BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Search This Blog

Selamat Datang

Selamat datang kepada semua rakan,sahabat,guru,bekas pelajar SMK Marudi dan pelajar SMK Marudi yang sedang menuntut di SMK Marudi ke laman blog saya ini.

Followers

Saturday 29 January 2011

MENANTI DI ALAM KUBUR


Setiap yang bernyawa pasti akan mati, begitu jugalah dengan manusia tiada seorang pun boleh lari dari ajalnya yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Apabila ajal seseorang itu telah sampai malaikat Izrail tetap akan mencabut nyawanya tidak kira di mana seseorang itu berada.

Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Jumu’ah ayat 8: Maksudnya : " Katakanlah: Sebenarnya maut yang kamu larikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya).

Begitulah apabila nyawa seseorang telah terpisah daripada jasadnya, maka tinggallah segala apa yang dimilik sama ada ahli keluarga,anak-anak, saudara mara, pangkat,harta benda dan sebagainya. Jasad yang terbujur kaku akan diurus dan dihantar ke kubur untuk dikebumikan. Pada saat itu, terpisahlah ia ke alam lain iaitu alam kubur atau alam barzakh sementara menunggu hari hisab dan pembalasan di akhirat.

Menurut kamus Lisanul Arab oleh Ibni Manzur, makna alam kubur ialah suatu tempat di antara dunia dan akhirat sebelum dihimpunkan di padang Mahsyar daripada waktu mati hinggalah dibangkitkan atau ia juga bermakna dinding pemisah antara dua alam sejak dari waktu kematian seseorang sehinggalah dia dibangkitkan. Jadi sesiapa yang mati bermakna dia telah memasuki alam barzakh atau alam kubur. Alam kubur juga merupakan tempat permulaan seorang manusia itu dihukum segala amalannya semasa hidup di dunia ini.

Firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 62:Maksudnya : " Kemudian mereka dikembalikan kepada Allah Pengawas mereka yang sebenar. Ketahuilah, bagi Allah jualah kuasa menetapkan hukum dan Dialah secepat-cepat Penghitung.

Ketika berada di alam kubur seseorang itu dapat menjangkakan sama ada dia akan mendapat kenikmatan atau kesengsaraan di akhirat kelak. Perkara ini disebut dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya kubur itu ialah penginapan pertama antara penginapan akhirat, maka sekiranya seseorang itu terlepas dari seksaannya, maka apa yang akan datang kemudiannya akan lebih mudah lagi dan seandainya seseorang itu tidak terlepas (kandas) daripada (seksaannya), maka yang akan datang sesudahnya akan lebih sukar (keras)."

Bagi orang yang beriman kehidupan mereka di alam kubur dipenuhi dengan segala macam kenikmatan kurniaan Allah SWT. Sebaliknya bagi orang yang syirik, kufur dan ingkar terhadap suruhan dan perintah Allah sudah pasti seksaan dan azab kubur diterima sebagai tanda hukuman yang akan diterima di hari akhirat. Sahabat Nabi bernama Ubaid bin Umair al-Laitsi berkata, “ setiap mayat yang hendak meninggal, pasti liang lahad di mana mayat itu di kubur memanggilnya, “Akulah rumah yang gelap gelita, sunyi dan sendiri. Jika waktu hidupmu kau taat kepada Allah SWT maka aku hari ini akan menjadi rahmat bagimu. Jika kau derhaka, maka hari ini aku akan menjadi seksa bagimu. Siapa memasukinya dengan taat, akan keluar dengan bahagia. Dan sesiapa masuk dengan derhaka, dia akan keluar dengan penuh penyesalan.

