BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Search This Blog

Selamat Datang

Selamat datang kepada semua rakan,sahabat,guru,bekas pelajar SMK Marudi dan pelajar SMK Marudi yang sedang menuntut di SMK Marudi ke laman blog saya ini.

Followers

Sunday, 29 May 2011

Rintihan Seorang Ibu...


Ibu-bapa merupakan insan yang paling mulia dalam kehidupan kerana itulah agama Islam mengajar umatnya supaya menghormati dan berbuat baik kepada mereka. Segala jasa dan pengorbanan yang mereka curahkan sejak di alam rahim sehingga kita dilahirkan begitu besar dan tinggi nilainya. Merekalah yang bertanggungjawab mencari nafkah dan mendidik kita sehingga dewasa. Mereka juga sanggup mengorbankan nyawa dan kepentingan diri demi mengharungi pelbagai cabaran untuk masa depan anak-anak.

Marilah kita merenung kembali semasa kita kecil dulu apa yang telah dilakukan oleh kedua ibu-bapa kita, merekalah yang memberi susu kepada kita, menyuap makanan ke mulut kita, memandikan kita, memakai pakaian kepada kita, mendodoi dan menidurkan kita, membersihkan najis dan segala kotoran di badan kita, menghantar kita ke sekolah demi melihat anaknya ini menjadi insan berguna di kemudian hari.

Mungkin ada antara kita pada ketika ini ibu-bapanya telah pergi buat selama-lamanya, kita mendoakan roh-roh mereka ini ditempatkan dikalangan suhada dan solihin. Sekiranya ibu-bapa kita masih bersama dengan kita di dunia ini, marilah sama-sama kita mengingati mereka, mungkin pada ketika ini ibu-bapa kita berada jauh di kampung sana, di rumah yang usang, ketika hujan mereka kebasahan, ketika kemarau mereka kekeringan, kadang-kala ibu-bapa kita berada dalam kelaparan dan keperitan akibat kesempitan hidup, sedangkan kita sebagai anak-anaknya yang berada di kota ini dalam kemewahan dan tidak merasa itu semua. Kasih sayang kepada anak-anak sepanjang hayat, pengorbanan dan kudrat dicurah siang-malam, hanya tahu memberi dan tidak mengharapkan apa-apa balasan. Segala kesusahan dan penderitaan tidak pernah dikongsi bersama dengan anak-anak.

Ingatlah apa yang kita miliki pada hari ini, harta, pekerjaan, pangkat, kesenangan dan keluarga kita adalah hasil dari pengorbanan mereka. Tanpa mereka kita tidak dapat melihat dunia ini dan tanpa nasihat dan pengorbanan mereka kita tidak akan memiliki semua ini. Sehubungan itu, kita sebagai anak wajib menghormati, mentaati dan berbuat baik terhadap mereka. Ini sebagai suatu penghormatan tertinggi daripada anak dan membalas jasa ibu bapa mereka.

Firman Allah SWT dalam surah al-Israk ayat 23-24:
Maksudnya:“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan 'ah', dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.”

Tidak dapat dinafikan bahawa kasih sayang seorang ibu mengatasi segalanya, tidak dapat dinilai dengan emas dan perak, tidak dapat dibayar dengan wang ringgit. Tidak hilang dihati seorang ibu perasaan rindu terhadap anak-anaknya walaupun sesaat, kadang-kala ibu tidak dapat menyuap makanan ke mulutnya dan melelapkan matanya kerana teringatkan anak-anaknya ini dan ada ketikanya air mata berlinangan mengalir membasahi dipipinya kerana mengenang dan merindui akan anak-anak.  Ingatlah, bilakah kali terakhir kita bertemu dengan mereka, menatap wajah dan mencium tangan mereka?. Cukupkah dengan sekadar kita mengirim duit sebagai penganti diri bagi membayar setitis air mata ibu akibat rindu kepulangan si anak?. Ambillah kesempatan yang ada semasa hidup sebelum mereka pergi buat selama-lamanya.

Kebiasaan kita sebagai anak akan lebih mengingati dan menyebut nama ibu. Jika kita ada masalah kita akan luahkan kepada ibu, kita lebih suka berkongsi perasaan dengan ibu, jika kita sakit, kita lebih suka ibu yang jaga. Kalau hendak makan, kita lebih suka ibu yang masak dan suapkan. Sehinggakan untuk memasuki gerbang perkahwinan pun, masih mengharapkan bantuan ibu. Oleh itu, wajarlah Allah SWT memuliakan ibu sesuai dengan pengorbanannya.

