BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Search This Blog

Selamat Datang

Selamat datang kepada semua rakan,sahabat,guru,bekas pelajar SMK Marudi dan pelajar SMK Marudi yang sedang menuntut di SMK Marudi ke laman blog saya ini.

Followers

Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Thursday, 25 August 2011

“KEMERDEKAAN BERSAMA ROH RAMADHAN”.



Pada 31 ogos setiap tahun negara kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan. Setiap kali sambutan ini diadakan maka terbayanglah di fikiran kita bagaimana penjajah yang silih berganti menjajah negara kita selama lebih kurang 500 tahun. Kita amat bersyukur kerana dalam tempoh tersebut kita dapat mempertahankan akidah dan mengekalkan agama Islam sehingga diletakkan sebagai agama bagi Persekutuan. Peruntukan ini tidak diadakan oleh penjajah, tetapi diusaha oleh pejuang dan pemimpin negara seiring perjuangan mencapai kemerdekaan yang tiada ternilai harganya. Kerana itulah menjadi kewajipan setiap kita sebagai rakyat melaksanakan tanggungjawab kepada negara yang antara lainnya ialah mentaati pemerintah dengan penuh ikhlas dan rasa bangga serta menjauhi diri dari perbuatan-perbuatan mungkar seperti menganggu ketenteraman awam, menimbulkan huru-hara dan mengancam keselamatan masyarakat dan negara. Imam Syihabuddin al-Absyihi dalam kitabnya al-Mustatraf menyatakan “ Ketahuilah bahawa tingkatan kebahagian yang tertinggi ialah taat kepada pemerintah di samping ianya menjadi penyelamat daripada segala kekacauan. ”

Justeru marilah kita mendoakan kesejahteraan kepada roh para pejuang kemerdekaan dan mengajak para jamaah sekalian mensyukuri nikmat kemerdekaan yang kita kecapi agar ianya berkekalan dan kemakmuran negara sentiasa bertambah dengan pengisian-pengisian yang diredhai Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 7:
Maksudnya: “ Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memberitahu: Sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras. ”

Persoalan besar pada hari ini adakah kita sebenarnya sudah merdeka?. Adakah sekadar kita lepas bebas ataupun tidak lagi dijajah oleh kuasa barat seperti sebelum ini, ataupun kerana kita telah mencapai kemajuan seperti yang kita alami sekarang, kita dikatakan sudah merdeka?. Ketahuilah bahawa bulan Ramadhan yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita merupakan suatu proses untuk mencari erti kemerdekaan yang sebenar. Sedar ataupun tidak bahawa selama ini kita sentiasa dibelenggu oleh dua penjajahan. Pertama adalah syaitan. Ia sebagai seteru terbesar manusia, kerjanya sentiasa mengajak manusia kepada mendurhakai Allah SWT sepertimana janjinya kepada tuhan. Manusia yang terjajah adalah manusia yang tidak dapat melepaskan diri daripada seruan syaitan dalam hidupnya. Manusia yang menurut telunjuk syaitan, sedikit demi sedikit semakin jauh dari Allah SWT hingga hatinya menjadi buta dari kebenaran. Ramadhan datang untuk membantu manusia melepaskan diri daripada penjajah syaitan ini. Syaitan dirantai untuk mengurangkan potensinya, urat saraf kita disempitkan dengan berlapar untuk mengurangkan jalan syaitan menguasai kita. Kedua ialah hawa nafsu dan diri sendiri sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Jaatsiyah ayat 23:

Maksudnya: “Adakah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya, dan ia disesatkan oleh Allah kerana diketahuinya, dan dimeteraikan atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi petunjuk kepadanya sesudah Allah? Oleh itu, mengapa kamu tidak mahu beringat dan insaf?. ”

Mereka yang dijajah oleh syaitan dan hawa nafsu dirinya sendiri tidak mampu membuat pilihan dalam hidup. Apa sahaja yang diinginkan oleh nafsu semua itu dipatuhi. Mereka ini buta biar pun celik, mereka pekak biar pun bertelinga, mereka menjadi bodoh biar pun menguasai ilmu. Lihatlah berapa ramai manusia yang rosak kerana hidup bertuhankan nafsu dan berapa banyak tamadun manusia yang musnah apabila pertimbangan tidak lagi berpaksikan tuhan tetapi berkiblatkan hawa nafsu.Yakinlah bahawa Ramadhan datang mendidik kita untuk memerangi nafsu. Betapa ketika kita ada makanan dan minuman, namun kita tidak memilihnya kerana patuh kepada perintah Allah SWT. Ini adalah pengajaran Ramadhan untuk mengajar kita berkata TIDAK kepada sesetengah kehendak diri dan nafsu. Mereka yang berjaya mengawal diri dan nafsu, adalah mereka yang benar-benar merdeka sehingga membentuk dirinya menjadi seorang insan soleh lagi bertakwa.

Firman Allah SWT dalam surah al-Syams ayat 7-9:
Maksudnya: “ Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya. Serta mengilhamkannya jalan yang membawanya kepada kejahatan dan ketakwaan Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih. ”

Tarbiah madrasah Ramadhan sebenarnya dapat membentuk sebuah masyarakat dan negara rabbani yang penuh keberkatan dan diredhai oleh Allah SWT. Rakyat yang dididik dengan roh Ramadhan tidak akan melakukan sesuatu perkara dengan mengikut perasan dan hawa nafsu, menzahirkan penghambaan yang sebenar dan sempurna kepada Allah SWT serta juga tidak diperhambakan oleh kekayaan, pengaruh harta benda, tidak dilenakan dengan kesenangan sementara. Jiwa mereka sentiasa tenang, jauh dari keluh kesah serta tidak dikuasai oleh perasaan takut. Amalan-amalan sepanjang bulan Ramadhan seperti puasa, solat berjamaah, bersedekah dapat memupuk cintakan persaudaraan dan merapatkan perpaduan antara kita. Seorang ulama sufi Ahmad bin khadrawiyah pernah berkata: Di dalam Ramadhan terdapat penghambaan yang sempurna. Ramadhan dapat mencegah si pelakunya dari akhlak yang tercela, perkataan dan perbuatan yang tercela. Adakah yang lebih indah dari kemerdekaan ini?.

Perlu diingat juga dalam kesibukan kita beribadat di bulan Ramadhan dan membuat persiapan bagi menyambut kedatangan Idulfitri, janganlah kita lalai dan alpa tentang kewajipan yang perlu kita laksanakan iaitu membayar zakat samada zakat harta atau fitrah. Kewajipan zakat fitrah ini merupakan pelengkap ibadat puasa dan sebagai penutup kepada kecacatan-kecacatan yang terdapat sewaktu kita mengerjakan ibadat puasa. Tanpa mengeluarkan zakat fitrah pahala ibadat puasa akan tergantung dan tidak dapat menjadi bekalan ke akhirat.

Firman Allah SWT dalam surah al-A’laa ayat 14-15:
Maksudnya:“ Sesungguhnya berjayalah orang yang berusaha membersihkan dirinya (dengan amal yang salih). Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya, serta mengerjakan sembahyang. ”
Sempena sambutan ulangtahun kemerdekaan negara yang ke 54 pada tahun ini bersamaan pula dengan bulan Ramadhan, marilah sama-sama kita menjadikan amalan sepanjang bulan yang berkat ini sebagai amalan contoh untuk mencegah, mengawal, merawat penyakit dan mengekalkan gaya hidup yang diredai oleh Allah SWT. Mudah-mudahan keberkatan yang kita perolehi dalam bulan ini memberi kesan kepada diri kita untuk memahami erti dan roh kemerdekaan yang sebenarnya.

