BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Search This Blog

Selamat Datang

Selamat datang kepada semua rakan,sahabat,guru,bekas pelajar SMK Marudi dan pelajar SMK Marudi yang sedang menuntut di SMK Marudi ke laman blog saya ini.

Followers

Monday, 13 December 2010

Badan Bersih Hati Tenang

Dalam Islam menjaga kebersihan diri dan mewujudkan suasana yang bersih serta selesa menjadi satu tuntutan kerana ia berkait rapat dengan menjaga kesihatan. Kebersihan adalah asas kepada kesihatan. Islam amat menyukai orang yang cintakan kebersihan serta sentiasa menjaga kebersihan diri kerana sihat adalah suatu nikmat Allah SWT yang amat besar nilainya yang perlu dijaga dan dipelihara.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 222:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang yang sentiasa mensucikan diri.

Oleh yang demikian untuk menjaga kebersihan diri dan membina persekitaran serta suasana yang bersih, maka menjadi keutamaan kepada kita untuk menjaga kebersihan tubuh badan dan persekitaran dititik-beratkan sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: 'Mandi itu adalah wajib ke atas setiap orang Islam yang mana pada setiap tujuh hari, satu hari daripadanya wajib membasuh kepala dan jasmaninya”.dan sabdanya lagi dengan maksud : 'Lima perkara yang menjadi fitrah manusia iaitu berkhatan, mencukur bulu ari-ari, menggunting misai, memotong kuku dan mencabut bulu ketiak. (Riwayat at- Tabarani)

Apa yang dapat difahami bahawa membersihkan badan seperti mandi, mencukur misai, memotong kuku serta mencukur bulu adalah amalan yang dituntut oleh Islam. Amalan-amalan seperti itu perlulah dilakukan oleh setiap daripada kita kerana ia merupakan usaha untuk mengelakkan diri daripada mendapat pelbagai penyakit di samping menjadi lambang kecantikan, kekemasan, kebersihan dan nilai personaliti orang Islam. Menjaga kebersihan ini dapat diperolehi dengan melakukan ibadat-ibadat khususnya seperti berwuduk,bersolat,berpuasa dan sebagainya.

Ibadah wuduk memiliki kedudukan yang tersendiri di sisi Allah SWT. Ianya merupakan kunci permulaan bagi satu ibadah yang paling mulia di dalam Islam iaitu solat. Sewajarnya sebelum kita mendirikan solat, hendaklah badan kita dibersihkan dan jiwa dikosongkan dari memikirkan apa jua perkara berkaitan dengan kehidupan seharian yang telah dan bakal dilalui. Dengan mengambil wuduk secara sempurna dapat menenangkan jiwa seseorang dan dapat membantu untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap ibadah solat. Air yang dipergunakan untuk berwuduk bukan sekadar akan menyegarkan tubuh badan tetapi ianya juga dapat mengembalikan tenaga sehingga membolehkan melakukan ibadah solat dengan sempurna mungkin. Dengan berwuduk dapat membersihkan anggota-anggota badan yang sentiasa terdedah kerana tidak ditutupi pakaian dan juga boleh menghilangkan jangkitan kuman, habuk-habuk daripada terus melekat dibadan atau didalam rongga-rongga.

Solat yang pada hakikatnya merupakan satu ibadah di mana seseorang sedang bermunajat kepada Allah SWT secara langsung. Oleh itu adalah lebih wajar bagi kita untuk membersihkan anggota badan melalui wuduk sebelum bertemu dengan Allah SWT ketika bersolat. Ibadah wuduk ini mempunyai peranan yang berkesan bukan sahaja dari segi rohani malah juga dari segi fizikal. Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah rahimahullah menyatakan bahawa: Sunnah Rasulullah datang dengan membawa ajaran untuk menghindari kekotoran yang ada pada tubuh badan manusia, sebagaimana dia juga datang dengan membawa ajaran bagi menghindari kekotoran rohani.

Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Ketika salah seorang daripada kamu bangun dari tidur maka hendaklah menghirup air ke hidung dan mengeluarkannya kembali sebanyak tiga kali. Sesungguhnya syaitan bermalam di batang hidungnya.(Riwayat al-Bukhari)

Bagi mereka yang sentiasa berwuduk dan mengambil wuduk dengan sempurna akan mendapat banyak kelebihan dari Allah SWT. Antaranya angota-angota wuduk tersebut akan bercahaya di akhirat dan Rasulullah SAW akan dapat mengenali umatnya melalui cahaya tersebut. Diriwayatkan bahawa para sahabat pernah bertanya kepada Rasulullah SAW bagaimana baginda dapat mengenali umatnya yang belum pernah ditemui setelah wafatnya baginda. Lalu baginda bersabda dengan maksudnya: Tahukah kamu seandainya seseorang mempunyai kuda belang putih di kening dan kakinya yang berada di antara kuda-kuda yang hitam kelam, bukankah dia dapat mengenali kudanya? Para sahabat menjawab: Tentu wahai Rasulullah, Baginda bersabda: Sesungguhnya mereka umatku akan datang kepadaku dalam keadaan putih bercahaya di kening dan kaki kerana cahaya wuduk dan aku menanti mereka di sebuah telaga”.

Ibadah wuduk dapat meningkatkan darjat seseorang di sisi Allah SWT dan akan diberi ganjaran syurga di akhirat. Mereka yang berwuduk dengan sempurna akan dihapuskan segala dosa-dosa yang lalu selagi mana ia tidak termasuk di dalam kategori dosa-dosa besar. Dalam satu riwayat bahawa Rasulullah SAW bersabda dengan maksudnya: “Bila seorang itu berwuduk lalu berkumur-kumur maka keluarlah dosa-dosa dari mulutnya, jika dia membersihkan hidung, dosa-dosa akan keluar pula dari hidungnya, begitu juga tatkala dia membasuh muka, dosa-dosa akan keluar dari muka sampai dari bawah kelopak matanya. Jika dia membasuh kedua tangan, dosa-dosanya akan turut keluar sampai dari bawah kukunya, demikian pula halnya bila dia menyapu kepala, dosa-dosanya akan keluar dari kepala bahkan dari kedua telinganya. Begitupun tatkala dia membasuh kedua kaki, keluarlah pula dosa-dosa tersebut dari dalamnya, sampai bawah kuku-kuku jari kakinya. Kemudian tinggallah perjalanannya ke masjid dan solatnya menjadi pahala yang bersih baginya”.

Sabda Rasulullah SAW:
Bermaksud: “Barangsiapa yang berwuduk, kemudian dia menyempurnakan wuduknya, maka keluarlah dosa-dosa dari jasadnya hingga keluar dari kuku-kukunya.” (Riwayat Muslim)

Persoalan besar timbul pada hari ini ialah bagaimana kita untuk mencapai wuduk yang sempurna, kerana wuduk ini ada kaitannya dengan sumber utama iaitu air. Air merupakan asal kejadian atau penciptaan semua unsur yang hidup di alam ini. Semua benda jika dikaji dari sudut asalnya adalah terjadi daripada unsur air. Air yang bersih ialah air yang sentiasa mengalir. Jika air itu kaku disuatu tempat maka ia akan menjadi busuk dan kotor.

Perubahan iklim dan kerakusan manusia untuk mencapai pembangunan maka kebanyakan kawasan tadahan air pada masa ini seperti gunung-ganang, hutan rimba, sungai-sungai, telaga telah dicemari, dan ini akan memberi kesan kepada penyempurnaan terhadap wuduk kita. Mimbar mengingatkan kerosakan alam sekitar dan pencemaran alam sekitar akan mengancam kebersihan serta bekalan air kepada kita. Insaflah bahawa sebahagian dari khazanah alam dan warisan untuk kegunaan kita dan generasi akan datang janganlah dicemarinya kerana pada masa depan kita akan kehilangan nikmat Allah SWT ini.

Berdasarkan tuntutan Islam, bahawa amalan menjaga kebersihan bermula dari diri sendiri, halaman rumah dan alam sekitar. Sempena sambutan minggu Alam Sekitar Malaysia peringkat Kebangsaan 2010, mimbar menyeru marilah sama-sama kita menjaga alam sekitar terutamanya sumber air sebagai asas kepada wuduk. Amalan menjaga keindahan dan kebersihan alam sekitar adalah satu amalan yang baik dan mulia. Sekiranya umat Islam tidak menjaga dan mengambil berat terhadap perkara tersebut, mereka akan hidup di dalam suasana yang tidak selesa, gundah gulana,tidak tenteram dan terdedah kepada pelbagai penyakit.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :” Bersihkan halaman-halaman kamu, kerana sesungguhnya orang Yahudi tidak membersihkan halaman-halaman rumahnya”.

Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 6: Maksudnya : " Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung kepayahan, tetapi Ia berkehendak membersihkan kamu dan hendak menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu, supaya kamu bersyukur. "

0 comments:

komen anda dihargai