Sesungguhnya nikmat dan azab kubur adalah sesuatu yang wajib kita percayai dan yakini kewujudannya kerana ia dapat meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT. Rasulullah SAW memerintahkan kita agar sentiasa memohon pelindungan daripada Allah SWT dari azab kubur sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang menyuruh para sahabat agar mengamalkan doa seperti berikut:

Bermaksud: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku mohon berlindung dari azab api neraka dan aku mohon berlindung dari azab kubur.”(Riwayat Muslim)

Kita wajib berlindung diri dari azab kubur, kerana alam kubur merupakan persinggahan sementara untuk kehidupan selanjutnya. Jika di alam kubur kita mendapat kenikmatan, itulah tanda bahawa kita akan mendapat kemudahan dan kebahagiaan di alam akhirat nanti. Sebaliknya, apabila mendapat azab kubur, itulah petanda bahawa orang tersebut akan mendapat kesulitan di akhirat sebagaimana sabda Rasulullah SAW: Bermaksud: “Sesungguhnya kubur itu, adalah singgahan pertama ke akhirat, sekiranya yang singgah itu terselamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih mudah lagi. Dan jika tidak selamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih sukar lagi.” (Riwayat at-Tirmizi)

Ramai umat manusia pada hari ini melupai tentang hakikat sebenar kehidupan dengan gagal mempersiapkan diri untuk menghadapi kematian dan menyedari bahawa dirinya akan menjadi penghuni kubur. Ramai daripada kita leka dengan kehidupan dunia. Jika ada di kalangan kita yang mengingati kematian, itu pun hanya dilakukan dengan sambil lewa tanpa merasa takut dan gentar akan kedasyatan azab alam kubur ini. Mengapa ini berlaku, hal ini berpunca disebabkan hati kita yang terlalu cinta dan sibuk dengan perkara dunia sehingga menyebabkan hati kita keras dan gelap dari cahaya.

Ingatlah bahawa jalan Allah SWT tidak dapat kita tempuhi dengan telapak kaki tetapi ia dapat ditempuh dengan kekuatan dan kesucian hati. Jika kita merasakan hati kita keras dan beku rawatilah ia dengan melaksanakan beberapa perkara seperti berikut: Pertama: Gunakanlah masa yang berkualiti ini dengan sentiasa membaca al-Quran dan berzikir.Kedua: Bersikap tawaduk dan sentiasa merendah diri di hadapan Allah SWT. Ketiga: Menghadiri majlis-majlis ilmu. Sedarilah, semakin tinggi ilmu agama seseorang semakin takut dia kepada tuhan-Nya. Di samping itu juga elakkan diri dari menghadiri majlis-majlis yang tidak berfaedah dan membuang masa. Keempat: Mengingati mati. Seseorang yang sentiasa ingat akan kematian menyebabkan hatinya tertumpu kepada alam akhirat, sekaligus meremehkan dunia dan tidak panjang angan-angan. Kelima: Menziarahi kubur. Jika hati kita tidak dapat disembuhkan dengan cara sebelum ini maka inilah cara yang paling berkesan dalam mengubati hati yang keras. Rasulullah SAW bersabda:

Bermaksud: “Ziarahilah kubur kerana ia akan mengingatkanmu kepada kematian” (Riwayat Muslim)

Marilah sama-sama kita menghitung diri kita, bagaimana nasib kita di alam kubur nanti, adakah kita sebahagian dari umat yang akan dirahmati atau akan di azab oleh Allah SWT. Renungilah kehidupan kita selama ini, adakah kita sudah bersedia untuk meninggalkan alam dunia ini, bagaimana dengan amalan kita? adakah sudah mencukupi untuk bertemu dengan Alllah SWT di akhirat kelak. Ingatlah segala amalan kita akan diperhitungkan samada ia berpahala atau berdosa dan semuanya terserah kepada neraca keadilan yang telah ditentukan oleh Allah SWT. lngatlah wahai muslimin sekalian bahawa setiap pergerakan kita sentiasa diawasi oleh dua malaikat iaitu Raqib dan Atid. Elakkan daripada terjerumus ke dalam dosa termasuk melemparkan tuduhan, prasangka buruk serta bercakap bohong.

Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Zalzalah ayat 7 dan 8:
Maksudnya: " Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat dzarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! . "

Wednesday 26 January 2011

Berita Harian Online | Gejala sosial kronik

Berita Harian Online Gejala sosial kronik

Sunday 16 January 2011

SIKAP POSITIF PENENTU KEJAYAAN

.

