BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Search This Blog

Selamat Datang

Selamat datang kepada semua rakan,sahabat,guru,bekas pelajar SMK Marudi dan pelajar SMK Marudi yang sedang menuntut di SMK Marudi ke laman blog saya ini.

Followers

Thursday 23 December 2010

Berita Harian Online | Hayati akhlak mulia bebas masalah sosial

Berita Harian Online Hayati akhlak mulia bebas masalah sosial

Friday 17 December 2010

Kesan Amalan Kurafat.

Islam adalah agama tauhid iaitu agama yang berasakan iman kepada keesaan Allah yang Maha Kuasa, maka ukuran sempurna atau tidaknya Islam seseorang adalah bergantung kepada kesempurnaan tauhidnya. Namun demikian, masih terdapat di kalangan sesetengah umat Islam yang belum benar-benar sempurna tauhid mereka. Ini adalah kerana mereka mencampur adukkan fahaman khurafat dalam akidah mereka yang bertentangan dengan dasar tauhid. Perlu difahami bahawa syirik ialah mempersekutukan sesuatu dengan Allah SWT pada sifat Uluhiyyiah atau sifat Rububyyiah Allah. Sifat Uluhiyyiah Allah ialah sifat yang berhak disembah, dipatuhi perintah-Nya, dicintai, diberi tumpuan dan dipohonkan untuk mendapat segala kebaikan dan menolak segala keburukan.

Manakala Sifat Rububiyah Allah pula ialah sifat Allah dalam mentadbir, mengurus, mendidik dan mengasuh makhluk-makhluk ciptaan-Nya. Oleh kerana itu, amatlah sesat dan syirik jika kita mendewa-dewakan sebarang makhluk dengan mengasihi, mencintai dan mentaati perintah-Nya sebagaimana layaknya mencintai dan mentaati Allah atau meminta dan mengharapkan sesuatu hajat dari sebarang makhluk.

Firman Allah SWT di dalam surah An-Nisa’ ayat 48:
Maksudnya: “ Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik dan akan mengampunkan dosa lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguh-Nya ia telah melakukan dosa yang besar. “

Berdasarkan kajian oleh pihak-pihak tertentu, dilaporkan bahawa kepercayaan dan amalan-amalan khurafat masih subur dalam masyarakat kita. Antara amalan dan kepercayaan tersebut ialah pertama, mempercayai bomoh dan dukun dapat memenuhi sesuatu hajat.

Sesetengah masyarakat kita di dapati ada yang menjadikan bomoh dan dukun sebagai tempat memohon dalam memenuhi sesuatu hajat. Hajat-hajat tersebut antaranya ialah seperti ingin mendapat pangkat, kedudukan dan pengaruh atau untuk mendapatkan calon isteri atau suami dan tidak kurang juga untuk menghilangkan penyakit.

Demi cita-cita tersebut sesetengahnya telah meletakkan kepercayaan dan harapan kepada dukun dan bomoh. Keyakinan yang sebegini sebenarnya tergolong dalam pengertian menyekutukan Allah dari sudut sifat rububiyah dan sifat uluhiyah Allah SWT kerana memohon keperluan kepada makhluk. Lebih malang lagi ada segelintir bomoh yang mengambil kesempatan merogol, mencabul kehormatan dan melakukan jenayah kekerasan.

Dalam hal ini Nabi SAW telah mengingatkan kita dengan sabdanya yang diriwayatkan oleh Abdullah:
Mafhumnya: “ Barangsiapa yang menemui tukang tilik atau ahli sihir atau bomoh dan bertanya sesuatu kepada mereka lalu dia mempercayainya akan apa yang dikatakan oleh mereka itu, maka sesungguhnya dia telah menggerunkan apa yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW “. (Musnad Abi Ya’la)

Amalan kedua ialah memakai tangkal azimat dengan keyakinan tertentu seperti menjadi kebal, pelaris perniagaan, penolak bahaya, penyembuh penyakit, penggerun, penunduk musuh dan sebagainya. Keyakinan kepada azimat yang sedemikian boleh membawa kepada syirik terhadap Allah. Rasulullah SAW melarang keras amalan memakai tangkal azimat.