Marilah kita merenung firman Allah SWT dalam surah Huud ayat 88: Maksudnya: “ Nabi Syuaib berkata: "Wahai kaumku! Bagaimana fikiran kamu, jika Aku berdasarkan bukti yang nyata dari Tuhanku, dan ia pula mengurniakan daku pangkat Nabi sebagai pemberian daripadanya, (patutkah Aku berdiam diri dari melarang kamu) sedang Aku tidak bertujuan hendak melakukan sesuatu yang Aku melarang kamu daripada melakukannya? Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah Aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah Aku berserah diri dan kepada-Nyalah Aku kembali. ”

Tuesday, 13 July 2010

Wawasan Sidratul Muntaha


Kini kita berada di bulan syaaban  semasa dipenghujung bulan Rejab, kita diingatkan dengan satu mukjizat teragong iaitu peristiwa Isra’ Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab setahun sebelum Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah. Dalam peristiwa ini, atas kekuasaan dan kehendak Allah SWT, Nabi Muhammad SAW diiringi malaikat Jibril diperjalankan pada waktu malam hari, berangkat dari masjidil Haram di Makkah menuju ke Masjidil Aqsa di Baitul Muqadis di Palestin dan kemudiannya diangkat mengadap Allah SWT di Sidratul Muntaha. Kalau mengikut perkiraan moden hari ini, peristiwa ini berlaku dalam tempoh satu malam iaitu kira-kira 12 jam.


Firman Allah SWT dalam surah al-Israa’ ayat 1:
Bermaksud: " Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui".

Tugas utama Nabi Muhammad SAW dan Rasul adalah untuk membina diri manusia supaya berakhlak mulia dan beramal soleh. Pembangunan diri manusia, pembangunan insan adalah menjadi tonggak segala pembangunan yang lain. Persoalan besar timbul ialah bagaimanakah manusia itu boleh membangunkan akhlak yang mulia?. Inilah yang perlu difahami dan dipelajari dalam peristiwa Isra’-Mikraj . Dalam peristiwa Isra’ Mikraj Nabi Muhammad SAW telah dibawa untuk melihat projek dan program Allah samada yang nyata atau ghaib yang terdapat di bumi dan di tujuh lapis langit serta di Sidratul Muntaha. Bagaimana pun projek terbesar dalam mukjizat ini ialah program Nabi Muhammad SAW mengadap Allah SWT di Sidratul Muntaha.

Sekali lagi timbul persoalan apakah hakikat Sidratul Muntaha ini?. Tidak banyak dalil yang menjelaskan tentang hakikat Sidratul Muntaha. Bagaimanapun menurut sebahagian ulama’, Sidratul Muntaha ini ialah satu planet lain iaitu berada di atas langit ketujuh yang berdekatan dengan syurga. Malaikat dan manusia pun tidak boleh memasuki ke Sidratul Muntaha kecuali Nabi Muhammad SAW.

Dalam peristiwa Isra’ Mikraj ini malaikat Jibril mengiringi Nabi Muhammad SAW hingga ke langit ketujuh sahaja dan baginda bersendirian naik ke Sidratul Muntaha mengadap Allah SWT. Tujuh lapis langit yang sering disebut dalam al-Quran bukanlah lapisan awan biru yang menutupi di atas bumi kita ini. Menurut ulama’ lapisan tujuh langit itu adalah merujuk kepada lapisan yang merangkumi cakerawala, bintang-bintang, planet-planet dan kumpulan-kumpulan gas yang berada di angkasa lepas.

Di Sidratul Muntaha ini Rasulullah dapat melihat wajah asli malaikat Jibril yang mempunyai 600 sayap dan melihat Allah SWT. Menurut ahli tafsir seperti Ibnu Kathir, menyatakan Nabi Muhammad melihat Allah secara mata hati dan menerima perintah melaksanakan program solat fardhu 5 waktu sehari semalam secara terus dari Allah SWT. Sebelum ini solat fardhu hanya 2 kali sehari semalam iaitu Subuh dan Maghrib atau Isya’. Inilah rahsia terbesar Allah SWT memanggil mengadap Rasulullah SAW di Sidratul Muntaha. Manakala perintah melakukan ibadah-ibadah wajib yang lain disampaikan Allah melalui malaikat Jibril.

Berdasarkan projek Allah di Sidratul Muntaha ini jelas bahawa solat fardhu lima waktu adalah program mega atau program raksaksa yang Allah fardhukan kepada umat Islam. Solat fardhu menjadi program mega kerana ia menjadi ibu segala amal ibadah, wajib dilaksanakan samada semasa sihat atau sakit, menjadi tonggak kekuatan agama, menggugurkan segala dosa dan menyelamatkan azab kubur. Selain itu kualiti solat ini juga akan menentukan kualiti pelaksanaan ibadah-ibadah yang lain.

Terdapat perkaitan yang kuat bahawa jika seseorang itu lemah melaksanakan solat, maka ibadah yang lain pun mempunyai tahap yang sama. Berdasarkan perkaitan inilah maka amalan solat adalah amalan yang dapat mencegah berlakunya kemungkaran kepada seseorang itu.

Firman Allah dalam surah al-Ankabut Ayat 45 :
Maksudnya :" Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan" .


Jika solat itu dibuat secara lalai maka ia boleh mendatangkan musibah dan memberi kesan buruk terhadap kelakuan seseorang. Firman Allah dalam surah al-Maa’un, ayat 5:
Maksudnya: " Maka kecelakaan besar bagi orang yang solat. (Iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan solatnya.”

Apa yang dimaksudkan lalai di sini ialah, mereka yang melakukan solat tidak menyedari bilangan rakaatnya, malas melakukan solat sehingga bertangguh-tangguh kerana mengutamakan pekerjaan lain, terburu-buru melakukan solat dan tidak merasai nikmat melakukan solat di awal waktu. Memandangkan solat ini adalah projek mega, maka pelaksanaan solat hendaklah dilaksanakan secara khusuk mengikut peraturan tertentu. Solat yang hakiki akan melindungi seseorang daripada melakukan perbuatan berdosa. Solat yang hakiki adalah solat yang dilakukan secara khusyuk.

Walaupun kita tidak dapat bertemu dengan Allah SWT seperti yang dialami oleh Nabi Muhammad SAW tetapi berdasarkan wawasan Sidratul Muntaha ini kita dapat bertemu dan berhadapan dengan Allah SWT di dalam solat dengan syarat, pertama: hati kita sepenuhnya mengingati Allah dengan menghindari dari penyakit syahwat atau bisikan duniawi kedua: hati kita sentiasa mengagungkan Allah SWT dan merasa Allah sentiasa melihat diri kita dan ketiga: hati kita sentiasa meresapi makna-makna ayat al-Quran yang di baca dalam solat.

Menurut Imam Ghazali, antara amalan untuk membentuk solat yang khusyuk ialah, memastikan sumber rezeki itu adalah halal, mendirikan solat seolah-olah akan menghadapi kematian besok, mendirikan solat pada awal waktu, memahami pengertian bacaan dalam solat, mengambil wudhu’ dengan sempurna dan pakaian bersih, serta memiliki sifat malu kepada Allah SWT jika perlaksanaan solat itu tidak sempurna.

Berdasarkan pemerhatian mimbar, akhlak yang kurang baik yang dideritai oleh segolongan umat Islam kini berpunca daripada solatnya tidak khusyuk menyebabkan mereka masih melakukan perbuatan keji. Mereka ini melakukan solat tetapi masih juga melakukan perbuatan berdosa

Serangan gejala sosial dalam pelbagai bentuk di negara ini menyebabkan kita kadangkala hilang pedoman untuk mengatasinya. Mimbar amat yakin pelaksanaan solat yang khusyuk berupaya menjadi benteng, mengukuhkan kekuatan akidah dan akhlak anak-anak kita dalam menghadapi serangan gejala sosial ini. Oleh itu sempena memperingati peristiwa Isra’ Mikraj sebagai mukjizat yang besar ini, maka mimbar menyeru para jemaah dan umat Islam sekalian, marilah kita melaksanakan ibadah solat dengan khusyuk dan sempurna agar ia mampu membangunkan anak-anak dan keluarga kita menjadi insan yang soleh selari dengan wawasan Sidratul Muntaha.

