Kini kita berada di bulan syaaban semasa dipenghujung bulan Rejab, kita diingatkan dengan satu mukjizat teragong iaitu peristiwa Isra’ Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab setahun sebelum Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah. Dalam peristiwa ini, atas kekuasaan dan kehendak Allah SWT, Nabi Muhammad SAW diiringi malaikat Jibril diperjalankan pada waktu malam hari, berangkat dari masjidil Haram di Makkah menuju ke Masjidil Aqsa di Baitul Muqadis di Palestin dan kemudiannya diangkat mengadap Allah SWT di Sidratul Muntaha. Kalau mengikut perkiraan moden hari ini, peristiwa ini berlaku dalam tempoh satu malam iaitu kira-kira 12 jam.
Firman Allah SWT dalam surah al-Israa’ ayat 1:
Bermaksud: " Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui".
Tugas utama Nabi Muhammad SAW dan Rasul adalah untuk membina diri manusia supaya berakhlak mulia dan beramal soleh. Pembangunan diri manusia, pembangunan insan adalah menjadi tonggak segala pembangunan yang lain. Persoalan besar timbul ialah bagaimanakah manusia itu boleh membangunkan akhlak yang mulia?. Inilah yang perlu difahami dan dipelajari dalam peristiwa Isra’-Mikraj . Dalam peristiwa Isra’ Mikraj Nabi Muhammad SAW telah dibawa untuk melihat projek dan program Allah samada yang nyata atau ghaib yang terdapat di bumi dan di tujuh lapis langit serta di Sidratul Muntaha. Bagaimana pun projek terbesar dalam mukjizat ini ialah program Nabi Muhammad SAW mengadap Allah SWT di Sidratul Muntaha.
Sekali lagi timbul persoalan apakah hakikat Sidratul Muntaha ini?. Tidak banyak dalil yang menjelaskan tentang hakikat Sidratul Muntaha. Bagaimanapun menurut sebahagian ulama’, Sidratul Muntaha ini ialah satu planet lain iaitu berada di atas langit ketujuh yang berdekatan dengan syurga. Malaikat dan manusia pun tidak boleh memasuki ke Sidratul Muntaha kecuali Nabi Muhammad SAW.
Dalam peristiwa Isra’ Mikraj ini malaikat Jibril mengiringi Nabi Muhammad SAW hingga ke langit ketujuh sahaja dan baginda bersendirian naik ke Sidratul Muntaha mengadap Allah SWT. Tujuh lapis langit yang sering disebut dalam al-Quran bukanlah lapisan awan biru yang menutupi di atas bumi kita ini. Menurut ulama’ lapisan tujuh langit itu adalah merujuk kepada lapisan yang merangkumi cakerawala, bintang-bintang, planet-planet dan kumpulan-kumpulan gas yang berada di angkasa lepas.
Di Sidratul Muntaha ini Rasulullah dapat melihat wajah asli malaikat Jibril yang mempunyai 600 sayap dan melihat Allah SWT. Menurut ahli tafsir seperti Ibnu Kathir, menyatakan Nabi Muhammad melihat Allah secara mata hati dan menerima perintah melaksanakan program solat fardhu 5 waktu sehari semalam secara terus dari Allah SWT. Sebelum ini solat fardhu hanya 2 kali sehari semalam iaitu Subuh dan Maghrib atau Isya’. Inilah rahsia terbesar Allah SWT memanggil mengadap Rasulullah SAW di Sidratul Muntaha. Manakala perintah melakukan ibadah-ibadah wajib yang lain disampaikan Allah melalui malaikat Jibril.
Berdasarkan projek Allah di Sidratul Muntaha ini jelas bahawa solat fardhu lima waktu adalah program mega atau program raksaksa yang Allah fardhukan kepada umat Islam. Solat fardhu menjadi program mega kerana ia menjadi ibu segala amal ibadah, wajib dilaksanakan samada semasa sihat atau sakit, menjadi tonggak kekuatan agama, menggugurkan segala dosa dan menyelamatkan azab kubur. Selain itu kualiti solat ini juga akan menentukan kualiti pelaksanaan ibadah-ibadah yang lain.