Di dalam sebuah hadith baginda menyebut: Mafhumnya: “ Sesungguhnya jampi mantera, tangkal azimat dan ilmu pengasih adalah syirik “. (Sunan Abu Daud)

Kepercayaan khurafat yang lain ialah mempercayai hari-hari tertentu contohnya hari Rabu boleh mendatangkan keburukan kepada sesuatu pekerjaan seperti majlis kahwin, majlis pelancaran atau perasmian sesuatu program. Disebabkan yakin kepada kesialan hari-hari tersebut, maka terdapat di kalangan sesetengah masyarakat kita terpaksa menangguh atau melewatkan sesuatu pekerjaan. Sesungguhnya semua hari adalah baik dan boleh dilaksanakan apa juga pekerjaan. Adapun kegagalan, kemalangan dan keburukan yang berlaku adalah berpunca daripada kecuaian dan kelalaian kita sendiri.

Mutakhir ini kita dapati segelintir masyarakat mula mempercayai bintang dan angka-angka tertentu yang didakwa boleh membawa tuah dan keberkatan. Justeru, ada yang sanggup membelanjakan puluhan ribu ringgit membeli nombor-nombor tertentu seperti nombor pendaftaran kenderaan yang diyakini boleh membawa tuah. Demikian juga kepercayaan kepada bintang-bintang yang dihubungkan dengan tarikh kelahiran seseorang sehingga dijadikan ukuran untuk memilih pasangan hidup. Kesemua ini adalah kepercayaan karut marut yang jelas bertentangan dengan akidah tauhid uluhiyah dan rububiyah iaitu ketetapan buruk dan baik kehidupan dunia adalah hak mutlak Allah yang tidak ada kaitan langsung dengan pengaruh sebarang makhluk.

Firman Allah SWT dalam surah Yunus ayat 106:
Maksudnya: “ Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah atau memuja yang lain dari Allah yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudharat kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu menjadilah engkau dari orang-orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu).“

Mempercayai perkara-perkara khurafat akan mendatangkan kesan yang buruk kepada kehidupan di dunia dan di akhirat antaranya:
1. boleh merosakkan akidah dan membatalkan amal ibadah.

2. berlaku pembaziran masa kerana menunggu hari yang membawa berkat atau tuah.

3. berlaku pembaziran wang ringgit kerana membayar pengeras atau upah dukun dan bomoh.

4. berlaku permusuhan atau pembunuhan kerana terlalu mempercayai ramalan yang tidak benar.

5. wujud kegelisahan dan ketidaktenteraman jiwa kerana bergantung kepada kuasa selain dari Allah; dan

6. menjadi mangsa jenayah seks golongan yang tidak bertanggungjawab.

Marilah kita memurnikan akidah kita dengan membudayakan hidup sebagai muslim yang berilmu. Berilmu dalam akidah, berilmu dalam syariat dan berilmu dalam tasauf. Semoga dengan ilmu kita terselamat daripada segala tipu-daya dan pengaruh khurafat dan ajaran sesat.



Monday 13 December 2010

Badan Bersih Hati Tenang

Dalam Islam menjaga kebersihan diri dan mewujudkan suasana yang bersih serta selesa menjadi satu tuntutan kerana ia berkait rapat dengan menjaga kesihatan. Kebersihan adalah asas kepada kesihatan. Islam amat menyukai orang yang cintakan kebersihan serta sentiasa menjaga kebersihan diri kerana sihat adalah suatu nikmat Allah SWT yang amat besar nilainya yang perlu dijaga dan dipelihara.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 222:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang yang sentiasa mensucikan diri.

Oleh yang demikian untuk menjaga kebersihan diri dan membina persekitaran serta suasana yang bersih, maka menjadi keutamaan kepada kita untuk menjaga kebersihan tubuh badan dan persekitaran dititik-beratkan sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: 'Mandi itu adalah wajib ke atas setiap orang Islam yang mana pada setiap tujuh hari, satu hari daripadanya wajib membasuh kepala dan jasmaninya”.dan sabdanya lagi dengan maksud : 'Lima perkara yang menjadi fitrah manusia iaitu berkhatan, mencukur bulu ari-ari, menggunting misai, memotong kuku dan mencabut bulu ketiak. (Riwayat at- Tabarani)

Apa yang dapat difahami bahawa membersihkan badan seperti mandi, mencukur misai, memotong kuku serta mencukur bulu adalah amalan yang dituntut oleh Islam. Amalan-amalan seperti itu perlulah dilakukan oleh setiap daripada kita kerana ia merupakan usaha untuk mengelakkan diri daripada mendapat pelbagai penyakit di samping menjadi lambang kecantikan, kekemasan, kebersihan dan nilai personaliti orang Islam. Menjaga kebersihan ini dapat diperolehi dengan melakukan ibadat-ibadat khususnya seperti berwuduk,bersolat,berpuasa dan sebagainya.

