Kita beranggapan segala yang kita perolehi adalah hasil dari usaha kita sendiri tanpa menghubung kait dengan pemberian dari

Allah SWT. Kita lebih mengutamakan kerja daripada melaksanakan perintah Allah, lalai untuk mengorbankan sedikit waktu untuk sujud dan patuh kepada perintah-Nya dan ada juga yang belum mampu untuk mengorbankan sedikit hasil 5 pendapatan dan harta kerana dikhuatiri kekayaan dan harta itu akan berkurangan, justeru kita lebih suka memikirkan kepentingan diri daripada kepentingan umum. Ibadah haji yang sedang dilaksanakan pada saat ini sebenarnya memupuk semangat berkorban sesama umat Islam, menjaga hubungan persaudaraan, bersatu hati, menghindari sikap mementingkan diri sendiri. Prinsip-prinsip inilah yang akan membentuk kekuatan yang perlu difahami dan dijunjung oleh setiap individu muslim pada ketika ini. Umat Islam yang longgar atau mengenepikan prinsip-prinsip pengorbanan ini membuka ruang kepada musuh-musuh Islam untuk menghancurkan Islam dan umatnya. Oleh itu pengorbanan antara satu sama lain adalah agenda umat yang paling dituntut. Mimbar menyeru marilah sama-sama kita mengorbankan sedikit kepentingan diri demi mengatur langkah bagi memperkukuhkan dan memperkasakan ukhwah sebagai agenda utama dalam menentukan masa depan umat Islam itu sendiri.

Pengorbanan yang sebenarnya adalah pengorbanan yang berasaskan kepentingan Islam. Inilah pengorbanan yang mesti dilakukan oleh setiap kita, demi membela dan menyelamatkan Islam dan umatnya. Kesemua ini menuntut
pengorbanan jiwa raga dan harta benda dengan bertunjangkan kepada niat yang ikhlas dan ketakwaan kepada Allah SWT. Ingatlah wahai umat Islam sekalian setiap pengorbanan tanpa keiklasan dan ketakwaan kepada Allah SWT adalah sia-sia belaka.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat37 : Maksudnya: Daging dan darah binatang korban itu tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketaqwaan kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang itu bagimu supaya kamu mengagungkan Allah atas
petunjuk-Nya kepadamu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang berusaha supaya baik amalnya..

Lafaz talbiah yang menyeru kita kembali dan berkorban untuk Islam telah menyedarkan kita, menginsafkan kita bahawa agama Islam menjadi asas kekuatan umat Islam di negara ini. Kelemahan kita mempertahankan Islam akan menjerat bangsa kita menjadi bangsa yang tiada identiti dan jati diri

Marilah kita mengambil kesempatan pada hari yang mulia ini, untuk membina keutuhan tali persaudaraan diantara kita dengan ziarah-menziarahi dan bermaaf- maafan sesama kita. Buang yang keruh, ambillah yang jernih. lebih-lebih lagi dalam menangani isu yang membabitkan agama dan masa
depan umat Islam, maka sewajarnya kita sama-sama bangkit bersatu hati tanpa mempedulikan perbezaan latar belakang ekonomi, miskin atau kaya, berbeza latar belakang fahaman atau politik. Kita ketepikan segala perbezaan-perbezaan tersebut.


 Marilah sama-sama kita menghayati firman Allah

SWT dalam surah al-Kauthar ayat 1-3:
Maksudnya: Sesungguhnya kami telah mengurniakan kepadamu(wahai Muhammad) kebaikan-kebaikan yang banyak(di dunia dan akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diinginnya).

Friday, 12 November 2010

Kelebihan Bulan Zulhijjah


Kini kita berada pada 5 Zulhijjah. Bulan yang mulia lagi berkat ini merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan terutamanya pada sepuluh hari pertama dalam bulan ini. Firman Allah SWT dalam surah al-Fajr ayat 1-3:

Maksudnya: “Demi waktu fajar Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah Dan bilangan yang genap serta yang ganjil.”

Ibnu Kathir berpandangan bahawa malam yang sepuluh itu ialah sepuluh malam yang pertama di bulan Zulhijjah, manakala yang ganjil tersebut ialah hari Arafah. Sabda Rasulullah SAW:



Yang bermaksud :“Tidak ada hari yang lebih banyak dibebaskan oleh Allah SWT akan hambaNya daripada neraka lebih dari hari arafah. ” (Riwayat Muslim)



Dan sabda Rasulullah SAW lagi ketika mentafsirkan ayat ke 3 dari surah al-Buruj:



Bermaksud : “Yang menyaksikan ialah hari arafah dan yang disaksikan ialah hari kiamat. ” (Hadis riwayat Ahmad dan Baihaqi)



Banyak hadith yang menceritakan tentang kelebihan bulan Zulhijjah ini antaranya daripada Imam Ahmad RA meriwayatkan dari Ibnu ‘Umar RA bahawa Baginda SAW bersabda: “Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari sepuluh Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)”.Dan Ibnu Hibban menyatakan di dalam kitab Sahihnya bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Seutama-utama hari adalah hari ‘Arafah”.