Terdapat perkaitan yang kuat bahawa jika seseorang itu lemah melaksanakan solat, maka ibadah yang lain pun mempunyai tahap yang sama. Berdasarkan perkaitan inilah maka amalan solat adalah amalan yang dapat mencegah berlakunya kemungkaran kepada seseorang itu.
Firman Allah dalam surah al-Ankabut Ayat 45 :
Maksudnya :" Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan" .
Jika solat itu dibuat secara lalai maka ia boleh mendatangkan musibah dan memberi kesan buruk terhadap kelakuan seseorang. Firman Allah dalam surah al-Maa’un, ayat 5:
Maksudnya: " Maka kecelakaan besar bagi orang yang solat. (Iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan solatnya.”
Apa yang dimaksudkan lalai di sini ialah, mereka yang melakukan solat tidak menyedari bilangan rakaatnya, malas melakukan solat sehingga bertangguh-tangguh kerana mengutamakan pekerjaan lain, terburu-buru melakukan solat dan tidak merasai nikmat melakukan solat di awal waktu. Memandangkan solat ini adalah projek mega, maka pelaksanaan solat hendaklah dilaksanakan secara khusuk mengikut peraturan tertentu. Solat yang hakiki akan melindungi seseorang daripada melakukan perbuatan berdosa. Solat yang hakiki adalah solat yang dilakukan secara khusyuk.
Walaupun kita tidak dapat bertemu dengan Allah SWT seperti yang dialami oleh Nabi Muhammad SAW tetapi berdasarkan wawasan Sidratul Muntaha ini kita dapat bertemu dan berhadapan dengan Allah SWT di dalam solat dengan syarat, pertama: hati kita sepenuhnya mengingati Allah dengan menghindari dari penyakit syahwat atau bisikan duniawi kedua: hati kita sentiasa mengagungkan Allah SWT dan merasa Allah sentiasa melihat diri kita dan ketiga: hati kita sentiasa meresapi makna-makna ayat al-Quran yang di baca dalam solat.
Menurut Imam Ghazali, antara amalan untuk membentuk solat yang khusyuk ialah, memastikan sumber rezeki itu adalah halal, mendirikan solat seolah-olah akan menghadapi kematian besok, mendirikan solat pada awal waktu, memahami pengertian bacaan dalam solat, mengambil wudhu’ dengan sempurna dan pakaian bersih, serta memiliki sifat malu kepada Allah SWT jika perlaksanaan solat itu tidak sempurna.
Berdasarkan pemerhatian mimbar, akhlak yang kurang baik yang dideritai oleh segolongan umat Islam kini berpunca daripada solatnya tidak khusyuk menyebabkan mereka masih melakukan perbuatan keji. Mereka ini melakukan solat tetapi masih juga melakukan perbuatan berdosa
Serangan gejala sosial dalam pelbagai bentuk di negara ini menyebabkan kita kadangkala hilang pedoman untuk mengatasinya. Mimbar amat yakin pelaksanaan solat yang khusyuk berupaya menjadi benteng, mengukuhkan kekuatan akidah dan akhlak anak-anak kita dalam menghadapi serangan gejala sosial ini. Oleh itu sempena memperingati peristiwa Isra’ Mikraj sebagai mukjizat yang besar ini, maka mimbar menyeru para jemaah dan umat Islam sekalian, marilah kita melaksanakan ibadah solat dengan khusyuk dan sempurna agar ia mampu membangunkan anak-anak dan keluarga kita menjadi insan yang soleh selari dengan wawasan Sidratul Muntaha.
Sebagai renungan bagi menilai kualiti solat kita, marilah sama-sama kita menghayati firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa’, ayat 142:
Maksudnya : ” Sesungguhnya orang munafik itu melakukan tipu daya terhadap Allah, dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka. Mereka pula apabila berdiri hendak solat, mereka berdiri dengan malas. Mereka riak kepada manusia, dan mereka pula tidak mengingati Allah melainkan sedikit sekali.”.
3 comments:
terima kasih atas ilmu...
TANYA PADA HATI
lane brian fashion http://designersclothings.eu/G-Star-Long-Sleeve-Men-Top-with-Hood-Black jo jo fashion show 856179
pharmacy 1 drug and food rewards card http://nextdayshippingpharmacy.com/products/ponstel.htm compounding pharmacy fredericksburg 1032661
Post a Comment