Ibadah wuduk memiliki kedudukan yang tersendiri di sisi Allah SWT. Ianya merupakan kunci permulaan bagi satu ibadah yang paling mulia di dalam Islam iaitu solat. Sewajarnya sebelum kita mendirikan solat, hendaklah badan kita dibersihkan dan jiwa dikosongkan dari memikirkan apa jua perkara berkaitan dengan kehidupan seharian yang telah dan bakal dilalui. Dengan mengambil wuduk secara sempurna dapat menenangkan jiwa seseorang dan dapat membantu untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap ibadah solat. Air yang dipergunakan untuk berwuduk bukan sekadar akan menyegarkan tubuh badan tetapi ianya juga dapat mengembalikan tenaga sehingga membolehkan melakukan ibadah solat dengan sempurna mungkin. Dengan berwuduk dapat membersihkan anggota-anggota badan yang sentiasa terdedah kerana tidak ditutupi pakaian dan juga boleh menghilangkan jangkitan kuman, habuk-habuk daripada terus melekat dibadan atau didalam rongga-rongga.

Solat yang pada hakikatnya merupakan satu ibadah di mana seseorang sedang bermunajat kepada Allah SWT secara langsung. Oleh itu adalah lebih wajar bagi kita untuk membersihkan anggota badan melalui wuduk sebelum bertemu dengan Allah SWT ketika bersolat. Ibadah wuduk ini mempunyai peranan yang berkesan bukan sahaja dari segi rohani malah juga dari segi fizikal. Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah rahimahullah menyatakan bahawa: Sunnah Rasulullah datang dengan membawa ajaran untuk menghindari kekotoran yang ada pada tubuh badan manusia, sebagaimana dia juga datang dengan membawa ajaran bagi menghindari kekotoran rohani.

Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Ketika salah seorang daripada kamu bangun dari tidur maka hendaklah menghirup air ke hidung dan mengeluarkannya kembali sebanyak tiga kali. Sesungguhnya syaitan bermalam di batang hidungnya.(Riwayat al-Bukhari)

Bagi mereka yang sentiasa berwuduk dan mengambil wuduk dengan sempurna akan mendapat banyak kelebihan dari Allah SWT. Antaranya angota-angota wuduk tersebut akan bercahaya di akhirat dan Rasulullah SAW akan dapat mengenali umatnya melalui cahaya tersebut. Diriwayatkan bahawa para sahabat pernah bertanya kepada Rasulullah SAW bagaimana baginda dapat mengenali umatnya yang belum pernah ditemui setelah wafatnya baginda. Lalu baginda bersabda dengan maksudnya: Tahukah kamu seandainya seseorang mempunyai kuda belang putih di kening dan kakinya yang berada di antara kuda-kuda yang hitam kelam, bukankah dia dapat mengenali kudanya? Para sahabat menjawab: Tentu wahai Rasulullah, Baginda bersabda: Sesungguhnya mereka umatku akan datang kepadaku dalam keadaan putih bercahaya di kening dan kaki kerana cahaya wuduk dan aku menanti mereka di sebuah telaga”.

Ibadah wuduk dapat meningkatkan darjat seseorang di sisi Allah SWT dan akan diberi ganjaran syurga di akhirat. Mereka yang berwuduk dengan sempurna akan dihapuskan segala dosa-dosa yang lalu selagi mana ia tidak termasuk di dalam kategori dosa-dosa besar. Dalam satu riwayat bahawa Rasulullah SAW bersabda dengan maksudnya: “Bila seorang itu berwuduk lalu berkumur-kumur maka keluarlah dosa-dosa dari mulutnya, jika dia membersihkan hidung, dosa-dosa akan keluar pula dari hidungnya, begitu juga tatkala dia membasuh muka, dosa-dosa akan keluar dari muka sampai dari bawah kelopak matanya. Jika dia membasuh kedua tangan, dosa-dosanya akan turut keluar sampai dari bawah kukunya, demikian pula halnya bila dia menyapu kepala, dosa-dosanya akan keluar dari kepala bahkan dari kedua telinganya. Begitupun tatkala dia membasuh kedua kaki, keluarlah pula dosa-dosa tersebut dari dalamnya, sampai bawah kuku-kuku jari kakinya. Kemudian tinggallah perjalanannya ke masjid dan solatnya menjadi pahala yang bersih baginya”.

Sabda Rasulullah SAW:
Bermaksud: “Barangsiapa yang berwuduk, kemudian dia menyempurnakan wuduknya, maka keluarlah dosa-dosa dari jasadnya hingga keluar dari kuku-kukunya.” (Riwayat Muslim)

Persoalan besar timbul pada hari ini ialah bagaimana kita untuk mencapai wuduk yang sempurna, kerana wuduk ini ada kaitannya dengan sumber utama iaitu air. Air merupakan asal kejadian atau penciptaan semua unsur yang hidup di alam ini. Semua benda jika dikaji dari sudut asalnya adalah terjadi daripada unsur air. Air yang bersih ialah air yang sentiasa mengalir. Jika air itu kaku disuatu tempat maka ia akan menjadi busuk dan kotor.