Untuk mencapai kelebihan pada bulan ini maka umat Islam di anjurkan pelbagai amalan antaranya, Pertama: Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik amalan, Kedua: Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuan terutamanya pada hari Arafah iaitu 9 Zulhijjah. Sabda Rasulullah SAW:



bermaksud : “Puasa pada hari arafah ini aku mengira Allah SWT akan mengampunkan dosa setahun yang lepas dan setahun yang akan datang.” (Riwayat Muslim)



Ketiga: Memperbanyakkan takbir dan berzikir. Imam al-Bukhari RA meriwayatkan bahawa Ibnu ‘Umar dan Abu Hurairah RA selalu keluar ke pasar bertakbir dan diikuti oleh orang ramai dengan lafaz “Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha Illa Allah, wa Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa LillahI Hamdu”.

Keempat: Bertaubat dengan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya. Kelima: Memperbanyakkan amalan soleh terutama amalan-amalan sunat tambahan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana kesemuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut. Keenam: Disyari’atkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjamaah. Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, disunatkan bertakbir bermula dari waktu subuh hari raya dan berakhir sehingga waktu Asar pada hari 13 Zulhijjah. Ketujuh: Disyari’atkan amalan korban iaitu menyembelih haiwan ternakan pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunnah amalan nabi Allah Ibrahim ‘AS setelah Allah SWT mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail ‘AS tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.


Amalan paling agung pada bulan yang mulia ini ialah menunaikan ibadah haji yang merupakan rukun Islam yang kelima. Perjalanan rohani ini merupakan satu kewajipan yang mesti ditunaikan bagi mereka yang memenuhi syarat-syarat yang ditentukan oleh syarak sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah Ali 'Imran, ayat 97:

Maksudnya: “Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; diantaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya, aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.”

Orang-orang yang menunaikan fardu haji adalah merupakan tetamu Allah SWT . Mereka sanggup berkorban harta, tenaga dan masa demi menunaikan perintah Allah. Berdasarkan kesungguhan dan pengorbanan tinggi jemaah haji dalam membuat persiapan melaksanakan ibadah tersebut, maka diharapkan ibadat haji yang dilaksanakan itu mendapat ganjaran haji yang mabrur. Haji mabrur adalah haji yang diterima dan dikurniakan ganjaran syurga oleh Allah SWT, ia merupakan kedudukan yang paling tinggi dan istimewa, malah ingin dikecapi oleh sesiapa sahaja yang menunaikan ibadah haji tersebut.

Syeikh Mustafa az-Zarqa’ dalam buku Fatwa Hukum Haji dan Kelebihannya ketika ditanya makna haji yang mabrur, menyatakan di antara ciri-ciri haji yang diterima ialah:“ Hendaklah bagi mereka yang menunaikan haji tidak melampau-lampau di dalam mengerjakan kewajipan haji, tidak mengabaikan adab-adab haji dan sunnah-sunnahnya, memperbanyakkan taat, ibadat, sedekah, menjadi teladan (kepada orang lain) dengan memiliki budi pekerti yang baik, memberi makan sekadar kemampuannya, berkata-kata dengan lembut, dapat mengawal setiap cabaran yang ditempuh, bersikap berlapang dada dan pemaaf, kembalinya dari haji dengan memandang tinggi kehidupan akhirat dan berniat untuk kekal (seperti keadaan tersebut) dan istiqomah”.

Banyak juga persoalan yang di timbulkan bahawa mereka yang memperolehi haji mabrur itu dikatakan akan mengalami peristiwa yang pelik antaranya tersesat di dalam perjalanan, hilang harta-benda, mendapat mimpi dan sebagainya. Sebenarnya ini adalah pandangan dan tanda-tanda yang tidak betul kerana ibadat haji seseorang itu diterima ataupun ditolak oleh Allah SWT dapat dilihat setelah beliau kembali dari menunaikan ibadat haji. Menurut al-Khawwas dalam kitab Bughyatul Mustarsyidin bahawa: Setelah mereka kembali dari mengerjakan ibadat haji, mereka berakhlak dengan akhlak Rasulullah SAW, mereka tidak akan mencebur diri di dalam dosa dan tidak memandang dirinya lebih tinggi daripada seorang hamba-hamba Allah SWT, tidak pula merebut-rebut untuk mendapat sesuatu daripada perkara dunia. Manakala tanda ibadat hajinya tidak di terima ialah bahawa mereka kembali semula kepada keadaanya sebelum mengerjakan haji.


Marilah sama-sama kita mengambil peluang keemasan pada bulan yang mulia ini dengan melakukan ibadat kepada Allah SWT. Ia satu keadaan di mana kita berpeluang untuk menebus dosa di atas segala kesalahan-kesalahan lalu. Ini kerana manusia tidak akan sepi daripada melakukan dosa. Maka bulan yang mulia ini perlu dipelihara sebaik mungkin untuk mendekati diri kepada Allah SWT. Mimbar juga menyeru kepada semua bakal-bakal haji agar menjaga segala peraturan dan panduan demi mendapat keredaan Allah SWT. Apa yang penting mereka ini bukan sekadar membawa perubahan pada diri, tetapi juga mampu membawa perubahan kepada keluarga dan masyarakat.


Marilah sama sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 37:

Maksudnya: “(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah; dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (Kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.”(Surah an-Nuur: 37)

There was an error in this gadget

komen anda dihargai