Dalam menempuh kehidupan seharian yang penuh dengan cabaran, dugaan dan rintangan, kita sebagai umat Islam dituntut untuk sentiasa berfikiran positif dengan banyak bersabar, bersemangat waja dan tidak mudah berputus asa serta sentiasa menjauhi dari berperasangka buruk dan negatif sesama kita. Ini kerana segala dugaan tersebut merupakan fitrah atau lumrah di dalam kehidupan manusia. Ia juga merupakan ujian daripada Allah SWT untuk mengenal pasti siapakah di kalangan hamba-Nya yang terbaik dari segi amal ibadah mereka di dunia. Allah SWT telah menjelaskan kepada hamba-Nya kenapa manusia itu dituntut agar berfikiran positif dan menjauhi dari bersangka buruk sesama manusia.

Sebagaimana firman-Nya di dalam surah al-Hujurat ayat 12 : Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakkan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”

Bersikap dan berfikiran positif adalah salah satu daripada sifat yang sewajarnya menghiasi diri seseorang umat Islam itu untuk mencipta kejayaan demi kejayaan dalam hidupnya. Secara terperincinya, berfikir positif dapat didefinisikan sebagai satu pandangan atau sikap seseorang yang sentiasa memandang baik terhadap apa jua keadaan yang menimpa dirinya ataupun kepada orang lain. Berfikiran positif lebih dikenali sebagai Husnu al-Zhan yang membawa maksud berprsangka baik.

Agama Islam amat menganjurkan umatnya supaya bersifat dengan sikap berprasangka baik di dalam kehidupan berbanding dengan sikap berprasangka buruk yang jelas sekali begitu keji dan tercela. Seorang ulama terkenal Syeikh Abdul kadir al- Jailani pernah berpesan kepada kita dengan katanya: Jika engkau bertemu dengan seseorang, maka yakinilah bahawa dia lebih baik darimu. Ucapkan dalam hatimu "Mungkin kedudukannya di sisi Allah SWT jauh lebih baik dan lebih tinggi dariku". Jika bertemu anak kecil, maka ucapkanlah (dalam hatimu) "Anak ini belum bermaksiat kepada Allah, sedangkan diriku telah banyak bermaksiat kepada-Nya.Tentu anak ini jauh lebih baik dariku".Jika bertemu orang tua, maka ucapkanlah(dalam hatimu) "Dia telah beribadah kepada Allah jauh lebih lama dariku, tentu dia lebih baik dariku." Jika bertemu dengan seorang yang berilmu, maka ucapkanlah(dalam hatimu) "Orang ini memperoleh kurnia yang tidak akan kuperolehi, mencapai kedudukan yang tidak akan pernah kucapai, mengetahui apa yang tidak kuketahui dan dia mengamalkan ilmunya, tentu dia lebih baik dariku."

Jika bertemu dengan seorang yang bodoh, maka katakanlah (dalam hatimu): "Orang ini bermaksiat kepada Allah kerana dia bodoh (tidak tahu), sedangkan aku bermaksiat kepada-Nya padahal aku mengetahui akibatnya. Aku tidak tahu bagaimana akhir umurku dan umurnya kelak. Dia tentu lebih baik dariku."

Jika bertemu dengan orang kafir, maka katakanlah (dalam hatimu) "Aku tidak tahu bagaimana keadaannya kelak, mungkin di akhir usianya dia memeluk Islam dan beramal soleh. Dan mungkin boleh jadi di akhir usia diriku kufur dan berbuat buruk".

Amatlah tepat dengan saranan Rasulullah SAW yang menyanjungi seorang mukmin yang berfikiran positif dalam segala aspek kehidupannya. Bahkan itulah sikap dan ciri-ciri mukmin sejati yang dituntut oleh agama kita sebagaimana sabda Rasulullah SAW : Bermaksud: “Amat menakjubkan sikap seorang mukmin yang sentiasa memandang baik terhadap segala sesuatu di sekelilingnya. Sikap ini sebenarnya tidak pernah wujud pada umat lain kecuali kepada golongan mukmin. Jika dia mendapat kebaikan, ia bersyukur, Jika dia ditimpa keburukan, maka dia pun bersabar menghadapinya dan ini pun baik baginya.” (Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadith ini tergambar dengan jelas tentang ciri-ciri seorang mukmin yang sebenar. Bukan sahaja mereka ini sabar dan tabah menghadapi segala ancaman dan dugaan dalam kehidupan, bahkan mereka juga sudah lali dengan segala cabaran demi cabaran serta terus fokus dengan matlamat utamanya iaitu mencari keredhaan Allah SWT, kerana sesungguhnya hanya keredhaan Allah SWT sahajalah yang didambakan dan dihajati dalam hidupnya.