Sebagai renungan bagi menilai kualiti solat kita, marilah sama-sama kita menghayati firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa’, ayat 142:

Maksudnya : ” Sesungguhnya orang munafik itu melakukan tipu daya terhadap Allah, dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka. Mereka pula apabila berdiri hendak solat, mereka berdiri dengan malas. Mereka riak kepada manusia, dan mereka pula tidak mengingati Allah melainkan sedikit sekali.”.





Tuesday, 29 June 2010

PENGHARAMAN JUDI DAN MINUM ARAK DALAM ISLAM


TAZKIRAH :Peringatan ini ditujukan kepada semua muslimin dan muslimat:

Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu

`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

PENGHARAMAN JUDI DAN MINUM ARAK DALAM ISLAM

Islam telah mengharamkan semua unsur perjudian sama ada melalui permainan judi 4 nombor ekor/TOTO, hiburan iaitu FUN Fair dan sebagainya. Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan RasulNya mengharamkan judi dan menyuruh umat Islam menjauhinya kerana ia adalah perbuatan keji dan ia adalah perbuatan syaitan serta tergolong daripada dosa-dosa besar.

Judi adalah salah satu perbuatan yang boleh mengeruhkan hubungan sesama manusia dalam sesebuah masyarakat. Ia juga mencacatkan hubungan dengan Tuhan. Mereka yang melakukannya (melanggar larangan Allah) tidak akan mendapat keberkatan di dunia dan akhirat.Duit hasil kemenangan nombor ekor haram digunakan.Di dalam Al-Qur‘an al-maisir (judi) disebutkan sebanyak tiga kali, sebagaimana Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman yang tafsirnya :

“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya”. Dan mereka bertanya pula kepadamu: “Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)?” Katakanlah: “(Dermakanlah apa-apa) yang berlebih daripada keperluan (kamu)”. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir”(Surah Al-Baqarah: 219)

FirmanNya lagi:

Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”.(Surah Al-Ma’idah: 90)

Dan firmanNya yang lain:

Tafsirnya: “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil?”.(Surah Al-Ma’idah: 91)

Berdasarkan ketiga-tiga ayat di atas juga, ulama fiqh sependapat untuk menetapkan hukum berjudi dan minum arak itu salah satu dosa besar.Wahai muslimin dan muslimat marilah kita menjauhkan diri kita daripada perbuatan bermain judi dan minum arak.Perkara ini telah dijelaskan dalam Al-Quran dan apa yang dinyatakan dalam Al-Quran adalah perintah ALLAH. Jadi takutlah kepada ALLAH. Azab dan siksaan Allah kepada orang yang melanggar perintah-Nya amatlah dahsyat.Janganlah kita terpengaruh dengan dakyah syaitan dan kehidupan masyarakat bukan Islam yang jauh dari pegangan kita semua. Amalan ini juga wajib dihentikan oleh semua orang Islam.Janganlah kita membazirkan wang untuk tujuan berjudi,gunakan nikmat yang diberikan oleh ALLAH untuk tujuan kebajikan.ALLAH berkuasa untuk menarik nikmat itu bila-bila masa sahaja dan memberi bala kepada orang yang melakukan dosa.Bertaubatlah kita kepada ALLAH dan sesungguhnya ALLAH maha penerima taubat.

BACALAH RISALAH INI AGAR ANDA DIBERIKAN KEBERKATAN OLEH ALLAH.

Tuesday, 1 June 2010

Melaksanakan Tuntutan Sosial Sesama Umat Islam Merupakan Satu Cabang Keimanan.

Kehidupan manusia di atas muka bumi ini tidak dapat lari dari hidup secara berjamaah atau dengan kata lain “Hidup Bermasyarakat”. Apabila kita jauh dari sanak saudara dan ahli keluarga, maka orang yang paling hampir dengan kita ialah jiran tetangga atau sahabat handai yang tinggal dekat mahupun yang jauh dari kita.

Firman Allah dalam surah an-Nisa ayat 36 :Maksudnya : “ dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah, dan janganlah kamu mempersekutukannya dengan sesuatu apa jua, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat dan orang-orang musafir yang terlantar dan juga hamba sahaya yang kamu miliki, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takabur dan suka meninggi-ninggikan diri ”.

Berdasarkan ayat tersebut, dapat difahami bahawa melaksanakan tuntutan sosial sesama umat Islam adalah salah satu tuntutan dalam Islam dan ia merupakan salah satu cabang keimanan kita terhadap Allah s.w.t. Hal ini dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. melalui sabda baginda :

Maksudnya  “Sesiapa yang tidak mengambil berat di atas urusan orang muslimin maka bukanlah dia dari kalangan mereka. Dan sesiapa yang pada pagi hari mengutamakan perkara selain daripada agama Allah maka bukanlah dia daripada golongan orang yang diredhai Allah”.

Islam adalah agama persaudaraan dan perpaduan. Dalam persaudaraan dan perpaduan terkandung nilai-nilai unggul seperti berbuat baik, berkasih sayang, hormat menghormati, tolong menolong, amanah, jujur, bertimbang rasa dan sebagainya. Maka nilai-nilai ini menjadi tunjang di dalam kehidupan bermasyarakat.

Justeru, tuntutan berbuat baik atau melakukan kebajikan tidak terbatas kepada ibu bapa, adik beradik, ahli keluarga atau orang-orang yang ada pertalian darah dengan kita sahaja. Bahkan kita dituntut berbuat baik atau melakukan kebajikan kepada kawan-kawan, jiran tetangga bahkan kepada orang-orang yang kita tidak kenali termasuk juga terhadap haiwan dan makhluk-makhluk yang lain.



Sabda Rasulullah s.a.w. :
Maksudnya : “ Sebaik-baik manusia yang memberi manfaat kepada orang lain”.



Berdasarkan hadis tersebut, maka beruntunglah kita atau bagi sesiapa yang menjadi orang yang banyak memberi manfaat kepada sesama manusia, suka memberi bantuan dalam kerja-kerja kebajikan atau berusaha mengurangkan penderitaan terhadap musibah yang ditanggung oleh seseorang. Oleh itu, yang jelas bagi kita semua, bahawa seruan amalan suka menolong dan membantu orang lain adalah termasuk didalam amal ibadah, bahkan pahalanya lebih besar daripada beriktikaf di dalam masjid.

Ibnu Qayyim Rahimahu Allah menghuraikan hadis tersebut dengan menjelaskan bahawa sesiapa yang berbuat baik dengan orang lain. Allah akan berbuat baik kepada dirinya, dan sesiapa yang bersifat rahmah kepada orang lain, Allah akan bersifat rahmah kepadanya, dan sesiapa yang memberi manfaat kepada orang lain, Allah akan memberi manfaat kepada dirinya, dan sesiapa yang menutup keaiban orang lain, maka Allah akan menutup keaibannya, dan sesiapa yang menegah kebaikan orang lain, maka Allah akan menegah kebaikan kepadanya dan sesiapa yang berhubung kepada yang lain dengan sifat tertentu Allah akan bermuamalah denganya sama dengan sifat itu di dunia dan di akhirat. Oleh yang demikian banyakkan membantu atau menolong orang yang memerlukan bantuan kerana Allah.

 
Justeruitu,kita sebagai umat Islam perlu bersama-sama menyemarakan tuntutan tanggungjawab sosial terutama ditempat kediaman kita. Kerana sesungguhnya tersirat seribu rahsia dan hikmah disebalik semangat tersebut. semoga hubungan yang baik dan semangat tolong menolong dapat mengukuhkan lagi ikatan ukhuwah (persaudaraan) sesama Islam.

Akhirnya, terdapat beberapa pengajaran yang dapat diperoleh iaitu:

1. Menurut Sunnahtul Allah, bahawa manusia tidak boleh hidup bersendirian. Oleh sebab itu, manusia tidak dapat lari dari hidup bermasyarakat yang saling perlu memerlukan dan saling bergantung antara satu sama lain.

