BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Search This Blog

Selamat Datang

Selamat datang kepada semua rakan,sahabat,guru,bekas pelajar SMK Marudi dan pelajar SMK Marudi yang sedang menuntut di SMK Marudi ke laman blog saya ini.

Followers

Thursday 9 December 2010

Hijrah Memperkasa Ummah

Sedar ataupun tidak, kita sekarang ini berada 4hb Muharram bagi tahun baru 1432H. Pelbagai usaha dan cara dilakukan oleh umat Islam dalam menyambut kedatangan tahun baru hijrah. Ma'al Hijrah telah mengingatkan kita kepada peristiwa hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat RA. Program hijrah adalah satu langkah Rasulullah SAW yang amat strategik dalam menegakkan dakwah Islamiah. Perlu kita ingat bahawa dengan berjayanya hijrah menjadi jambatan tertegaknya Daulah Islamiah kerana hijrah tersebut dipandu dan didukung oleh keimanan dan ketakwaan yang padu. Kejayaan hijrah ini juga telah mengubah lanskap akidah, ibadah, akhlak dan gaya hidup ummah ketika itu.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa' ayat 100:
Maksudnya: "Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah, nescaya ia akan dapati dibumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur: dan sesiapa yang keluar dari rumahnya untuk berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani."

Kejayaan Nabi SAW tiba di Madinah al-Munawwarah diteruskan pula dengan agenda membangun negara yang berteraskan petunjuk al-Quran al- Karim. Dalam masa 10 tahun sahaja, Madinah telah berjaya mengalahkan kuasa besar seperti Rom timur dan Parsi. Pengajaran yang penting kepada kita daripada peristiwa hijratur Rasul ini ialah perlunya kita mengikuti jejak langkah Rasulullah SAW yang menjadikan tuntutan iman dan takwa sebagai faktor pendorong kepada tugas berhijrah.

Justeru itu, kita perlu berusaha menyuburkan iman dan takwa agar ia menjadi panduan kepada kehidupan. Adalah satu hakikat bahawa pemantapan iman amat berkait rapat dengan ilmu dan pendidikan. Maka, Islam memberi penekanan terhadap penguasaan ilmu dan pendidikan melalui penjelasan yang terkandung dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Firman Allah SWT dalam surah al-Mujadalah ayat 11:
Maksudnya: "Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan juga orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui tentang apa yang kamu lakukan."

Pendidikan adalah matlamat utama melahirkan individu muslim yang berilmu dan membina masa depan sebagai ummah contoh. Peredaran zaman telah memberi kesan kepada perubahan gaya hidup manusia itu sendiri termasuklah cara bertindak dan berfikir. Bagi menjana ummah berkualiti, pendidikan yang bersepadu dan menyeluruh yang melibatkan fardhu 'ain, fardhu kifayah dan teknologi maklumat perlu dititikberatkan.

Umat Islam dituntut memperkukuh ilmu fardhu ‘ain dengan mendalami pengetahuan agama seperti dalam bidang tafsir al-Quran, hadith, fiqh, akidah dan sebagainya sebagai benteng kepada keutuhan dan kekuatan iman serta pegangan kepada agama Islam itu sendiri. Bagi memantapkan ilmu fardu ‘ain ini, umat Islam diseru agar mengikuti kuliah-kuliah agama di masjid dan surau melalui pengajian kelas fardu ‘ain dan takmir yang telah disediakan.

Namun, persoalan besar timbul ialah sejauh manakah penguasaan umat Islam dalam bidang ilmu pengetahuan di negara ini?. Berdasarkan pemerhatian dalam bidang-bidang tertentu seperti ilmu matematik, sains fizik, kimia, biologi, kejuruteraan, perubatan dan bidang-bidang sains yang lain, di dapati bahawa umat Islam ketinggalan jauh berbanding pencapaian kaum-kaum lain. Ini merupakan cabaran hebat kepada umat Islam di negara ini dalam usaha membina masa depan yang cemerlang.

Memperkasa umat Islam sebagai umat yang unggul menutut kebijaksanaan yang amat tinggi. Dalam bidang ilmu dan pendidikan mestilah ada perubahan iaitu tajdid. Pembaruan ilmu dan pendidikan yang bersifat semasa mampu melepaskan seseorang itu dari belenggu kebekuan yang bersifat tradisi. Dengan cara ini akan melahirkan ilmuan yang selari dan senafas dengan zaman serta cabaran lingkungan terkini.

Memperkasa umat Islam haruslah bermula dengan contoh dan tauladan yang tinggi supaya ianya menjadi sumber ikutan yang baik di kalangan umat-umat yang lain. Umat Islam mestilah diberikan suasana kebebasan dalam membuat pandangan-pandangan yang membina supaya setiap pihak merasa selesa bahawa kritikan yang membina adalah untuk kebaikan kepada semua.

Kita semua sedia maklum bahawa pendidikan yang berkesan tidak akan terlaksana jika ia tidak dijayakan secara bersungguh-sungguh serta mendapat kejasama dan sokongan dari semua pihak terutama institusi keluarga. Ibu bapa sebagai ketua keluarga seharusnya peka dan prihatin terhadap tanggungjawab yang perlu dilaksanakannya bersama. Ibu- bapa perlu menyediakan prasarana yang baik di rumah bagi memastikan anak-anak dapat belajar dan mengulangkaji pelajaran mereka dengan selesa dan sempurna.

Proses pendidikan rasmi dibangku sekolah merupakan medan terbaik untuk membentuk generasi pelajar yang berilmu dan berakhlak mulia seterusnya membawa mereka kemercu kecemerlangan dan kegemilangan. Akan tetapi usaha ini tidak akan mencapai matlamat yang diharapkan, sekiranya ibu- bapa menyerahkan tugas mendidik anak-anak ini kepada pihak sekolah secara mutlak. Sewajarnya tugas mendidik diteruskan oleh ibu- bapa ketika anak-anak bersama mereka. Sebagai contoh, anak-anak telah diajar tentang cara bersolat dibangku sekolah tetapi perlaksanaannya perlu dipantau dan diteruskan di rumah. Andaikata berlaku pengabaian dalam aspek ini maka akan pincanglah proses pendidikan itu. Soalnya apakah kita sudah pun melaksanakan tanggungjawab ini dengan sempurna?.

Bersempena dengan tahun baru hijrah ini, marilah kita sama-sama bertindak secara proaktif bagi memastikan masa depan generasi umat Islam lebih cemerlang dengan mengambil usaha-usaha seperti berikut: Pertama: Memperkasa sektor pendidikan yang menjadi teras membina masa depan keluarga, generasi dan negara; Kedua: Ibubapa perlu berusaha dan berkorban menyediakan peruntukkan yang sewajarnya untuk pendidikan; Ketiga: Ibubapa perlu membuat kajian dan analisis dari masa ke masa tentang kekuatan, kelemahan, cabaran dan ancaman yang dihadapi dalam membina pendidikan cemerlang; dan Keempat: Merancang dan menyediakan pelan tindakan supaya matlamat pendidikan anak-anak memenuhi keperluan dunia dan akhirat.

Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam Surah Az-Zumar ayat 9: Maksudnya: "Katakanlah: adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui. Sesungguhnya orang yang dapat mengambil peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna."

0 comments:

komen anda dihargai