Firman Allah SWT dalam surah Luqman ayat 14:
Maksudnya:“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan atas kelemahan dan menceraikan susunya dalam masa dua tahun; bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan kepada Akulah tempat kembalimu.”
 
Rasulullah SAW ketika menjawab pertanyaan seorang sahabat bersabda : Maksudnya:“Siapakah yang paling berhak saya pergauli dangan baik? Nabi bersabda “Ibumu”, Orang itu bertanya kemudian siapa lagi? Nabi bersabda “Ibumu”, Orang itu bertanya kemudian siapa lagi, Nabi bersanda “Ibumu”. Orang itu bertanya kemudian siapa lagi, Nabi bersabda : Ayahmu.” (Riwayat al- Bukhari)

Al-Bazzar meriwayatkan, ada seorang lelaki sedang tawaf dengan mengendung ibunya, maka lelaki itu bertanya kepada Rasulullah SAW, “Apakah dengan ini saya telah melaksanakan kewajipan saya kepadanya? Rasulullah SAW menjawab “Tidak, tidak sebanding dengan satu kali hembusan nafas ketika ibumu melahirkanmu.” Imam Muslim meriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud RA berkata bahawa beliau pernah bertanya Rasulullah SAW tentang amalan paling utama. Baginda bersabda: Solat pada waktunya. Beliau bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbakti kepada kedua ibu bapa. Beliau bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjuang pada jalan Allah”.

Betapa besarnya pengorbanan ibu-bapa, namun persoalannya kini, bagaimana pula pengorbanan anak untuk menghargai dan membalas balik jasa serta pengorbanan ibu yang tidak terhitung ini. Berdasarkan pemerhatian mimbar, ada anak-anak yang sanggup membuang dan menyisih ibu-bapanya.Mereka ini sanggup meninggalkan ibu-bapa mereka di rumah kebajikan atas alasan tidak sanggup melayan kerenah ibu-bapa yang semakin tua. Laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat sehingga kini seramai 1857 orang ibu-bapa di tempatkan di rumah Seri Kenangan tanpa kasih-sayang dari anak-anak. Mereka ini merintih keseorangan dengan mengharap anak-anak sentiasa mendampingi mereka.

Islam menganjurkan agar setiap anak menghormati dan berbakti kepada ibu bapa selagi suruhan tersebut tidak melanggari syariat Islam. Jika anak-anak mengingkari perintah ibu-bapa, maka itu adalah derhaka dan satu dosa besar. Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Abdullah bin Amru bin al-'As RA bertanya Rasulullah SAW tentang dosa besar. Sabda Baginda: Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca ibu bapanya. Tanyanya lagi: Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun ibu bapanya? Jawab Nabi SAW: Ya. Seorang lelaki memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya.

Menyayangi ibu bapa bukan sekadar ketika keduanya masih hidup sahaja tetapi sebenarnya berpanjangan ketika mereka berada di alam arwah atau alam kubur. Roh orang mati tetap hidup di sisi Allah. Menurut Abu Darda’, Allah SWT telah menempatkan roh orang mukmin di sebuah perkampungan di langit ketujuh yang diberi nama Darul Baida’.Dari sana roh orang mukmin sentiasa diberi peluang oleh Allah SWT untuk melihat amalan atau kegiatan manusia yang masih hidup di dunia khususnya anak-anak atau kaum kerabat mereka.

Roh sentiasa bertanya khabar kepada jenazah yang baru tiba di alam arwah terutama tentang kehidupan keluarga mereka di dunia. Setiap hari amalan umat Muhammad diangkat ke langit dan segala amalan tersebut dipertonton kepada roh ibu- bapa kita. Oleh itu gembirakanlah roh ibu-bapa kita dengan amalan soleh semasa kita masih hidup di dunia ini. Roh ibu-bapa akan sakit, tersiksa dan menderita jika melihat amalan anak-anak mereka terlibat melakukan dosa besar seperti berzina, berjudi, minum arak, rasuah, memfitnah orang, bersubahat melakukan kezaliman, penganiayaan dan perbuataan maksiat lain.