2. Masyarakat yang hidup saling tolong menolong dan hidup dalam suasana ukhuwwah, akan hidup dalam keadaan aman dan sejahtera, makmur dan bahagia.

3. Tuntutan menunaikan tanggungjawab sesama umat Islam atau melaksanakan hak mereka merupakan salah satu dari cabang iman. Sesiapa yang melaksanakan tuntutan ini akan mendapat ganjaran pahala serta dikasihi Allah s.w.t. dan Rasul.
 
4. Semangat bantu membantu dan hidup berkasih sayang serta bertolak ansur dapat membentuk perpaduan yang jitu. Disamping ia dapat menghindarkan dari anasir-anasir yang tidak sihat, perbuatan khianat, fitnah dan sebagainya yang boleh mengancam kehidupan mesyarakat.

Syabas kepada sukarelawan Malaysia yang sanggup berkorban nyawa demi kebaikan umat Islam di Gaza. Semoga Allah memberi kemenangan.Sesungguhnya janji ALLAH itu benar.
 
Umat Islam mempunyai peluang yang amat luas untuk melipatgandakan pahala khususnya bagi mereka yang dikurniakan harta dan wang ringgit yang banyak. Kerana itu, beruntunglah orang-orang yang diberi oleh Allah s.w.t. kelebihan suka menolong orang lain dan membantu di dalam kerja-kerja kebajikan.

Sunday, 30 May 2010

Marilah Kita Mencari Keredhaan Allah.


Sedarlah bahawa kita adalah hamba Allah dan janganlah kita lalai serta leka daripada bertakwa kepada-Nya, dengan beramal bersungguh melaksanakan suruhan dan perintah-Nya serta meninggalkan larangannya. Ingatlah bahwa orang-orang yang bertakwa adalah mereka yang memperolehi kemenangan di dunia dan di akhirat.

Kehidupan ini tidak bererti sekiranya tidak mendapat keredhaan dan rahmat daripada Allah dan lebih tidak bererti lagi jika segala kesalahan, keterlanjuran dan dosa tidak mendapat keampunan daripada Allah Subhanahu Wa Taala (SWT). Justeru itu, sebagai orang yang beriman kita dituntut supaya sentiasa memohan keampunan kepada Allah di atas segala dosa yang telah dilakukan samaada dosa kecil lebih-lebih lagi dosa besar. Sesungguhnya orang-orang yang tidak bersedia memohan keampunan daripada Allah atau menangguh dan melewatkan tindakan tersebut adalah mereka yang angkuh dan sombong, maka sudah pasti akibat buruk akan ditanggung sendiri oleh mereka.

Disamping itu, sebagai orang yang beriman kita juga mengharapkan keredhaan daripada Allah SWT dan digalakkan melakukan sesuatu bagi mencapai keredhaan tersebut. Amal ibadah yang dilakukan secara bersungguh-sungguh adalah sebahagian daripada cara untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT. Firman Allah: (Surah al-Fath ayat 29)

Maksudnya : " Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir (musuh-musuh Islam) dan (sebaliknya) bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadah rukuk dan sujud dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) daripada Tuhan mereka serta mengharapkan keredhaan-Nya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat pada muka mereka dari kesan sujud (dan ibadah mereka yang ikhlas)".

Mencari keredhaan Allah dan keampunan-Nya adalah amalan harian hamba-hamba-Nya yang beriman dan bertakwa, mereka tidak jemu dan berputus asa mencarinya kerana mereka yakin Allah akan mengurniakan kepada mereka keredhaan-Nya dan memberikan keampunan di atas segala dosa selagi mereka terus memohonnya.

Kalaulah mencari keredhaan Allah dan memohan keampunan-Nya adalah Tugas hamba-hambanya maka memberikan keredhaan dan keampunan adalah hak Allah ke atas hamba-hamba-Nya bahkan Allah yang bersifat Maha Pemurah dan Maha Pengampun tidak akan keberatan memberi keredhaan kepada hamba-hamba-Nya yang meminta keredhaan-Nya serta mengampunkan hamba-hamba-Nya yang memohan keampunan daripada-Nya.

Oleh itu, berlumba-lumbalah kita melakukan kebaikan melalui amal ibadah yang berterusan adalah langkah yang mulia dan bijak. Sesungguhnya jika amalan mulia ini dilakukan, nescaya akan mendapat keampunan di dunia dan di akhirat

Firman Allah:( Surah Ali-Imran ayat : 133 ) Maksudnya " Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik antuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa."







Wednesday, 26 May 2010

Syukuri Nikmat Keamanan

    Perlu kita insafi bahawa keamanan adalah nikmat kurniaan Allah SWT yang amat berharga. Dengan keamanan agama dapat dipelihara, kemajuan dapat dijana dan keselamatan dapat dirasa. Justeru, pentingnya keamanan dalam kehidupan maka Nabi Ibrahim Khalilullah semasa meneroka pembukaan Mekah sebagai pusat ibadah dan tanah suci telah mendoakan agar Mekah di kurniakan Allah dengan keamanan dan kemakmuran.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 126 :
Maksudnya : “Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdo'a dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Mekah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka". Allah berfirman: "(Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan mengheretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali.”.

Ayat tersebut menegaskan bahawa keamanan adalah asas utama dalam menegakkan agama Allah SWT dan mengimarahkan sesebuah negara. Perlu kita insafi betapa rugi dan malangnya negara-negara yang dilanda peperangan, persengketaan dan perpecahan. Negara-negara berkenaan bukan sahaja ketinggalan dan mundur dalam aspek kemajuan dan pembangunan material serta spiritual, malah keselamatan hidup seharian pun sentiasa terancam.

Perlu kita sedari bahawa akhir-akhir ini pelbagai jenayah berlaku dalam negara kita. Keamanan yang kita nikmati sekian lama semakin hari semakin terancam. Pelbagai kes yang membabitkan kejadian jenayah, dadah, permasalahan sosial remaja dan seumpamanya terus meningkat. Kini negara kita berhadapan pula dengan beberapa isu yang menyentuh persoalan agama yang menjejaskan keharmonian hidup.

Hal ini berlaku berpunca daripada sikap tidak besyukur dengan nikmat keamanan yang dikurniakan oleh Allah SWT. Tanda tidak bersyukur ialah meninggalkan perintah Allah dalam kehidupan seharian. Tuntutan-tuntutan syarak dalam kehidupan berkeluarga, berjiran, bermasyarakat dan bernegara diabaikan. Manakala tegahan syarak pula tidak segan silu dilanggari. Membelakangi panduan beragama akan menimbulkan pelbagai ancaman kepada keselamatan Negara.

Hal ini diperingatkan oleh Allah dalam surah al-A’raaf ayat 97-98 :Maksudnya : Patutkah penduduk negeri-negeri itu merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur?. Atau patutkah penduduk negeri itu merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka leka bermain-main?

Ayat-ayat tersebut menjelaskan bahawa Allah SWT akan mendatangkan kesusahan dan bencana kepada sesebuah negara yang mana warganegaranya mengingkari dan mengabaikan perintah beragama. Runtuhnya tamadun umat-umat terdahulu seperti kaum thamud, a’ad dan firaun adalah kerana kekufuran dan kefasikan.

Anugerah keamanan dan keharmonian negara perlulah disyukuri dan dipertahankan dengan bersungguh-sungguh oleh seluruh warganegara. Dalam hal ini, Islam menuntut bahawa cintakan keamanan negara sebagai tanda orang yang beriman dan bersyukur. Segala bentuk perjuangan mempertahankan keamanan dan keselamatan adalah ibadah dan jihad.

Antara perkara yang paling asas dalam usaha mengekalkan keamanan adalah dengan bersyukur kepada Allah SWT. Bersyukur atas segala nikmat kurniaan Allah dengan mematuhi dan melaksanakan semua perintah Allah SWT serta meninggalkan segala larangan-Nya.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Anaam ayat 82:
Maksudnya : “Orang yang beriman dan tidak mencampurkan iman mereka dengan kezaliman, bagi mereka itulah keamanan dan merekalah yang mendapat petunjuk.”.

