BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Search This Blog

Selamat Datang

Selamat datang kepada semua rakan,sahabat,guru,bekas pelajar SMK Marudi dan pelajar SMK Marudi yang sedang menuntut di SMK Marudi ke laman blog saya ini.

Followers

Thursday 25 August 2011

“KEMERDEKAAN BERSAMA ROH RAMADHAN”.



Pada 31 ogos setiap tahun negara kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan. Setiap kali sambutan ini diadakan maka terbayanglah di fikiran kita bagaimana penjajah yang silih berganti menjajah negara kita selama lebih kurang 500 tahun. Kita amat bersyukur kerana dalam tempoh tersebut kita dapat mempertahankan akidah dan mengekalkan agama Islam sehingga diletakkan sebagai agama bagi Persekutuan. Peruntukan ini tidak diadakan oleh penjajah, tetapi diusaha oleh pejuang dan pemimpin negara seiring perjuangan mencapai kemerdekaan yang tiada ternilai harganya. Kerana itulah menjadi kewajipan setiap kita sebagai rakyat melaksanakan tanggungjawab kepada negara yang antara lainnya ialah mentaati pemerintah dengan penuh ikhlas dan rasa bangga serta menjauhi diri dari perbuatan-perbuatan mungkar seperti menganggu ketenteraman awam, menimbulkan huru-hara dan mengancam keselamatan masyarakat dan negara. Imam Syihabuddin al-Absyihi dalam kitabnya al-Mustatraf menyatakan “ Ketahuilah bahawa tingkatan kebahagian yang tertinggi ialah taat kepada pemerintah di samping ianya menjadi penyelamat daripada segala kekacauan. ”

Justeru marilah kita mendoakan kesejahteraan kepada roh para pejuang kemerdekaan dan mengajak para jamaah sekalian mensyukuri nikmat kemerdekaan yang kita kecapi agar ianya berkekalan dan kemakmuran negara sentiasa bertambah dengan pengisian-pengisian yang diredhai Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 7:
Maksudnya: “ Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memberitahu: Sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras. ”

Persoalan besar pada hari ini adakah kita sebenarnya sudah merdeka?. Adakah sekadar kita lepas bebas ataupun tidak lagi dijajah oleh kuasa barat seperti sebelum ini, ataupun kerana kita telah mencapai kemajuan seperti yang kita alami sekarang, kita dikatakan sudah merdeka?. Ketahuilah bahawa bulan Ramadhan yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita merupakan suatu proses untuk mencari erti kemerdekaan yang sebenar. Sedar ataupun tidak bahawa selama ini kita sentiasa dibelenggu oleh dua penjajahan. Pertama adalah syaitan. Ia sebagai seteru terbesar manusia, kerjanya sentiasa mengajak manusia kepada mendurhakai Allah SWT sepertimana janjinya kepada tuhan. Manusia yang terjajah adalah manusia yang tidak dapat melepaskan diri daripada seruan syaitan dalam hidupnya. Manusia yang menurut telunjuk syaitan, sedikit demi sedikit semakin jauh dari Allah SWT hingga hatinya menjadi buta dari kebenaran. Ramadhan datang untuk membantu manusia melepaskan diri daripada penjajah syaitan ini. Syaitan dirantai untuk mengurangkan potensinya, urat saraf kita disempitkan dengan berlapar untuk mengurangkan jalan syaitan menguasai kita. Kedua ialah hawa nafsu dan diri sendiri sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Jaatsiyah ayat 23:

Maksudnya: “Adakah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya, dan ia disesatkan oleh Allah kerana diketahuinya, dan dimeteraikan atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi petunjuk kepadanya sesudah Allah? Oleh itu, mengapa kamu tidak mahu beringat dan insaf?. ”

