BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Search This Blog

Selamat Datang

Selamat datang kepada semua rakan,sahabat,guru,bekas pelajar SMK Marudi dan pelajar SMK Marudi yang sedang menuntut di SMK Marudi ke laman blog saya ini.

Followers

Monday 26 December 2011

Anak Mutiara Hati..


Anak merupakan anugerah dan nikmat yang terbesar daripada Allah SWT kepada hamba-Nya. Mutiara hati bagi pasangan ibu-bapa ini akan menjadi saham dan membawa keuntungan yang berlipat kali ganda sekiranya mereka dididik dan di bentuk dengan baik serta menjadi anak yang soleh. Sebaliknya, jika mereka di abaikan tidak mustahil akan menjadi anak yang terbiar dan pada masa akan datang akan menjadi sampah kepada masyarakat dan negara. Justeru memiliki anak yang soleh serta baik budi pekertinya menjadi impian setiap ibu-bapa dan keluarga sebagaimana kisah Nabi Zakaria AS yang telah lanjut usia tetapi belum dikurniakan anak untuk menjadi pewaris keturunannya. Lalu Nabi Zakaria AS memohon dengan berdoa kepada Allah SWT agar di kurniakan anak-anak yang soleh. Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 38:



Bermaksud; “Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhan-Nya, katanya: Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan”.



Anak-anak kita sebenarnya dilahirkan dalam keadaan fitrah, ibarat sehelai kain putih yang suci lagi bersih dari sebarang kekotoran samada zahir ataupun batin, maka menjadi tanggungjawab kita sebagai ibubapa untuk mencorakkan samada untuk membentuknya menjadi insan berjaya ataupun tidak.

Sabda Rasulullah SAW:
Bermaksud: “ Apabila mati seseorang anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: sedakah jariah, ilmu yang bermanafaat dan anak yang soleh yang mendoakan” .(Riwayat iman Muslim)


Menurut Islam memberi pendidikan kepada anak-anak hendaklah dimulakan sejak awal lagi kerana pada usia sebegini segala nilai yang ditanamkan akan tersemat dalam hati sanubari mereka. Ibnu Sina pernah berpesan, katanya: “ketika anak telah mendapat asuhan ibunya, maka ajarkanlah ia adab-adab Islam sebelum ia diserang oleh nilai-nilai yang buruk”. Rasulullah SAW telah menggariskan empat tahap pendidikan kepada anak-anak iaitu: Tahap Pertama: Anak yang baru lahir sehingga mumayyiz (enam tahun) hendaklah kita banyak bergurau dan membelai mereka dengan penuh kasih sayang. Tahap Kedua: Anak berumur tujuh tahun sehingga baligh(14tahun)hendaklah kita mendidik mereka dengan arahan, disiplin dan memberi tanggungjawab kepada mereka. Tahap Ketiga: Anak berumur 15 tahun hingga dewasa (21 tahun) hendaklah dididik dengan cara berkawan, bertukar pendapat dan hormati pendapat mereka selagi yang tidak bertentangan dengan syariat. Tahap Keempat: Anak berumur lebih 21 tahun, hendaklah para ibu bapa memberikan kebebasan bertindak selagi tidak bertentangan dengan syariat. Ibu bapa hanya perlu bertindak sebagai penasihat agar segala tindakkan mereka terkawal.

Ibnu Khaldun telah membahagikan tujuan pendidikan kepada anak-anak dalam tiga bentuk: Pertama: Mempersiapkan seorang anak dari segi keagamaan, iaitu mengajarnya syiar-syiar agama menurut al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Ini akan membina akidahnya dan membentuk keperibadian keimanannya. Kedua: Mempersiapkannya dari segi akhlak, dan Ketiga: Mempersiapkannya dari segi pemikiran, ini termasuk ilmu-ilmu umum duniawi, kerana dengan memiliki pemikiran dan ilmu yang baik dan tepat seseorang itu akan mampu berdikari dan memiliki ketrampilan untuk melaksanakan tugas dengan baik.

