BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Search This Blog

Selamat Datang

Selamat datang kepada semua rakan,sahabat,guru,bekas pelajar SMK Marudi dan pelajar SMK Marudi yang sedang menuntut di SMK Marudi ke laman blog saya ini.

Followers

Monday, 26 December 2011

MEMBINA MASYARAKAT PRIHATIN..


Mutakhir ini hampir setiap hari dilaporkan oleh media massa akan pelbagai fenomena gejala sosial yang sedang melanda masyarakat negara kita. Perlakuan buruk ini bukan hanya melibatkan golongan remaja tetapi juga di kalangan dewasa. Di antara beberapa fenomena gejala sosial yang amat membimbangkan kita ialah seperti kes pembuangan bayi , penderaan kanak-kanak , kes bersekedudukan sehingga melahirkan zuriat tanpa nikah, kes dadah, arak, rogol, mencuri, pecah rumah dan sebagainya. Pada pemerhatian mimbar kebanyakan kes tersebut melibatkan masyarakat melayu yang beragama Islam yang berlaku di sekeliling kita. Persoalan besar timbul ialah kenapa ianya berlaku?. Adakah ia mengambarkan bahawa agama Islam itu sendiri gagal mendidik umatnya? atau sikap masyarakat Islam yang tidak prihatin dan mempedulikan apa yang berlaku di sekelilingnya sehingga ada mayat di sebelah rumah, anak kecil di dera atau jiran di rompak pun kita tidak mempedulikannya. Adakah ini ajaran Islam yang sebenar kepada umatnya?. Mimbar merasa yakin bahawa sikap yang sebegini bersalahan dari tatacara hidup Islam yang sebenar kerana umat Islam itu bersaudara, saling bantu-membantu, faham-memahami antara satu sama lain sebagaimana hadith Rasulullah SAW:
Maksudnya: “ Seorang mukmin terhadap seorang mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan di mana sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain.” (hadis Riwayat Muslim )

Manusia yang dijadikan Allah SWT seolah-olah satu badan, jika sakit satu bahagian anggota maka anggota lain turut merasakan. Tidak beriman seseorang mukmin sekiranya mereka tidak mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri. Alangkah ruginya sekiranya kita hanya berdoa ke hadrat Allah SWT untuk kebaikan diri kita sahaja sedangkan jiran dan masyarakat yang lain di biar dalam kemungkaran.

 Hadith Rasulullah SAW: Maksudnya: “Tidak beriman seseorang itu sehinggalah ia mengasihi saudaranya seperti mana ia mengasihi dirinya” (Hadith Riwayat Muslim)

Ingatkah kita bagaimana suasana masyarakat yang dipupuk oleh nenek moyang kita suatu ketika dahulu. Jika kita kenang dan renung kembali amalan oleh generasi terdahulu maka kita akan sedar betapa murni dan bijaknya mereka menjaga kita. Sesuatu kesalahan dilakukan bilamana dilihat oleh seseorang maka mereka segera menegur atau memarahi tanpa mengira siapa dan anak siapa. Lebih dari itu ibu bapa juga akan dimaklumkan dan anak yang nakal itu akan mendapat habuan seperti dimarahi atau dipukul oleh ibu bapa. Keadaan ini akan menyebabkan anak-anak tidak berani melakukan kesalahan walaupun di belakang ibu bapa mereka kerana mereka sedar bahawa semua orang akan mengambil berat terhadap mereka dan tidak timbul langsung perasaan takut untuk menegur. Berbeza sama sekali dengan pemikiran sesetengah ibu bapa pada zaman moden ini di mana konsep tegur menegur seolah-olah tidak lagi relevan dalam kehidupan mereka.

Masyarakat yang prihatin, saling tegur -menegur mampu menjamin keselamatan dan keharmonian terutama daripada ancaman gejala sosial dengan cara muafakat, samaada melalui rukun tentangga, unit kawalan kampung atau melalui kempen-kempen kesedaran. Dalam masa yang sama dapat memainkan peranan melaporkan kepada pihak berwajib setiap kali menyedari berlakunya perkara-pekara yang ganjil dan meragukan dalam masyarakat. Kerana itu, membina ikatan yang kuat dan kerjasama sesama kita adalah syarat utama bagi menjamin keselamatan dan keharmonian masyarakat. Sedarlah bahawa kita tidak lagi hidup di dalam gua seperti di zaman purba, Kita hidup bermasyarakat, berkomoniti, berhubung antara satu sama lain , saling bergantungan ibarat pepatah “berat sama dipikul ringan sama di jinjing”.

Masyarakat yang sentiasa mengambil berat antara satu sama lain menjadi elemen penting dalam usaha membangun negara. Marilah kita bertanya kepada diri kita semua, apakah erti pembangunan yang kita bangunkan pada hari ini, jika pada masa yang sama akhlak manusiawi runtuh roboh. Mimbar percaya jika masyarakat bersikap prihatin, isu -isu gejala sosial tidak akan berlaku kerana setiap masa dan tempat diperhatikan. Ingatlah bahawa gejala sosial merupakan isu yang melanda kehidupan manusia sepanjang zaman. Porak-peranda kehidupan masyarakat adalah berpunca daripada wujudnya golongan rosak akhlak yang membelakangkan agama dengan mengutamakan hawa nafsu. Namun permasalah ini tidak dapat di atasi selagi masyarakat mengamalkan sikap keakuan dengan mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan apa yang berlaku di sekelilingnya

Usaha kita membina semangat hidup bermasyarakat tidak akan terlaksana sekiranya kita sendiri belum menjadi insan yang prihatin terlebih dahulu. kita juga mesti menanam perasaan kasih sayang terhadap masyarakat dan negara. Renungilah pepatah melayu yang menyebut ’bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana maufakat’.

Pepatah ini amat sesuai dan selari dengan tuntutan Islam kerana ianya dilihat menjadi suatu permulaan atau kunci ke arah membentuk masyarakat prihatin dan perpaduan sejagat, lebih-lebih lagi dalam keadaan dan suasana semasa serta sehaluan dengan apa yang diingatkan oleh pihak pemerintah pada hari ini. Justeru Islam mengalakkan umatnya sentiasa berkerjasama dan berpadu tenaga dalam semua perkara demi mencapai kebaikan sebagai usaha untuk mendapat keberkatan dan keredhaan Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2:
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).

Marilah kita menjadi masyarakat yang prihatin, bersatu padu dengan merasa bertanggungjawab di atas suasana yang berlaku ini dengan mengawasi pergerakan anak-anak kita dan apa yang berlaku di sekitar kita. Rakyat Malaysia juga perlu untuk sama-sama memikul bebanan ini. Marilah sama-sama mengerakkan aktiviti dakwah dengan memperbaiki fenomena yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Mimbar percaya dengan izin Allah SWT kita akan mampu menjadi umat yang terbaik. Ingatlah bahawa masyarakat yang prihatin merupakan masyarakat yang bertamadun dan bernegara.

Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 104:
Maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikian ialah orang yang Berjaya”.
















0 comments:

komen anda dihargai