Perasaan syak ataupun menyangka buruk menjadi penghalang kepada hubungan antara perseorangan dengan berkesan kerana menyangka buruk sahaja sudah memadai untuk mencetuskan pelbagai masalah. Menyangka buruk kepada seseorang sering berkait rapat dengan perasaan hasad dengki atau cemburu. Dengan perasaan hasad dengki menyebabkan kita tidak merasa selesa dengan kejayaan orang lain, walaupun mereka itu jiran tetangga kita ataupun rakan sekerja kita sehingga menyebabkan timbulnya peselisihan dan fitnah yang akhirnya memecahbelahkan silaturrahim sesama umat Islam. Dengan berperasangka buruk mengakibatkan seseorang itu bertindak diluar batas kemanusian, tindakannya akan dipengaruhi oleh iblis dan hawa nafsu sehingga sanggup melakukan jenayah sebagaimana yang berlaku dalam masyarakat kita pada ketika ini seperti bermasam muka, mencederakan orang, menyimbah asid dan sebagainya.

Walaupun sifat ini amat sukar dibuang namun ianya mestilah diletakkan dalam senarai utama yang perlu kita usaha untuk menghindarinya dengan sedaya upaya. Sekiranya ianya tidak dihindari maka satu hari nanti akan lemah dan hancurlah sesuatu bangsa dan umat tersebut. Ingatlah wahai muslimin sekalian bahawa jika kita terlibat dengan menyangka buruk, maka kunci menanganinya adalah dengan cara kita kembalikan diri kita kepada Allah SWT dengan berbanyak beristighfar dan memohon taubat kepada-Nya sebagaimana sabda Rasulullah SAW: Bermaksud: “Setiap anak Adam itu ada kesilapan(dosa) dan orang yang berdosa yang terbaik adalah mereka yang bertaubat.” (Riwayat at-Tirmizi)

Seandainya setiap daripada diri kita menghayati dan mengamalkan hidup secara berfikiran positif dan terbuka serta menerima sesuatu itu dengan berlapang dada, insya Allah segala permasalahan di dalam hidup akan kita lalui dan hadapi dengan tenang dan mudah. Tiada lagi sifat berprasangka buruk sesama kita dan tiada lagi perasaan hasad dengki yang tidak berkesudahan. Dengan cara ini umat Islam akan terus menuju kepada matlamat untuk mencapai sebanyak mungkin kejayaan demi kejayaan.

Marilah bersama-sama kita menanamkan azam yang tinggi untuk mengukuhkan jatidiri yang positif yang sememangnya wujud di dalam diri kita sebagai umat Islam. Marilah sama-sama kita berusaha untuk memajukan umat dan bangsa kita. Ingatlah kita adalah sebaik -baik umat yang diutuskan oleh Allah SWT kepada manusia dengan syarat kita memiliki ciri-ciri yang disebutkan ini.

Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah Ali-Imran ayat 110 : Bermaksud: “Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada yang mungkar, serta kamu pula beriman kepada Allah. Dan kalaulah Ahli Kitab itu beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka orang yang fasik.





Monday 10 January 2011

KEMBALINYA ANAK-ANAK KE SEKOLAH...UNTUK MENIMBA ILMU


Minggu ini adalah minggu KEDUA anak-anak kita kembali ke alam persekolahan. Berbagai ragam dapat kita lihat pada diri anak-anak kita setelah berbulan mereka bercuti dari alam persekolahan ini. Namun inilah rutin biasa yang mereka perlu tempuhi dan membudayakannya demi membina generasi yang cemerlang di masa akan datang.