Sebagai sebuah negara majmuk, sikap toleransi dan menghormati hak-hak beragama dan kebudayaan semua kaum perlulah dihayati. Justeru, semua pihak di negara kita tanpa mengenal anutan agama, rumpun bangsa dan kedudukan perlulah patuh dan mengiktiraf hak masing-masing sebagai mana yang termaktub dalam perlembagaan dan undang-undang negara. Elakkanlah daripada budaya hidup enau dalam belukar yang hanya mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan nasib orang lain. Selain daripada itu, keamanan juga dapat dipelihara melalui kesedaran dikalangan masyarakat tentang tanggungjawab bersama memelihara keamanan melalui budaya nahyu anil mungkar atau cegah kemungkaran. Perlu difahami bahawa ruang lingkup gugatan keamanan amat luas dan musuh berada dimana-mana. Justeru, tidak mungkin pasukan keselamatan mampu menangani setiap ancaman tersebut.

Akhir sekali Renunglah :
Ayat Al-Quran Surah Ali-Imran ayat 110:Maksudnya : “Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada yang mungkar, serta kamu pula beriman kepada Allah. Dan kalaulah Ahli Kitab itu beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka orang yang fasik”.(Ali-Imran110)





Tuesday, 25 May 2010

Doa Ibu Membawa ke Syurga.

     
   Dalam Islam, tuntutan agar berbuat baik kepada ibu bapa adalah merupakan perintah Allah SWT yang wajib kita tunaikan. Sebagai seorang anak, kita diperintahkan agar sentiasa melakukan kebaikan terhadap mereka seperti bersikap lemah lembut, berbudi bahasa, tidak berlaku kasar dan selalu ingat dan menghargai jasa serta pengorbanan yang telah diberikan kepada kita salam ini. Mereka telah bersusah payah memelihara dan menjaga kita siang dan malam dengan mengorbankan waktu, tenaga, perasaan, wang ringgit dan sebagainya demi memberikan yang terbaik untuk kita. Atas dasar itulah maka Islam menetapkan bahawa tanggungjawab melakukan kebaikan kepada ibu bapa amat besar sehingga ia digandingkan dengan perintah mentauhidkan Allah SWT.

Firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat 23:
Maksudnya: "Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "uh" dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)."

Ajaran Islam juga menyuruh kita agar sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada kedua ibu bapa kita. Firman Allah SWT dalam surah Lukman ayat 14:
Maksudnya: "Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapa mu dan (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)."

Sesungguhnya begitu besar sekali peranan dan pengorbanan kedua ibu bapa, lebih-lebih lagi buat si ibu sehingga Islam mengangkat darjat seorang ibu itu lebih dari seorang bapa. Berdasarkan Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: "Daripada Muawiyah bin Haidatal Qusyairi katanya aku bertanya Rasulullah SAW, siapakah orang yang paling patut aku berbuat baik?, Rasulullah SAW menjawab : ibumu, kemudian aku bertanya lagi siapa?, Rasulullah menjawab : ibumu, kemudian aku bertanya lagi siapa? Rasulullah menjawab: ibumu, kemudian aku bertanya lagi siapa? Rasulullah menjawab : bapamu, kemudian orang yang paling hampir denganmu dan seterusnya".
(Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Menurut maksud hadis tersebut, Baginda Rasulullah SAW telah menggariskan satu dasar bahawa Islam amat mengutamakan kepada si ibu sebagai insan yang layak menerima segala layanan yang terbaik dari setiap anak-anaknya ini kerana segala pergorbanan yang ditanggung oleh ibu sepanjang tempoh kehamilan diikuti dengan proses melahirkan, kemudian memelihara untuk membesarkan kita adalah satu tempoh yang amat sukar. Namun begitu, ia berjaya diatasi dengan sebab rasa kasih sayang yang mendalam dalam diri si ibu berserta sokongan dari si bapa.

Memandangkan begitu banyak jasa dan pengorbanan oleh ibu, maka selayaknyalah ibu diberi penghormatan yang begitu tinggi, ini tepat sekali dengan sabda Nabi Muhammad SAW:
Maksudnya: "Syurga itu berada di bawah telapak kaki ibu-ibu."

Hal ini dapat dilihat dalam kisah Alqamah, di mana beliau begitu sukar untuk melafakan kalimah syahadah di saat sakaratul maut kerana perasaan ibunya yang tergores di atas layanannya, walaupun Alqamah kuat beribadah tetapi beliau telah melakukan sesuatu yang mengguris perasaan ibunya, lalu ibunya merasa kecil hati dengan tindakannya, sehingga ibunya sukar untuk memaafkannya. Peristiwa ini perlu dijadikan iktibar oleh kita semua, semoga perkara yang dialami oleh Alqamah tidak terjadi kepada kita.
 
Bagi menghargai segala jasa ibu, maka berbagai cara perlu kita lakukan untuk menghiburkan hati mereka. Di antaranya kita memperuntukkan masa untuk menziarahi ibu, bercuti bersama-sama ibu, membawa ibu bersiar-siar ke tempat yang menarik, menghadiahkan sesuatu yang menjadi kesukaannya, sentiasa mendoakan mereka, dan melakukan apa sahaja yang menyenangkan hati mereka, sebagai tanda penghargaan serta kasih sayang seorang anak kepada ibu.

Persoalannya? adakah kita telah melakukan hal-hal sedemikian kepada ibu kita? adakah hanya sekadar bila tibanya hari raya, atau hari ibu, barulah kita tertanya-tanya di mana dan bagaimana keadaan si ibu?. Sedangkan ajaran Islam menegaskan bahawa ibu hendaklah diberikan perhatian dan layanan pada setiap masa. Sebagai anak, kita perlulah sentiasa mentaati dan mendoakan kesejahteraan serta keampunan bagi kedua ibu bapa agar hidup kita diberkati Allah. Jika ibu bapa kita telah meninggal dunia, hadiah yang paling bermakna untuk mereka yang amat kita kasihi ini, ialah mendoakan kesejahteraan untuk mereka, agar Allah Taala sentiasa merahmati dan mengampunkan segala dosa-dosa mereka.

Maksudnya: "Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata) : ‘Wahai Tuhan kami! Cucuri rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku semasa kecil."
(Surah al-Isra’ ayat : 24)

Sunday, 23 May 2010

Ujian Ilahi Satu Ikhtibar

       
  Akhir-akhir ini, kita sering dikejutkan dengan berbagai-bagai bencana alam yang dijadikan Allah sebagai ujian bagi manusia yang mahu mengambil iktibar daripadanya. Samada berupa banjir, gempa bumi,ribut taufan,thunami,letupan gunung berapi,wabak penyakit,jerebu,selsema burung,pencemaran alam sekitar,kemarau panjang,kejadian tanah runtuh dan lain-lain lagi, samada ianya berlaku dalam negara kita atau pun ditempat lain, bukan sahaja membunuh jutaan manusia,malah memusnahkan harta benda yang kita miliki,disamping ianya mengundang saat-saat kesedihan dan kesengsaraan yang tidak dapat digambarkan dengan luahan perasaan. Bahkan apa yang menakutkan kita ialah bencana ini datang secara tiba-tiba dan berlaku dengan sekelip mata sahaja, meskipun kedatangannya dapat kita ramalkan , namun kehadirannya mungkin tidak ada yang mampu menghalangnya.