Anak-anak hendaklah dididik dengan dipesankan sesuatu terlebih dahulu. Lihat bagaimana reaksi mereka, apakah mereka boleh melakukannya hanya selepas sekali pesanan. Jika tidak berkesan maka hendaklah dipesan berulang kali tanpa merasa jemu dan bosan. Berilah nasihat dan teguran kepada anak-anak dalam hal berkaitan akidah, ibadah, akhlak, tanggungjawab, kesihatan, kehidupan agar mereka mengenal erti yang sebenarnya. Berilah pesanan, nasihat, tegurun setiap masa walaupun kadang kala anak-anak kita akan merasa jemu dan bosan. Contohilah apa yang dilakukan oleh Lukman al-Hakim di dalam mendidik anak-anaknya.

Firman Allah SWT dalam surah Lukman ayat 13:
Bermaksud: “Dan tatkala Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: Wahai anakku, janganlah engkau mempersekutukan Allah sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar”.


Sebagai ibu-bapa kita tidak boleh mengambil sikap lepas tangan. Jangan kita beranggapan bahawa kita telah menunaikan kewajipan dan hak anak-anak apabila mereka telah dihantar ke sekolah. Ingatlah tanggungjawab kita bukan hanya memastikan agar mereka akan hidup selesa pada masa akan datang akan tetapi tanggungjawab kita juga memastikan agar mereka mempunyai prinsip yang teguh dan jatidiri yang kuat. Dari itu amat penting bagi kita memberi pendidikan agama serta menyemai akhlak mulia kepada mereka kerana dengan pendidikan agama, prinsip iman mereka akan teguh, jati diri mereka akan kuat, dengan ini akan membantu mereka menghadapi masalah-masalah sosial serta membantu mereka menghadapi cabaran masa akan datang. Tanpa prinsip ini ditakuti anak-anak kita akan mudah terpengaruh dengan pelbagai pemikiran. Sehinggakan ada sebahagian dari mereka sanggup menggadai prinsip kehidupan mereka.

Tanggungjawab memelihara anggota keluarga dari ancaman neraka tidak bererti kita hanya bersikap pasif iaitu dengan hanya mencegah mereka daripada berbagai perbuatan maksiat. Tetapi kita juga mesti bersikap aktif dalam mendidik dan menerapkan nilai-nilai murni dalam diri mereka agar pembentukan ini menjadi peranan sebagai kubu dan daya tahan yang dapat menepis dan menapis pengaruh sekitar yang penuh mencabar. Tanggungjawab ibu-bapa bukan hanya memberi arahan, tetapi perlu menonton, membimbing, mengasuh dan menunjukkan contoh yang baik untuk diteladani.Barulah pendidikan kita akan memberikan kesan untuk mencapai matlamat pembentukan nilai murni serta prinsip yang kukuh dalam diri anak-anak.

Sebagaimana yang kita maklum, musim cuti sekolah ini insan yang paling seronok ialah anak-anak kita. Inilah masa untuk mereka melarikan diri buat sementara dari alam persekolahan. Anak-anak memang mahu bebas daripada belenggu buku-buku sekolah.Mereka mahu berseronok setelah penat mentelaah pelajaran sepanjang tahun. Namun, ada juga dalam kalangan anak-anak kita yang tidak tahu apa aktiviti-aktiviti yang ingin dilakukan pada waktu cuti ini. Dalam fikiran mereka hanya hiburan dan keseronokan yang dicari.Tidak hairanlah sekiranya cuti sekolah yang panjang dihabiskan dengan membuang masa dengan melepak, melayari internet atau melakukan perkara yang tidak mendatangkan feadah. Berdasarkan laporan terdapat puluhan jenis gejala sosial yang mencetuskan kebimbangan dalam kesejahteraan hidup anak-anak kita antaranya merokok, merempit, menonton video lucah, putus cinta, mencuri, lari dari rumah, minum arak, pil khayal, berjudi, simpan gambar lucah, hubungan jenis luar nikah, peras ugut, pecah rumah, menagih dadah, rogol, samun, jenayah bunuh dan lain-lain lagi.Terkini ada dari kalangan anak-anak kita yang di ambil kesempatan oleh pihak penjenayah untuk dijadikan kaldai dadah dan terlibat dalam sendikit pelacuran.