Perbuatan anak di dunia menjadi ukuran dan bukti adakah kita yang masih hidup ini sebenar-benar menyayangi ibu-bapa kita. Apalah gunanya anak-anak mengadakan majlis kenduri tahlil dan doa selamat setiap minggu, setiap tahun sedangkan perbuatan harian mereka penuh dengan maksiat, kejahatan dan melakukan dosa besar.

Rasulullah SAW bersabda: Mafhumnya: “Sesungguhnya amal-amal kamu dibentangkan kepada keluarga dan kaum kerabat kamu yang telah mati; maka kalau amal perbuatan kamu itu baik-mereka gembira mengetahuinya, dan kalau sebaliknya, mereka (berdoa untuk kamu dengan) berkata :‘ Ya Allah Ya Tuhan kami, berilah kaum kerabat kami yang hidup itu hidayah petunjuk, sebagaimana engkau telah memberi hidayah petunjuk kepada kami (sehingga kami mati dalam iman)”. (Riwayat Imam Ahmad dan al-Tirmizi)

Marilah sama-sama kita menzahirkan perasaan kasih sayang terhadap ibu-bapa setiap masa. Memberi kasih sayang kepada mereka bukan sekadar memberi hadiah bahkan seluruh jiwa dan raga kita serahkan kepada mereka. Gembirakanlah mereka dan carilah keredhaan mereka serta perbanyakkanlah doa keampunan kepada mereka. Budayakanlah amalan memuliakan dan menghormati ibu-bapa di sepanjang kehidupan kita dan janganlah hanya dibuat pada masa-masa tertentu sahaja.

Perlu kita insafi bahawa ketidakredhaan ibu-bapa kepada sikap keji anak-anak ini mengundang kemurkaan Allah SWT. Selama mana kita tidak diredhai oleh ibu-bapa, selama itu juga kita hidup dalam kemurkaan dan derhaka terhadap Allah SWT Ambillah kesempatan yang ada ini untuk menyayangi sebelum mereka didatangi ajal.

Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Israa ayat 24: Maksudnya: “Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.”(Surah al-Israa’:24)

Sunday, 8 May 2011

Amalan Sedekah Membawa Berkat

AMALAN SEDEKAH MEMBAWA BERKAT

Sedekah adalah suatu sunnah dan amalan para sahabat yang sangat mulia. Dalam tradisi Islam ia ada beberapa tahap seperti zakat, sedekah, derma dan hadiah. Zakat adalah amalan wajib ditunaikan oleh umat Islam yang berkemampuan manakala sedekah adalah amalan sunat yang dituntut. Ia merupakan pemberian sesuatu kepada orang yang memerlukan dengan tujuan mahu mendekatkan diri kepada Allah SWT dan merupakan amalan yang mulia serta mencakupi perkara yang mendatangkan kebaikan dari sekecil-kecil sehinggalah sebesar-besarnya. Tuntutan bersedekah ini tidak ada ertinya tanpa kita yang bersedekah menyandarkan niat yang ikhlas kerana Allah SWT demi untuk kebajikan pihak yang memerlukan dan tidak mengharapkan pujian atau balasan, bahkan semata-mata untuk mencari keredhaan Allah SWT dan menjunjung ketaatan kepada-Nya serta memupuk kasih sayang kepada manusia dan masyarakat seluruhnya.

Keutamaan bersedekah ini amat digalakkan oleh Islam dan telah dijelaskan oleh Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 261: Bermaksud: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya”.

Berdasarkan ayat ini kurniaan ganjaran sedekah memiliki pulangan yang tidak boleh dinilai harganya di dunia dan di akhirat. Ini dikuatkan lagi melalui firman Allah SWT di dalam surah Saba’ ayat 39: Bermaksud: “Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya, dan ia juga yang menyempitkan baginya, dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya, dan Dialah jua sebaik-baik Pemberi rezeki

Untuk mencari keredhaan dan keberkatan Allah SWT dalam amalan bersedekah atau menderma kita hendaklah mematuhi peraturan dan adab tertentu antaranya ialah hendaklah merahsiakannya dalam bersedekah dan itu lebih baik daripada menzahirkannya walaupun ikhlas. Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 271: Bermaksud: “Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu memberikannya kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah lebih baik bagi kamu, dan Allah akan menghapuskan daripada kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (Ingatlah) Allah amat mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan”.