   Banyak faktor yang boleh kita kaitkan terjadinya bencana ini. Antara faktor yang tersebar menurut pandangan islam ialah:
* Sebagai ujian daripada Allah s.w.t itu maha berkuasa menentukan segala-galanya.
* Sebagai peringatan terhadap dosa yang telah dilakukan oleh sebilangan manusia agar mereka mengambil iktibar dan muhasabah diri.
* Faktor penerokaan alam yang gagal diurus dan diselia dengan baik.
Firman Allah s.w.t:
"Sesungguhnya kami (diutuskan) untuk menurunkan atas penduduk disuatu tempat itu azab dari langit, disebabkan mereka melakukan kejahatan (kufur dan maksiat)".
(Al-Ankabut ayat 34)

Memang tidak dapat dinafikan maksiat dan kemungkaran yang berleluasa adalah faktor utama berlakunya sesuatu bencana itu. Ayat tadi menjelaskan bahawa keengganan dan kesombongan manusia yang kufur terhadap perintah Allah hanya akan mengundang azab yang pedih samada didunia mahu pun diakhirat. Azab didunia inilah antara cara yang ditakdirkan oleh Allah s.w.t untuk memberi Kaffarat kepada umatnya yang ingkar dan fasik. Apa yang menggerunkan ialah bencana yang bakal menimpa kita kerana maksiat berlaku tanpa mengira sesiapa sahaja. Samada yang
melakukan ketaatan dan beriman atau pun tidak, berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w :
"Apabila Allah s.w.t menghukum dengan menurunkan azab kepada sesuatu kaum itu, nescaya kesemuanya akan musnah ditimpa azab tersebut, kemudian kaum yang lain dibangkitkan untuk menggantikan mereka memulakan kehidupan yang baru".
(Riwayat Al-Bahari)

Artikel ini adalah sebahagian daripada khutbah Jumaat yang oleh saya di Masjid Besar Marudi,Baram Sarawak.Semoga kita memperoleh manfaat dan pengajaran.



Sunday, 16 May 2010

MENSYUKURI NIKMAT PEMBERIAN ALLAH.

       Salah satu amalan mulia yang terkandung di dalam syariat Islam apabila kita menerima sesuatu nikmat berbentuk kebahagiaan, kemudahan dalam hidup, rezeki yang melimpah ruah dan terlepas dari sesuatu musibah adalah dengan memperbanyakkan syukur kepada Allah. Firman Allah dalam surah Ibrahim ayat 7 yang berbunyi:

Bermaksud :“Dan ingatlah ketika Tuhanmu memberitahu: ”Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, ingkar, sesungguhnya Azab-Ku amatlah pedih”.

        Selain bersyukur kita juga perlu menghindari pelbagai lagi amalan buruk. Marilah kita menyedari bahawa kesemua tabiat buruk ini bukan sahaja merugikan diri sendiri tetapi menyebabkan kita memberikan nafkah yang tidak bersih kepada anak isteri dan keluarga kita. Ingatlah pesanan baginda Nabi S.A.W. di dalam hadis baginda:Yang bermaksud: “Setiap daging yang tumbuh dari sumber yang haram maka api nerakalah yang lebih layak baginya”.
(hadis riwayat at-Tirmizi)

       Sesungguhnya pekerjaan yang kita lakukan bukan sahaja mendapat gaji setiap bulan malah ia dikategorikan sebagai ibadah yang memperoleh pahala, ganjaran dan keberkatan di dunia dan akhirat. Sehubungan dengan itu, Dr. Yusof al-Qardhawi, dalam kitabnya al-‘Ibadah fi al-Islam, menggariskan beberapa pra syarat kerja yang kita laksanakan dinilai sebagai ibadah.

1. Mestilah mempunyai niat bagi mencari keredhaan Allah dengan berkhidmat dengan ikhlas bagi mencari rezeki yag halal,

2. Pekerjaan tersebut diakui oleh Islam,

3. Sepanjang bekerja tersebut ia tidak menganiaya dan mengambil harta orang lain samada menipu, mencuri mahupun terlibat dengan rasuah,

4. Pekerjaan tersebut dilakukan dengan kesungguhan dan penuh komitmen

5. Ia tidak meninggalkan tuntutan ibadah khusus seperti meninggalkan solat ataupun enggan mengeluarkan zakat.

        Dalam mengejar kekayaan dan kemewahan hidup terdapat segolongan manusia yang terlalu rakus dan tamak dengan harta benda, sehingga sanggup mencampakkan diri mereka ke lembah kebinasaan dan kehinaan dengan melakukan jenayah rasuah yang sangat dikutuk Allah Taala. Firman-Nya:
Bermaksud: “Dan janganlah kamu makan (mengambil) harta (orang lain) diantara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada Hakim-hakim kerana hendak menahan (mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui salahnya”.(Surah al-Baqarah : 188)

          Marilah kita pada hari ini merealisasikan konsep kesyukuran dengan sebenar-benarnya dalam kehidupan kita. Agar kehidupan kita lebih diberkati Allah dan dikurniakan dengan nikmat yang melimpah ruah.

Bermaksud: “Dan sesungguhnya kami telah memberi kepada Lukman hikmah, kebijaksanaan (serta kami perintahkan kepadanya): bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmat-Nya kepadamu) dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulanglah kepada diri sendiri dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah) kerana sesungguhnya Allah Maha kaya Lagi Maha terpuji." (surah Lukman : 12)




 




Thursday, 6 May 2010

kasih sayang demi kesejahteraan

                    Manusia secara tabienya dijadikan oleh Allah s.w.t. sebagai makhluk yang bersosial. Mereka sentiasa cenderung untuk bergaul sesama sendiri, bermuafakat, bertolong-tolongan untuk mendapat manfaat dan memenuhi keperluan diri. Secara zahirnya tidak mungkin manusia itu hidup sendirian tanpa apa-apa hubungan dengan manusia lain.

        Persoalan besar timbul ialah walaupun manusia itu pada fitrahnya bersosial tetapi mengapa mereka hidup bermusuhan, bunuh membunuh, dan menzalimi sesama keluarga, jiran tetangga, masyarakat, dan terhadap makhluk Allah yang lain. Ini bertentangan dengan ajaran Nabi s.a.w. bahawa Islam adalah agama kasih sayang sebagaimana sabda baginda yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada Nu'man bin Bashir r.a: Maksudnya: “Perumpamaan orang mukmin dalam berkasih sayang,berkasihan belas dan menaruh simpati adalah seperti satu tubuh. Apabila salah satu anggota ada yang sakit, maka seluruh anggota tubuh akan merasainya seperti demam dan tidak dapat tidur malam.”

       Apa yang menghairankan, terdapat sesetengah masyarakat kita tidak bersifat belas kasihan di antara satu sama lain, keadaan ini berlaku kerana sifat yang mulia iaitu sifat kasih sayang semakin luntur di kalangan masyarakat. Islam adalah agama yang membawa rahmat kepada semua makhluk. Di antara nilai rahmat itu ialah Islam menganjurkan umatnya bersifat kasih sayang sesama manusia, sayang kepada haiwan, sayang kepada keindahan alam sekitar, dan makhluk Allah yang lain.

       Oleh itu, sifat kasih sayang adalah kunci perpaduan manusia. Seorang pemimpin yang pengasih dan perihatin, menyebabkan rakyat dan pengikutnya akan hormat dan menyanjunginya. Seorang ayah yang penyayang dan perihatin, menyebabkan dia dicintai dan dihormati oleh anak-anak dan isterinya. Demikianlah
rahsia kekuatan kasih sayang dalam kehidupan manusia. Kasih sayang akan mendekatkan antara benua dengan benua, negara dengan negara, dan mengikat persaudaraan manusiawi sekalipun berlainan bangsa, agama, budaya, warna kulit, dan pangkat.

     Kasih sayang juga kunci kepada kesejahteraan keluarga dan masyarakat. Oleh itu, adalah penting sekali kita usahakan agar disayangi dan sekaligus menyayangi orang lain. Kalau kita seorang anak, usahakan kita disayangi oleh ibu bapa. Jika kita ibu bapa, usahakan anak-anak menyayangi kita. Dengan demikian, akan wujudlah dalam sebuah rumah tangga itu, orang tua sayang pada anak-anak, dan anak-anak sayang pada orang tua.