Sebagai ibu- bapa, kita seharusnya mengajar anak-anak supaya menggunakan masa dengan bijak. Masa cuti sekolah bukan semata-mata untuk berseronok dan melupakankan terus pelajaran. Ibu- bapa perlulah mengambil peluang ini untuk mengatur program-program yang bermanfaat buat anak-anak seperti menghadiri kem ibadah dan motivasi yang dianjurkan oleh pelbagai pihak. Jadilah ibu- bapa yang prihatin dan mengambil berat terhadap anak-anak. Rancanglah sesuatu agar dapat memanfaatkan cuti sekolah anak-anak dengan sebaik-baiknya. Jangan biarkan mereka sendiri yang menguruskan masa cuti tanpa sebarang pemantauan atau panduan daripada ibu- bapa .

Marilah kita bersama-sama menjaga dan mendidik anak-anak yang diamanahkan oleh Allah SWT kepada kita. Didiklah mereka dengan kehidupan beragama, agar mereka dapat berbakti kepada keluarga, masyarakat dan negara. Isilah masa kehidupan mereka dengan perkara-perkara yang boleh memberi manafaat. Ingatlah wahai muslimin sekalian bahawa mutiara hati ini merupakan sebahagian daripada amanah daripada Allah SWT yang akan di persoalkan di akhirat nanti.

Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 72: Bermaksud: “ Sesungguhnya Kami telah kemukakan amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya; dan manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan jahil.”

MEMBINA MASYARAKAT PRIHATIN..


Mutakhir ini hampir setiap hari dilaporkan oleh media massa akan pelbagai fenomena gejala sosial yang sedang melanda masyarakat negara kita. Perlakuan buruk ini bukan hanya melibatkan golongan remaja tetapi juga di kalangan dewasa. Di antara beberapa fenomena gejala sosial yang amat membimbangkan kita ialah seperti kes pembuangan bayi , penderaan kanak-kanak , kes bersekedudukan sehingga melahirkan zuriat tanpa nikah, kes dadah, arak, rogol, mencuri, pecah rumah dan sebagainya. Pada pemerhatian mimbar kebanyakan kes tersebut melibatkan masyarakat melayu yang beragama Islam yang berlaku di sekeliling kita. Persoalan besar timbul ialah kenapa ianya berlaku?. Adakah ia mengambarkan bahawa agama Islam itu sendiri gagal mendidik umatnya? atau sikap masyarakat Islam yang tidak prihatin dan mempedulikan apa yang berlaku di sekelilingnya sehingga ada mayat di sebelah rumah, anak kecil di dera atau jiran di rompak pun kita tidak mempedulikannya. Adakah ini ajaran Islam yang sebenar kepada umatnya?. Mimbar merasa yakin bahawa sikap yang sebegini bersalahan dari tatacara hidup Islam yang sebenar kerana umat Islam itu bersaudara, saling bantu-membantu, faham-memahami antara satu sama lain sebagaimana hadith Rasulullah SAW:
Maksudnya: “ Seorang mukmin terhadap seorang mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan di mana sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain.” (hadis Riwayat Muslim )

Manusia yang dijadikan Allah SWT seolah-olah satu badan, jika sakit satu bahagian anggota maka anggota lain turut merasakan. Tidak beriman seseorang mukmin sekiranya mereka tidak mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri. Alangkah ruginya sekiranya kita hanya berdoa ke hadrat Allah SWT untuk kebaikan diri kita sahaja sedangkan jiran dan masyarakat yang lain di biar dalam kemungkaran.