Perubahan iklim dan kerakusan manusia untuk mencapai pembangunan maka kebanyakan kawasan tadahan air pada masa ini seperti gunung-ganang, hutan rimba, sungai-sungai, telaga telah dicemari, dan ini akan memberi kesan kepada penyempurnaan terhadap wuduk kita. Mimbar mengingatkan kerosakan alam sekitar dan pencemaran alam sekitar akan mengancam kebersihan serta bekalan air kepada kita. Insaflah bahawa sebahagian dari khazanah alam dan warisan untuk kegunaan kita dan generasi akan datang janganlah dicemarinya kerana pada masa depan kita akan kehilangan nikmat Allah SWT ini.

Berdasarkan tuntutan Islam, bahawa amalan menjaga kebersihan bermula dari diri sendiri, halaman rumah dan alam sekitar. Sempena sambutan minggu Alam Sekitar Malaysia peringkat Kebangsaan 2010, mimbar menyeru marilah sama-sama kita menjaga alam sekitar terutamanya sumber air sebagai asas kepada wuduk. Amalan menjaga keindahan dan kebersihan alam sekitar adalah satu amalan yang baik dan mulia. Sekiranya umat Islam tidak menjaga dan mengambil berat terhadap perkara tersebut, mereka akan hidup di dalam suasana yang tidak selesa, gundah gulana,tidak tenteram dan terdedah kepada pelbagai penyakit.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :” Bersihkan halaman-halaman kamu, kerana sesungguhnya orang Yahudi tidak membersihkan halaman-halaman rumahnya”.

Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 6: Maksudnya : " Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung kepayahan, tetapi Ia berkehendak membersihkan kamu dan hendak menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu, supaya kamu bersyukur. "

Thursday 9 December 2010

Hijrah Memperkasa Ummah

Sedar ataupun tidak, kita sekarang ini berada 4hb Muharram bagi tahun baru 1432H. Pelbagai usaha dan cara dilakukan oleh umat Islam dalam menyambut kedatangan tahun baru hijrah. Ma'al Hijrah telah mengingatkan kita kepada peristiwa hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat RA. Program hijrah adalah satu langkah Rasulullah SAW yang amat strategik dalam menegakkan dakwah Islamiah. Perlu kita ingat bahawa dengan berjayanya hijrah menjadi jambatan tertegaknya Daulah Islamiah kerana hijrah tersebut dipandu dan didukung oleh keimanan dan ketakwaan yang padu. Kejayaan hijrah ini juga telah mengubah lanskap akidah, ibadah, akhlak dan gaya hidup ummah ketika itu.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa' ayat 100:
Maksudnya: "Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah, nescaya ia akan dapati dibumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur: dan sesiapa yang keluar dari rumahnya untuk berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani."

Kejayaan Nabi SAW tiba di Madinah al-Munawwarah diteruskan pula dengan agenda membangun negara yang berteraskan petunjuk al-Quran al- Karim. Dalam masa 10 tahun sahaja, Madinah telah berjaya mengalahkan kuasa besar seperti Rom timur dan Parsi. Pengajaran yang penting kepada kita daripada peristiwa hijratur Rasul ini ialah perlunya kita mengikuti jejak langkah Rasulullah SAW yang menjadikan tuntutan iman dan takwa sebagai faktor pendorong kepada tugas berhijrah.

Justeru itu, kita perlu berusaha menyuburkan iman dan takwa agar ia menjadi panduan kepada kehidupan. Adalah satu hakikat bahawa pemantapan iman amat berkait rapat dengan ilmu dan pendidikan. Maka, Islam memberi penekanan terhadap penguasaan ilmu dan pendidikan melalui penjelasan yang terkandung dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Firman Allah SWT dalam surah al-Mujadalah ayat 11:
Maksudnya: "Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan juga orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui tentang apa yang kamu lakukan."

Pendidikan adalah matlamat utama melahirkan individu muslim yang berilmu dan membina masa depan sebagai ummah contoh. Peredaran zaman telah memberi kesan kepada perubahan gaya hidup manusia itu sendiri termasuklah cara bertindak dan berfikir. Bagi menjana ummah berkualiti, pendidikan yang bersepadu dan menyeluruh yang melibatkan fardhu 'ain, fardhu kifayah dan teknologi maklumat perlu dititikberatkan.