       Bagi pasangan suami isteri pula, kita mesti berusaha agar pasangan kita disayangi dan menyayangi diri kita. Demikian juga dengan kepimpinan negara, para pendidik, ketua jabatan, atau pemimpin masyarakat, perlulah berusaha agar menyayangi dan disayangi oleh orang yang di bawah jagaan kita masing-masing, demi menjadi pemacu kesejahteraan sejagat.

      Ambillah iktibar bagaimana kasih sayang seekor kucing dan ular seperti yang diceritakan oleh Imam Malik bin Dinar r.a.. Menurut beliau ketika hendak makan, tiba-tiba seekor kucing menyambar sepotong daging dari pinggannya. Lalu beliau mengekori ke mana ia dibawa. Rupa-rupanya kucing itu telah mencampakkan daging tersebut ke dalam lubang berbatu yang dihuni oleh seekor ular buta yang kelaparan. Renungilah, betapa pengasih dan penyayangnya haiwan ini walaupun berlainan jenis. Allah s.w.t. sengaja mempamerkan naluri sayang binatang ini untuk menjadi pengajaran buat manusia. Walaupun ada antaranya bersifat ganas, tetapi kasih sayangnya sangat tinggi.
       Masalah seperti isu-isu perceraian yang tinggi di kalangan masyarakat Islam, kegagalan ibu bapa mengawal tingkah laku jelek anak-anak, gejala sosial yang meningkat, kurangnya semangat kejiranan, tidak mengambil berat masalah masyarakat, seakan petanda perasaan kasih sayang dalam masyarakat sudah hilang.

       Sebagai muslim dan mukmin yang berpegang dengan ajaran al-Qur'an dan as-Sunnah, maka marilah kita menghayati semangat kasih sayang dan muhibbah dalam kehidupan seharian demi mencapai keredhaan Allah dan kebahagiaan dunia serta akhirat. Hari ini masyarakat kita menyaksikan peristiwa penting negara iaitu berlangsungnya majlis angkat sumpah saf kepimpinan negara yang baru. Acara ini merupakan simbol kepentingan pematuhan dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diserahkan. Mimbar ini berpandangan, acara sumpah ini adalah satu ikrar janji setia yang menandakan keazaman dan pengakuan agar melaksanakan segala bentuk ihsan dan kebaikan sekaligus meninggalkan keburukan dan kemungkaran demi kesejahteraan seluruh rakyat. Mudah-mudahan ikrar dan sumpah kepatuhan ini akan menjadi panduan kepada mereka yang dilantik memimpin negara dan membangun rakyat dengan penuh amanah, ihsan dan kasih sayang, semoga mendapat rahmat dan keampunan Allah.

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Maidah ayat 89:
Maksudnya: “Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan, akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab
sumpah yang sengaja kamu buat.”

Sunday, 25 April 2010

Watak Manusia Yang diBenci Oleh Islam

Watak Manusia Yang Dibenci Oleh Islam ”.

           Allah SWT mencipta alam dan muka bumi dengan sempurna supaya manusia dapat hidup aman damai. Bagaimanapun terdapat manusia yang suka mengganggu ketenterman dan kesejahteraan itu sendiri. Dalam al-Qur’an disebutkan empat watak manusia yang sebegini. Sama ada dalam kehidupan peribadi, berjiran tetangga, bermasyarakat, berbangsa atau bernegara. Keempat-empat watak ini selalunya mengganggu masyarakat dan sentiasa bekerja mengelabui mata orang ramai, mempersenda-sendakan agama dan melakukan apa sahaja untuk merosakkan masyarakat dan ummah.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 204-205:
Maksudnya: “Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan ia (bersumpah) bahwa Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal ia adalah orang yang sangat-sangat keras permusuhannya. Dan apabila ia berpaling, berjalanlah ia di bumi, untuk melakukan kerosakan padanya, dan membinasakan tanam-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia); sedang Allah tidak suka kepada kerosakan.”

Antara watak tersebut adalah:
        Watak Pertama: Manusia yang bermulut manis dibibir tetapi hati penuh dengan racun berbisa. Manusia jenis ini sangat pandai berkata-kata dan mempunyai daya tarikan yang mempersonakan hati ramai orang. Dia boleh dianggap mempunyai hati yang baik, jujur, sentiasa berbuat kebaikan dan seorang pemikir yang sentiasa memikirkan kepentingan umum tetapi pada hakikatnya adalah lain dibibir lain dihati.
Pada pandangan agama Islam, manusia seperti ini adalah seorang yang munafik. Zahirnya mengatakan ’Ya’ tetapi batinnya mengatakan ’Tidak’. Manakala dalam masyarakat Melayu, dia dipanggil ’Musuh Dalam Selimut’, ’Musang Berbulu Ayam’ atau ’Telunjuk Lurus Kelingking Berkait’.

         Watak Kedua: Manusia perosak masyarakat. Manusia jenis ini tidak mempunyai rasa malu dan sanggup melakukan apa sahaja untuk merosakkan masyarakat. Kerosakkan yang dilakukan adalah semata-mata kerana tidak dapat mengawal perasaan dan emosi apabila melihat orang lain mendapat kebaikan.

         Antara musibah yang menimpa masyarakat dengan adanya manusia sebegini adalah lahir kumpulan yang suka menyalahkan orang lain atau kumpulan lain. Ada yang sanggup mencaci, menghina, memaki orang lain. Kita perlu ingat bahawa watak ini tidak dapat menyelesaikan masalah ummah tetapi menambahkan beban masalah buat masyarakat dan negara. Justeru itu, manusia yang terlibat dalam kelompok ini, gemar mencela, mengumpat, mengutuk, memfitnah tanpa dasar yang betul. Adalah suatu kezaliman sekiranya seseorang menuduh orang lain melakukan perbuatan yang tidak dilakukan olehnya.
Rasulullah s.a.w. telah mengingatkan kita dalam sebuah hadith baginda yang diriwayatkan oleh at-Thobarani:
Mafhumnya: “Janganlah kamu mencaci maki para pemimpin. Doakanlah kebaikan untuk mereka kerana sesungguhnya kebaikan mereka membawa kebaikan untuk kamu juga”.

             Salah satu perkara yang dilakukan oleh mereka ini ialah melalui penyebaran berita palsu dan fitnah. Fitnah dilakukan sama ada melalui perkataan, ucapan atau tulisan. Pada zaman era globalisasi ini pelbagai fenomena fitnah telah muncul. Justeru, umat Islam hendaklah berusaha menolak dan menjauhi daripada terlibat. Alat-alat tekonologi yang maju patut digunakan untuk faedah dan kebaikan manusia dan bukannya disalahgunakan.

        Sedarilah bahaya fitnah tersebut boleh menjatuhkan maruah seseorang. Jika fitnah terkena kepada pemimpin, maka jatuhlah kepimpinannya. Jika fitnah itu mengenai guru, maka hilanglah kewibawaannya sebagai pendidik. Dan jika fitnah itu mengenai suami isteri, maka bergoncanglah keharmonian rumah tangga dan keluarga.
Firman Allah SWT dalam surah alk-Anfal ayat 25:
Maksudnya: “Dan jagalah diri kamu daripada dosa yang bukan sahaja akan menimpa orang yang zalim di antara kamu secara khusus. Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya”.

    Watak Ketiga pula ialah: Manusia yang tidak boleh ditegur atau tidak boleh menerima kritikan, tidak bersikap terbuka dan tidak boleh menerima pendapat orang lain serta menghormati perbezaan pendapat. Mereka ini jika diajak membetulkan kesilapan diri, diseru mengikut jalan yang betul, diajak secara jujur, maka mereka menjadi sombong, angkuh dan bongkak.