Dalam usaha membina insan yang cemerlang, maka hendaklah dihubungkait dengan ilmu pengetahuan dan pendidikan. Dalam proses ini kesepaduan peranan pihak berwajib iaitu sekolah dan ibu-bapa mestilah saling berkerjasama dan mengambil tanggungjawab dengan sebaik mungkin.

Firman Allah SWT dalam surah at-Tahrim ayat 6:
Maksudnya : “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api Neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; Penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.

Berdasarkan kepada pemerhatian terdapat perkaitan yang sangat kuat bahawa penglibatan ibu-bapa dalam memajukan pendidikan anak-anak. Dengan demikian ibu-bapa tidak boleh menyerah secara bulat bulat kepada pihak sekolah dan guru-guru sahaja dalam menentukan kejayaan dan kecemerlangan anak-anak. Ibu-bapa hendaklah memain peranan dan kerjasama rapat dengan pihak sekolah.

Ibu-bapa adalah asas kepada menentukan dasar pembinaan akhlak dan kecemerlangan anak-anak. Bila tumpuan ibu-bapa terhadap anak-anak berkurangan, maka kadar keciciran anak-anak semakin meningkat. Anak pada peringkat awal pembesaran dan pendewasaan memerlukan ibu-bapa sebagai orang terawal penunjuk jalan teladan yang baik. Menurut prinsip pendidikan Islam, saat kritikal dalam proses membina teras nilai murni, akhlak mulia, kasih sayang dan komunikasi yang mesra sebenarnya bermula dari dalam rahim ibu lagi sehinggalah anak itu mencapai usia baligh. Dengan demikian mimbar menasihatkan para jemaah sekalian bahawa dalam tempoh kritikal ini, ibu-bapa tidak boleh melepaskan diri dalam mendidik anak-anak walau apa jua sekalipun.

Rasulullah SAW telah menggariskan empat tahap pendidikan kepada anak-anak iaitu: Tahap Pertama: Anak yang baru lahir sehingga mumayyiz (enam tahun ) hendaklah kita banyak bergurau dan membelai mereka dengan penuh kasih sayang. Tahap Kedua: Anak berumur tujuh tahun sehingga baligh(14 tahun)hendaklah kita mendidik mereka dengan arahan, disiplin dan memberi tanggungjawab kepada mereka. Tahap Ketiga: Anak berumur 15 tahun hingga dewasa (21 tahun ) hendaklah dididik dengan cara berkawan, bertukar pendapat dan hormati pendapat mereka selagi yang tidak bertentangan dengan syariat. Tahap Keempat: Anak berumur lebih 21 tahun, hendaklah para ibu bapa memberikan kebebasan bertindak selagi tidak bertentangan dengan syariat. Ibu bapa hanya perlu bertindak sebagai penasihat agar segala tindakkan mereka terkawal.

Jika kita tidak mengambil berat, maka anak-anak akan terdedah dengan gejala rosak akidah, hilang kemulian akhlak dan maruah juga ketinggalan dalam pendidikan. Kita tidak mahu anak-anak menjadi keliru, tidak tahu memilih yang baik atau yang buruk dalam kehidupan mereka. Menurut Prof Dr Yusuf al-Qardawi, bahawa kesan yang paling menonjol akibat kelemahan kualiti keibubapaan hari ini adalah terpisahnya atau tercabutnya akhlak anak-anak yang memudahkan dan mendedahkan mereka dalam krisis gejala sosial.

Satu kisah pada zaman Rasulullah SAW, seorang sahabat yang berjemaah bersama baginda kerap keluar dari jemaah awal sebelum sempat berdoa. Baginda bertanyakan kenapa balik tergesa-gesa sebelum sempat berdoa. Sahabat itu menerangkan dia mempunyai anak kecil yang ibunya baru meninggal dunia. Dia takut anaknya mengambil dan memakan buah tamar jiran yang gugur di halaman rumahnya dan ditakuti akan menjadi darah dagingnya. Sahabat itu menjelaskan daging yang disuburkan dari benda yang haram itu tidak layak masuk syurga. Mendengarkan penjelasan itu, Baginda terdiam dan tidak berkata apa-apa, hanya memperhatikannya sahaja dia pulang ke rumah.