Umat Islam dituntut memperkukuh ilmu fardhu ‘ain dengan mendalami pengetahuan agama seperti dalam bidang tafsir al-Quran, hadith, fiqh, akidah dan sebagainya sebagai benteng kepada keutuhan dan kekuatan iman serta pegangan kepada agama Islam itu sendiri. Bagi memantapkan ilmu fardu ‘ain ini, umat Islam diseru agar mengikuti kuliah-kuliah agama di masjid dan surau melalui pengajian kelas fardu ‘ain dan takmir yang telah disediakan.

Namun, persoalan besar timbul ialah sejauh manakah penguasaan umat Islam dalam bidang ilmu pengetahuan di negara ini?. Berdasarkan pemerhatian dalam bidang-bidang tertentu seperti ilmu matematik, sains fizik, kimia, biologi, kejuruteraan, perubatan dan bidang-bidang sains yang lain, di dapati bahawa umat Islam ketinggalan jauh berbanding pencapaian kaum-kaum lain. Ini merupakan cabaran hebat kepada umat Islam di negara ini dalam usaha membina masa depan yang cemerlang.

Memperkasa umat Islam sebagai umat yang unggul menutut kebijaksanaan yang amat tinggi. Dalam bidang ilmu dan pendidikan mestilah ada perubahan iaitu tajdid. Pembaruan ilmu dan pendidikan yang bersifat semasa mampu melepaskan seseorang itu dari belenggu kebekuan yang bersifat tradisi. Dengan cara ini akan melahirkan ilmuan yang selari dan senafas dengan zaman serta cabaran lingkungan terkini.

Memperkasa umat Islam haruslah bermula dengan contoh dan tauladan yang tinggi supaya ianya menjadi sumber ikutan yang baik di kalangan umat-umat yang lain. Umat Islam mestilah diberikan suasana kebebasan dalam membuat pandangan-pandangan yang membina supaya setiap pihak merasa selesa bahawa kritikan yang membina adalah untuk kebaikan kepada semua.

Kita semua sedia maklum bahawa pendidikan yang berkesan tidak akan terlaksana jika ia tidak dijayakan secara bersungguh-sungguh serta mendapat kejasama dan sokongan dari semua pihak terutama institusi keluarga. Ibu bapa sebagai ketua keluarga seharusnya peka dan prihatin terhadap tanggungjawab yang perlu dilaksanakannya bersama. Ibu- bapa perlu menyediakan prasarana yang baik di rumah bagi memastikan anak-anak dapat belajar dan mengulangkaji pelajaran mereka dengan selesa dan sempurna.

Proses pendidikan rasmi dibangku sekolah merupakan medan terbaik untuk membentuk generasi pelajar yang berilmu dan berakhlak mulia seterusnya membawa mereka kemercu kecemerlangan dan kegemilangan. Akan tetapi usaha ini tidak akan mencapai matlamat yang diharapkan, sekiranya ibu- bapa menyerahkan tugas mendidik anak-anak ini kepada pihak sekolah secara mutlak. Sewajarnya tugas mendidik diteruskan oleh ibu- bapa ketika anak-anak bersama mereka. Sebagai contoh, anak-anak telah diajar tentang cara bersolat dibangku sekolah tetapi perlaksanaannya perlu dipantau dan diteruskan di rumah. Andaikata berlaku pengabaian dalam aspek ini maka akan pincanglah proses pendidikan itu. Soalnya apakah kita sudah pun melaksanakan tanggungjawab ini dengan sempurna?.

Bersempena dengan tahun baru hijrah ini, marilah kita sama-sama bertindak secara proaktif bagi memastikan masa depan generasi umat Islam lebih cemerlang dengan mengambil usaha-usaha seperti berikut: Pertama: Memperkasa sektor pendidikan yang menjadi teras membina masa depan keluarga, generasi dan negara; Kedua: Ibubapa perlu berusaha dan berkorban menyediakan peruntukkan yang sewajarnya untuk pendidikan; Ketiga: Ibubapa perlu membuat kajian dan analisis dari masa ke masa tentang kekuatan, kelemahan, cabaran dan ancaman yang dihadapi dalam membina pendidikan cemerlang; dan Keempat: Merancang dan menyediakan pelan tindakan supaya matlamat pendidikan anak-anak memenuhi keperluan dunia dan akhirat.

Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam Surah Az-Zumar ayat 9: Maksudnya: "Katakanlah: adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui. Sesungguhnya orang yang dapat mengambil peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna."

komen anda dihargai