      Watak manusia sebegini adalah disebabkan mereka tidak dapat melihat kesalahan diri sendiri atau kumpulan mereka. Mereka selalu berasa benar dan bijak, manakala kesilapan datangnya daripada orang lain. Lantaran itu manusia seperti ini akan menjadikan sesiapa sahaja sebagai ‘Kambing Hitam’ untuk menutup segala kesalahan dan kelemahan yang ada pada diri mereka.

          Kesemua watak manusia yang dinyatakan tadi mengajak kita semua berfikir dan berwaspada supaya tidak menjadi golongan berkenaan. Untuk itu mimbar menyeru semua pihak dan sidang jemaah sekalian, sedarilah bahawa masyarakat yang bertamadun akan mengelakkan diri daripada sebarang perbuatan jahat yang boleh memusnahkan agama, masyarakat dan negara. Semoga dengan sikap sedemikian kita tidak terjerumus ke dalam perbalahan, perpecahan, pencerobohan hak, pertumpahan darah dan sebagainya.

         Maksudnya: “Katakanlah: Siapakah yang dapat melindungi kamu dari kemurkaan Allah jika Ia mahu menimpakan bala bencana kepada kamu, atau jika Ia memberikan rahmat kepada kamu? Dan mereka tidak akan beroleh sesiapapun selain Allah, pelindung atau penolong mereka.”
(Surah al-Ahzab:17)





Wednesday, 21 April 2010

Pelbagai Posisi Tidur....

 Tidak kira manusia atau binatang tidur merupakan satu kemestian. Tidur merupakan mati yang sementara. Allah juga memberikan kejadian malam untuk manusia berehat iaitu tidur. Tidur yang cukup pada malam hari membolehkan badan kita sihat. kita dinasihatkan agar tidur sekurang-kurangnya 8 jam dan sekurang-kurangnya 4 jam.

      Ada juga waktu yang tidak digalakkan untuk tidur iaitu selepas solat Asar dan selepas solat subuh.tetapi waktu ini waktu yang paling syok untuk tidur. Tidur selepas subuh akan menutup pintu rezeki dan tidur lepas Asar boleh melemahkan tenaga batin dan otak.

        Di sini ada pelbagai posisi tidur sama ada dalam kalangan binatang atau manusia



Kita dinasihatkan tidur di tempat yang sesuai dan cara yang terbaik menurut rasullullah ialah berbaring di atas lampung kanan dan mengadap kiblat.Sebelum tidur baca Bismillah,Al-Fatihah dan ayat Kursi.InsyaAllah tidur tidak akan sebarang gangguan.

Tuesday, 20 April 2010

Menginsafi Perbicaraan di Padang Mahsyar..Suatu ikhtibar

         Hari akhirat ialah hari dimana semua manusia dibangkitkan semula selepas mati dan dihimpunkan di suatu tempat yang dipanggil "Padang Mahsyar" untuk mengahadapi perbicaraan atau timbangan amalan yang dikerjakan semasa hidup di dunia dahulu dan seterusnya ditentukan samada ia menjadi penghuni syurga atau penghuni neraka. Dasar akidah ini amat penting dihayati kerana ia dapat membimbing kehidupan kita di jalan yang diredhai Allah.

          Di zaman moden yang serba mencabar ini kita merasa amat bimbang kerana perilaku di kalangan sesetengah umat islam jauh terkeluar daripada syariat islam. Diantaranya ada yang mengutamakan dunia dan tidak pedulikan nasib di akhirat. Demi keseronokkan dunia, nafsu syahwat dipertuhankan. Ada yang secara terang melakukan kezaliman, penyelewengan, pecah amanah, penipuan dan sebagainya. Ajaran dan panduan syariat tidak dijadikan pegangan dan amalan dalam kegiatan harian. Fenomena kerosakan akhlak di pelbagai peringkat masyarakat seperti penagihan dadah, arak, judi, zina, pergaulan bebas, hiburan liar dan sebagainya didapati meningkat dari semasa ke semasa. Keadaan ini terjadi sesungguhnya kerana keyakinan dan pegangan kepada dasar akidah tentang kehidupan akhirat dikalangan kita tidak diutamakan.

         Terdapat banyak sekali gambaran-gambaran yang disebut oleh Allah Taala didalam Al-Quran tentang dahsyatnya suasana apabila terjadi hari kiamat nanti. Al-Quran secara jelas dan tegas mewajibkan kita meyakini bahawa hari kiamat pasti dan tetap akan berlaku walaupun tidak diketahui bilakah masa dan ketikannya.

           Kedahsyatan yang digambarkan sangatlah menggerunkan sehingga menjadikan seseorang kelihatan terpingga-pingga dan kebingungan. Ada yang kelihatan seperti orang mabuk walaupun sebenarnya Mereka bukanlah mabuk. Ibu-ibu yang sedang menggendong pula akan terus keguguran kerana ketakutan. Begitu juga anak-anak yang sedang menyusu akan tercampak dari pelukan ibunya dan dilupakan begitu sahaja oleh ibunya. Banyak lagi peristiwa dahsyat yang lain yang digambarkan oleh Allah S.W.T untuk renungan kita diantaranya melalui Surah At-takwir ayat 1-3:
Maksudnya: " Apabila matahari dilingkari cahayanya ( dan hilang lenyap ), apabila bintang-bintang gugur berselerakan dan apabila gunung-ganang diterbangkan ke angkasa ( setelah dihancurkan menjadi debu ). "


          Digambarkan juga suasana yang hiruk-pikuk dan kucar-kacir yang menyelubungi manusia ketika berada "dibumi al-mahsyar " yang masing-masing sibuk dengan hal masing-masing. Ada yang berjalan seperti biasa dan ada yang berjalan dalam keadaan terbalik dengan kepala di bawah dan kaki ke atas, ada yang merangkak-rangkak dan bermacam-macam lagi dalam suasana panas cahaya matahari yang berada hanya sejengkal di atas kepala manusia pada masa itu. Ada sesetengah manusia ditenggelami dengan peluh yang banyak dan berbau busuk, bergantung kepada tahap amalan masing-masing.

              Dalam sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Ibni Ammar Radiallahuanhuma bahwa Rasul Allah S.A.W memberitahu yang manusia akan dibangkitkan kembali antuk bertemu dengan Allah pada hari kiamat sebagaimana keadaan mereka ketika dilahirkan dari perut ibunya telanjang bulat. Siti Aisyah Radiallahuanha bertanya: Lelaki dan perempuan berkumpul sama ya Rasul Allah?. Jawab Rasul Allah S.A.W: Ya!. Siti Aisyah berkata: Alangkah malunya, kemaluanku dapat dilihat setengah daripada setengah yang lain. Rasul Allah S.A.W menepuk bahu Aisyah dengan bersabda: Kesibukkan manusia pada saat itu tidak memungkinkan akan melihat itu, kebanyakkan pandangan mereka pada saat itu mengarah ke langit, berdiri selama empat puluh tahun tidak makan dan tidak minum, ada yang berpeluh sampai ke tumit, betis, perut dan ke mulut kerana lamanya berdiri. Kemudian berdiri para malaikat mengelilingi Arash lalu Allah menyuruh menyeru NAMA fulan bin fulan. Maka semua yang hadir melihat orang yang dipanggil untuk mengadap Allah S.W.T dan apabila ia sudah mengadap Allah, lalu dipanggil orang-orang yang pernah dianiaya dan dizaliminya untuk diberikan kebaikannya kepada orang tersebut kerana pada saat tersebut tidak ada pembayaran dengan emas atau perak. Semua orang yang pernah dianiaya dan dizalimi menagih kebaikan darinya sehingga habis kebaikannya, lalu diambil dosa-dosa orang yang dianiaya dan dizalimi tersebut untuk dipikulnya. Kemudian setelah selesai semuanya maka diperintahkan Allah kembalilah ketempatmu ke Neraka HAWIYAH kerana pada hari ini tidak ada penganiayaan. Sesungguhnya Allah amat segera perhitungannya dan pembalasannya. "



Ingat akan Allah...............
Allah akan sentiasa mengingati kita

komen anda dihargai