Mereka yang dijajah oleh syaitan dan hawa nafsu dirinya sendiri tidak mampu membuat pilihan dalam hidup. Apa sahaja yang diinginkan oleh nafsu semua itu dipatuhi. Mereka ini buta biar pun celik, mereka pekak biar pun bertelinga, mereka menjadi bodoh biar pun menguasai ilmu. Lihatlah berapa ramai manusia yang rosak kerana hidup bertuhankan nafsu dan berapa banyak tamadun manusia yang musnah apabila pertimbangan tidak lagi berpaksikan tuhan tetapi berkiblatkan hawa nafsu.Yakinlah bahawa Ramadhan datang mendidik kita untuk memerangi nafsu. Betapa ketika kita ada makanan dan minuman, namun kita tidak memilihnya kerana patuh kepada perintah Allah SWT. Ini adalah pengajaran Ramadhan untuk mengajar kita berkata TIDAK kepada sesetengah kehendak diri dan nafsu. Mereka yang berjaya mengawal diri dan nafsu, adalah mereka yang benar-benar merdeka sehingga membentuk dirinya menjadi seorang insan soleh lagi bertakwa.

Firman Allah SWT dalam surah al-Syams ayat 7-9:
Maksudnya: “ Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya. Serta mengilhamkannya jalan yang membawanya kepada kejahatan dan ketakwaan Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih. ”

Tarbiah madrasah Ramadhan sebenarnya dapat membentuk sebuah masyarakat dan negara rabbani yang penuh keberkatan dan diredhai oleh Allah SWT. Rakyat yang dididik dengan roh Ramadhan tidak akan melakukan sesuatu perkara dengan mengikut perasan dan hawa nafsu, menzahirkan penghambaan yang sebenar dan sempurna kepada Allah SWT serta juga tidak diperhambakan oleh kekayaan, pengaruh harta benda, tidak dilenakan dengan kesenangan sementara. Jiwa mereka sentiasa tenang, jauh dari keluh kesah serta tidak dikuasai oleh perasaan takut. Amalan-amalan sepanjang bulan Ramadhan seperti puasa, solat berjamaah, bersedekah dapat memupuk cintakan persaudaraan dan merapatkan perpaduan antara kita. Seorang ulama sufi Ahmad bin khadrawiyah pernah berkata: Di dalam Ramadhan terdapat penghambaan yang sempurna. Ramadhan dapat mencegah si pelakunya dari akhlak yang tercela, perkataan dan perbuatan yang tercela. Adakah yang lebih indah dari kemerdekaan ini?.

Perlu diingat juga dalam kesibukan kita beribadat di bulan Ramadhan dan membuat persiapan bagi menyambut kedatangan Idulfitri, janganlah kita lalai dan alpa tentang kewajipan yang perlu kita laksanakan iaitu membayar zakat samada zakat harta atau fitrah. Kewajipan zakat fitrah ini merupakan pelengkap ibadat puasa dan sebagai penutup kepada kecacatan-kecacatan yang terdapat sewaktu kita mengerjakan ibadat puasa. Tanpa mengeluarkan zakat fitrah pahala ibadat puasa akan tergantung dan tidak dapat menjadi bekalan ke akhirat.

Firman Allah SWT dalam surah al-A’laa ayat 14-15:
Maksudnya:“ Sesungguhnya berjayalah orang yang berusaha membersihkan dirinya (dengan amal yang salih). Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya, serta mengerjakan sembahyang. ”
Sempena sambutan ulangtahun kemerdekaan negara yang ke 54 pada tahun ini bersamaan pula dengan bulan Ramadhan, marilah sama-sama kita menjadikan amalan sepanjang bulan yang berkat ini sebagai amalan contoh untuk mencegah, mengawal, merawat penyakit dan mengekalkan gaya hidup yang diredai oleh Allah SWT. Mudah-mudahan keberkatan yang kita perolehi dalam bulan ini memberi kesan kepada diri kita untuk memahami erti dan roh kemerdekaan yang sebenarnya.

Marilah kita merenung firman Allah SWT dalam surah Huud ayat 88: Maksudnya: “ Nabi Syuaib berkata: "Wahai kaumku! Bagaimana fikiran kamu, jika Aku berdasarkan bukti yang nyata dari Tuhanku, dan ia pula mengurniakan daku pangkat Nabi sebagai pemberian daripadanya, (patutkah Aku berdiam diri dari melarang kamu) sedang Aku tidak bertujuan hendak melakukan sesuatu yang Aku melarang kamu daripada melakukannya? Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah Aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah Aku berserah diri dan kepada-Nyalah Aku kembali. ”

komen anda dihargai