BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Search This Blog

Selamat Datang

Selamat datang kepada semua rakan,sahabat,guru,bekas pelajar SMK Marudi dan pelajar SMK Marudi yang sedang menuntut di SMK Marudi ke laman blog saya ini.

Followers

Thursday, 25 November 2010

Kaya di Dunia Muflis Di Akhirat


Sebagai seorang Islam kita seharusnya bijak melayarkan bahtera kehidupan ke arah yang benar mengikut petunjuk yang telah digariskan oleh al-Quran dan Hadith. Untuk kita sampai ke destinasi akhirat maka hendaklah kita beramal dengan seberapa banyak amalan kebajikan dan sentiasa berada dalam keampunan Allah SWT semasa hidup di dunia.

Ini selaras dengan firman Allah SWT dalam surah al-Hadid ayat 21: Maksudnya: Berlumbalah kamu untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Rasul-Nya;.

Banyak ayat al-Quran mengambarkan kepada kita perihal mereka yang melakukan dosa akan menjadi cemas, takut dan merana bila dibentangkan buku catatan amalan mereka di Padang Masyar. Insaflah bahawa segala amalan kita di dunia ini akan di adili di akhirat nanti walaupun ianya sekecil zarah. Ketahuilah bahawa setiap amalan dan tingkah laku kita semuanya di catat oleh malaikat yang di tugaskan oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah al-Infitaar ayat 10 dan 11:
Maksudnya: Padahal sesungguhnya, ada malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan kamu, (Mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu).

Namun persoalannya pada hari ini ada dikalangan kita yang kaya di dunia tetapi tidak bersedia untuk menghindari muflis di akhirat. Mereka menikmati pelbagai kemewahan kurnian Allah SWT di dunia tetapi tidak bersyukur dan mengabaikan tanggungjawab terhadap Allah SWT dan mengkianati amanah sesama manusia. Dalam mengejar kemewahan mereka lupa solat, zakat, menunaikan haji dan sebagainya kerana sibuk dengan pelbagai urusan duniawi. Selain itu, mereka juga tidak prihatin kepada hak-hak sesama manusia, hak-hak golongan fakir, miskin dan anak-anak yatim.Malah ada dikalangan kita menzalimi sesama manusia. Ketahuilah bahawa gaya hidup sedemikian akan menjadikan mereka muflis di akhirat. Nabi SAW dalam hadithnya yang di riwayatkan oleh iman Muslim RA memberi amaran kepada kita tentang berlakunya gejala muflis dikalangan umatnya.

Sabda Rasulullah SAW: Bermaksud: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Para sahabat menjawab: Bagi kami orang yang muflis ialah orang yang tidak memiliki wang mahupun hartabenda”. Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: Sebenarnya orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah mereka yang pada hari Kiamat datang dengan membawa pahala amal solat, puasa, zakat dan haji tetapi semasa di dunia mereka pernah mencaci maki orang, menuduh tanpa bukti, memakan harta dengan zalim, membunuh dan memukul sesuka hati. Lalu pada hari kiamat, orang yang di zalimi akan menerima pahala amal si penzalim. Jika pahala amalnya telah habis (diberikan) sedangkan kesalahan dan dosanya semasa di dunia kepada orang yang tidak berdosa masih banyak, maka Alllah SWT akan memberi pula dosa orang yang dizalimi itu kepadanya sehingga semakin berat bebannya, lalu Allah SWT campakkan dia ke dalam neraka." (Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadith ini, dapat kita fahami bahawa golongan yang menjadi muflis di akhirat adalah berasal daripada mereka yang memiliki pahala, seperti pahala solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya. Bagaimanapun, semua pahala ibadah mereka itu habis kerana digunakan sebagai membayar ganti rugi kepada insan yang pernah disakiti, dikianati atau dizalimi. Di samping mereka dibebankan dengan dosa orang yang dizalimi.

Alangkah ruginya golongan muflis ini, kerana walaupun mempunyai pahala kerana mengerjakan ibadah dan bermacam kebaikan, akhirnya menjadi kosong kerana di ambil oleh orang lain sebagai ganti rugi dengan sebab kesalahan terhadap orang lain atau kezaliman yang telah dilakukan.

Dalam kehidupan sehari-hari kita perlu berhati-hati agar tidak melakukan dosa, terutama dosa sesama manusia. Namun kenyataannya pada hari ini segelintir daripada kita secara terangan melakuan pelbagai kesalahan kepada orang lain, iaitu; Pertama: Mencabuli kehormatan dan harga diri melalui fitnah, mengumpat dan mencaci. Kedua: Merosakkan harta benda dengan merompak, menyamun, mencuri, menipu dan sebagainya, Ketiga: Mencabuli keselamatan dan kebahagiaan dengan cara keganasan,penderaan mental dan fizikal, pukul, bunuh, perbuatan sihir, ilmu hitam dan sebagainya. Keempat: Merosak rumahtangga melalui perbuatan curang dengan suami atau isteri yang menyebabkan runtuhnya institusi keluarga.

Jika kita miskin di dunia masih ada lagi orang yang bersimpati dan dapat membantu kita. Tetapi bagaimana pula hal keadaan kita apabila muflis di akhirat ?. Siapakah yang akan bersimpati, siapakah yang akan menolong kita dan siapakah pula yang akan menyelamatkan kita dari azab seksaan neraka Allah SWT?

Perlu di fahami bahawa kehidupan di akhirat lebih perlu di utamakan kerana ia merupakan kehidupan yang kekal abadi. Kesejahteraan di akhirat tentulah memerlukan persiapan dan usaha yang lebih terancang dan konsisten. Kita perlu banyak mengorbankan masa, fikiran dan tenaga dalam mempersiapkan bekalan ke alam akhirat. Dengan persiapan dan bekalan yang mencukupi, kita akan dapat menghadapi pelbagai rintangan dalam perjalanan menuju ke alam akhirat, bermula di alam kubur seterusnya di padang Mahsyar dan di negeri akhirat.

Ini selaras dengan firman Allah dalam surah Az-Zumar ayat 73:Maksudnya: “Dan orang yang bertakwa kepada Tuhan mereka dibawa masuk ke Syurga dengan berpasuk-pasuk, sehingga apabila mereka sampai ke Syurga itu dibuka pintu-pintunya dan berkatalah penjaganya: Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, silalah masuk ke dalam Syurga ini dengan kekal.

Marilah sama-sama kita menghitung diri kita, adakah kita sudah berada dalam gaya hidup yang diredhai Allah ataupun gaya hidup yang di murkai oleh Allah. Andainya kita telah berada dalam keredhaan Allah, maka kita pertingkatkan dan gandakan lagi agar ianya lebih mendapat rahmat dan keredhaan Allah SWT. Andainya kita menderhakai kepada Allah maka bersegeralah kita bertaubat dan kembali ke jalan Allah, mudah mudahan kita diampuni Allah dan dilimpahi dengan kehidupan akhirat yang penuh dengan nikmat.Marilah sama-sama kita merenung firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 133: Maksudnya: “ Dan segeralah kamu kepada keampunan dari Tuhan kamu, dan Syurga yang luasnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertakwa.”

1 comments:

Anonymous said...

sangat menghargai post ini.terasa insaf dengan kealpaan sendiri.

terima kasih :)

komen anda dihargai