Pencapaian prestasi anak-anak kita dalam pelajaran bergantung kepada perancangan dan penilaian bersungguh-sungguh ibu bapa sendiri. Dalam hal ini ibu-bapa perlulah membudayakan ilmu dan akhlak dalam kehidupan seharian anak-anak. Dalam menjamin keberkesanan fungsi ibu bapa menentukan kejayaan pendidikan anak-anak, maka mimbar menasihatkan ibu bapa sekalian menetapkan sekurang-kurangnya 6 petunjuk sebagai ukuran bagi menentukan hala tuju dan tindakan yang mesti dilaksanakan oleh anak-anak kita antaranya seperti berikut: Pertama: Memastikan anak-anak menunaikan solat fardhu 5 kali sehari secara konsisten,Kedua: Memastikan anak-anak mempelajari dan memahami al-Quran setiap hari,Ketiga: Memastikan anak-anak mendapat makanan halal, berzat dan memenuhi keperluan vitamin setiap hari, Keempat: Menyemak buku-buku latihan dan kerja setiap mata pelajaran sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu, Kelima: Menetapkan sasaran setiap mata pelajaran anak sekurang-kurangnya mencapai 80%, dan Keenam: Mengadakan perjumpaan dengan guru kelas sekurang-kurangnya sekali dalam setiap semester atau penggal bagi mendapat maklumbalas prestasi pembelajaran dan tahap sahsiah anak-anak ketika berada di sekolah.

Sebagai ibu-bapa kita tidak boleh mengambil sikap lepas tangan. Jangan kita beranggapan bahawa kita telah menunaikan kewajipan dan hak anak-anak apabila anak-anak telah dihantar ke sekolah. Ingatlah tanggungjawab kita bukan hanya memastikan agar mereka akan hidup selesa pada masa akan datang. Tanggungjawab kita juga memastikan agar mereka mempunyai prinsip yang teguh dan jatidiri yang kuat.

Walaupun kadang-kala berlaku ketegangan hebat antara guru-guru dengan ibu-bapa yang nyata menjejaskan kualiti pendidikan di sebuah sekolah. Namun sebagai langkah positif, maka ibu-bapa dan masyarakat hendaklah memberi penghormatan yang besar kepada guru-guru untuk membimbing dan mendisiplinkan pelajar mereka masing-masing. Oleh itu mimbar berharap janganlah kita mudah melenting, jangan hilang kewarasan dan hendaklah bersifat berlapang dada apabila guru-guru mengambil tindakan disiplin ke atas pelajar mereka. Kita yakin tindakan guru dalam mendisiplinkan pelajar adalah untuk memberi pengajaran dan memulihkan akhlak agar sedia berubah menjadi insan yang berguna.

Marilah sama-sama kita menjaga dan mendidik anak-anak yang diamanahkan oleh Allah SWT kepada kita. Didiklah mereka dengan kehidupan beragama, agar mereka dapat berbakti kepada keluarga, masyarakat, negara dan bakal penerus kepada perjuangan Islam. Budayakanlah kehidupan mereka dengan perkara-perkara yang boleh memberi manafaat kepada diri mereka.

Dalam masa yang sama mimbar juga menyeru para jemaah sekalian marilah sama-sama kita tunaikan tanggungjawab sosial kita dengan membantu dan membela nasib pelajar-pelajar dari kalangan anak-anak yatim dan anak-anak saudaramara kita yang susah, supaya mereka juga dapat menghadapi sesi persekolahan yang baru ini dengan selesa dan sempurna.

Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 72:
Maksudnya: “ Sesungguhnya Kami telah kemukakan amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya; dan manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan jahil.“.

Friday 7 January 2011

Rahsia Simbol Yahudi

Alhamdulillah dapat juga memiliki buku ini setelah kali pertama melihat buku ini di MPH Giant Kulim, masa anak yang sulong teringin sangat nak beli.tapi saya beritahu dia lihat je maklumat tentang yahudi di internet.

 Setelah mencari maklumat dalam internet tak banyak juga maklumat tentang Yahudi, akhir jumpa juga buku ini buat kali kedua di Tapak Pesta Pulau Pinang, banyak manfaat dan ilmu berguna tentang Yahudi.

komen anda dihargai