Apa yang dilakukan oleh ulama’ salaf, kita dapati mereka merahsiakan sedekah mereka daripada pengetahuan manusia dan masyarakat umum, hinggakan ada di antara mereka sengaja mencari orang fakir dan miskin yang buta. Mereka memberi sedekah kepada golongan itu supaya tidak diketahui siapakah yang memberinya. Mereka juga memberi derma atau sedekah dengan memasukkan atau mengikatnya kepada seseorang si fakir atau miskin pada pakaiannya ketika sedang tidur. Namun daripada itu kita juga dibolehkan untuk mewar-warkan pemberian tersebut bagi tujuan menggalakkan masyarakat melakukan sedekah. Ibnu Abil Ja’ad berkata: “Sedekah itu menutup tujuh puluh pintu keburukan dan keutamaan antara sedekah secara terang-terangan dengan yang disembunyikan itu ialah bahawa yang kedua lebih utama dari yang pertama dengan tujuh puluh kali ganda”.

Kita dituntut mendermakan daripada harta milik kita yang paling baik dan daripada benda-benda yang kita sayangi dan menghulurkannya dengan wajah yang berseri-seri dalam keadaan gembira bukannya dengan muka yang masam atau kecewa. Kita hendaklah menghindarkan diri daripada sifat ungkit-mengungkit sehingga boleh menyakiti hati orang yang diberi sedekah. Menurut Imam Sufian Ath-Thauri: “Sesiapa yang mendermakan sesuatu atau daripada sesuatu yang diharamkan, ia diumpamakan seperti seseorang yang membersihkan pakaian dengan air najis atau kencing. Tentulah pakaian itu tidak akan bersih, kecuali dengan air yang suci, begitulah juga dosa itu tidak dapat dihapuskan kecuali dengan yang halal”.

Mereka yang diberkati sedekahnya akan mendapat penghormatan yang tinggi daripada Allah SWT dan malaikat sentiasa mendoakan kebaikan kepadanya. Saidina Umar RA pernah berkata dalam doanya: “Ya Allah! Jadikanlah kelebihan rezeki itu pada orang-orang yang merupakan orang-orang pilihan antara kita, sebab barangkali mereka itu akan mengembalikan rezeki tadi kepada orang-orang yang berhajat di antara kita”. Hadith Rasulullah SAW: Bermaksud: “Tidaklah seseorang muslim yang memberi pakaian kepada orang muslim yang lain, kecuali ia di dalam lindungan Allah SWT selama pakaian itu masih ada, sekalipun sehelai kain”. (Riwayat al-Tirmizi)

Keutamaan sedekah hendaklah diberikan kepada orang yang bertakwa, ahli ibadat, kalangan orang fakir atau miskin, kaum kerabat kita yang memerlukannya dan sebagainya. Menurut Nabi Muhammad SAW apabila kita memberi sedekah kepada kaum kerabat, kita akan memperolehi dua pahala iaitu pahala menghubungkan silaturrahim dan pahala sedekah itu sendiri.

Satu lagi perkara yang perlu diambil perhatian oleh kita sebagai seorang muslim ialah berkenaan dengan zakat dan cukai. Mengeluarkan zakat dan membayar cukai merupakan satu tuntutan dalam agama kita kerana dengannya kita dapat membantu negara dan masyarakat. Ketahuilah bahawa tidak membayar zakat dan cukai adalah satu bentuk hutang yang mesti dijelaskan. Sikap suka berhutang boleh mendatangkan kesan buruk kepada individu, masyarakat dan Kerajaan. Rakyat akan merana dan pendapatan negara akan lemah disebabkan golongan yang cuai membayar hutang. Bayangkan berapa banyak kerajaan kehilangan pendapatan akibat daripada budaya melengah-lengahkan bayaran cukai. Kesan buruknya banyak projek pembangunan yang dirancang tidak dapat dilaksanakan dengan sewajarnya. Mimbar ingin menegaskan, sekiranya zakat dan cukai dijelaskan, sudah pasti hasil pungutan itu dapat diagih dan digunakan untuk menyedia pelbagai keperluan asas kepada seluruh rakyat dan negara.

Marilah sama-sama kita mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan mengamalkan amalan yang mulia ini dengan membantu sesama kita. Dengan kita bersedekah, mengeluarkan zakat serta membayar cukai, mudah-mudahan hidup kita sentiasa diberkati oleh Allah SWT. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 264: Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat ”.

There was an error in this gadget

komen anda dihargai