 Hadith Rasulullah SAW: Maksudnya: “Tidak beriman seseorang itu sehinggalah ia mengasihi saudaranya seperti mana ia mengasihi dirinya” (Hadith Riwayat Muslim)

Ingatkah kita bagaimana suasana masyarakat yang dipupuk oleh nenek moyang kita suatu ketika dahulu. Jika kita kenang dan renung kembali amalan oleh generasi terdahulu maka kita akan sedar betapa murni dan bijaknya mereka menjaga kita. Sesuatu kesalahan dilakukan bilamana dilihat oleh seseorang maka mereka segera menegur atau memarahi tanpa mengira siapa dan anak siapa. Lebih dari itu ibu bapa juga akan dimaklumkan dan anak yang nakal itu akan mendapat habuan seperti dimarahi atau dipukul oleh ibu bapa. Keadaan ini akan menyebabkan anak-anak tidak berani melakukan kesalahan walaupun di belakang ibu bapa mereka kerana mereka sedar bahawa semua orang akan mengambil berat terhadap mereka dan tidak timbul langsung perasaan takut untuk menegur. Berbeza sama sekali dengan pemikiran sesetengah ibu bapa pada zaman moden ini di mana konsep tegur menegur seolah-olah tidak lagi relevan dalam kehidupan mereka.

Masyarakat yang prihatin, saling tegur -menegur mampu menjamin keselamatan dan keharmonian terutama daripada ancaman gejala sosial dengan cara muafakat, samaada melalui rukun tentangga, unit kawalan kampung atau melalui kempen-kempen kesedaran. Dalam masa yang sama dapat memainkan peranan melaporkan kepada pihak berwajib setiap kali menyedari berlakunya perkara-pekara yang ganjil dan meragukan dalam masyarakat. Kerana itu, membina ikatan yang kuat dan kerjasama sesama kita adalah syarat utama bagi menjamin keselamatan dan keharmonian masyarakat. Sedarlah bahawa kita tidak lagi hidup di dalam gua seperti di zaman purba, Kita hidup bermasyarakat, berkomoniti, berhubung antara satu sama lain , saling bergantungan ibarat pepatah “berat sama dipikul ringan sama di jinjing”.

Masyarakat yang sentiasa mengambil berat antara satu sama lain menjadi elemen penting dalam usaha membangun negara. Marilah kita bertanya kepada diri kita semua, apakah erti pembangunan yang kita bangunkan pada hari ini, jika pada masa yang sama akhlak manusiawi runtuh roboh. Mimbar percaya jika masyarakat bersikap prihatin, isu -isu gejala sosial tidak akan berlaku kerana setiap masa dan tempat diperhatikan. Ingatlah bahawa gejala sosial merupakan isu yang melanda kehidupan manusia sepanjang zaman. Porak-peranda kehidupan masyarakat adalah berpunca daripada wujudnya golongan rosak akhlak yang membelakangkan agama dengan mengutamakan hawa nafsu. Namun permasalah ini tidak dapat di atasi selagi masyarakat mengamalkan sikap keakuan dengan mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan apa yang berlaku di sekelilingnya

Usaha kita membina semangat hidup bermasyarakat tidak akan terlaksana sekiranya kita sendiri belum menjadi insan yang prihatin terlebih dahulu. kita juga mesti menanam perasaan kasih sayang terhadap masyarakat dan negara. Renungilah pepatah melayu yang menyebut ’bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana maufakat’.

Pepatah ini amat sesuai dan selari dengan tuntutan Islam kerana ianya dilihat menjadi suatu permulaan atau kunci ke arah membentuk masyarakat prihatin dan perpaduan sejagat, lebih-lebih lagi dalam keadaan dan suasana semasa serta sehaluan dengan apa yang diingatkan oleh pihak pemerintah pada hari ini. Justeru Islam mengalakkan umatnya sentiasa berkerjasama dan berpadu tenaga dalam semua perkara demi mencapai kebaikan sebagai usaha untuk mendapat keberkatan dan keredhaan Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2:
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).

Marilah kita menjadi masyarakat yang prihatin, bersatu padu dengan merasa bertanggungjawab di atas suasana yang berlaku ini dengan mengawasi pergerakan anak-anak kita dan apa yang berlaku di sekitar kita. Rakyat Malaysia juga perlu untuk sama-sama memikul bebanan ini. Marilah sama-sama mengerakkan aktiviti dakwah dengan memperbaiki fenomena yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Mimbar percaya dengan izin Allah SWT kita akan mampu menjadi umat yang terbaik. Ingatlah bahawa masyarakat yang prihatin merupakan masyarakat yang bertamadun dan bernegara.

Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 104:
Maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikian ialah orang yang Berjaya”.
















komen anda dihargai