BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Search This Blog

Selamat Datang

Selamat datang kepada semua rakan,sahabat,guru,bekas pelajar SMK Marudi dan pelajar SMK Marudi yang sedang menuntut di SMK Marudi ke laman blog saya ini.

Followers

Thursday, 10 June 2010

Persediaan Awal Sebelum Melangkah ke Alam Barzakh


Rasulullah s.a.w telah memberikan panduan kepada umatnya melalui hadis baginda sebagai satu panduan untuk membuat persediaan awal sebelum melangkah ke alam barzakh.
Sabda Rasulullah s.a.w Maksudnya: “ Apabila seseorang manusia itu meninggal, maka terputuslah segala pahala amalannya, melainkan tiga amalan yang kekal berterusan walaupun selepas kematian, iaitu amalan soleh, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh kepada kedua ibu bapanya”. (Hadis riwayat muslim)

Hadis tersebut menjelaskan kepada kita bahawa terdapat tiga amalan utama yang perlu dilakukan oleh setiap muslim semasa hidupnya di dunia, sebagai bekalan menuju ke alam akhirat.
 Amalan pertama ialah sedekah jariah atau membelanjakan harta pada jalan Allah.
Perlu difahami bahawa menafkahkan harta pada jalan Allah bukan hanya terhad kepada membelanjakan harta di jalan jihad Fisabilillah, malah ia turut mencakupi amalan berzakat, bersedekah, menderma, mewakaf, perbelanjaan kepada ahli keluarga dan kaum kerabat, serta apa-apa sumbangan kebajikan untuk maslahah umum.

Amalan kedua ialah menimba ilmu sama ada ilmu duniawi mahu pun uhkrawi .
Islam adalah ad-din yang mengimbangi antara keperluan dunia dan akhirat. Islam menggalakkan umatnya agar menuntut ilmu sebanyak mungkin dan Allah S.W.T. telah mengangkat darjat orang yang berilmu berbanding dengan orang yang tidak berilmu. Hanya dengan ilmu sahajalah seseorang muslim dapat memantapkan iman dan mempertingkatkan amal soleh serta mengikhlaskan niatnya hanya kepada Allah S.W.T. Baginda Rasululah S.A.W. pernah menyatakan kelebihan ilmu melalui hadis baginda yang telah diriwayatkan oleh at-Termizi yang bermaksud:
“ Sesiapa yang berusaha menuntut ilmu, maka Allah permudahkan baginya jalan menuju syurga. Para malaikat melebarkan sayapnya sebagai tanda keredhaan keatas penuntut ilmu dan seluruh isi alam langit dan bumi serta ikan di lautan mengucapkan istighfar (memohon keampunan daripada Allah S.W.T. ) terhadap orang yang menuntut ilmu. Sesungguhnya kelebihan orang berilmu itu mengatasi orang yang abid (ahli ibadat) adalah seumpama sinaran bulan purnama keatas gugusan bintang di langit .”

Amalan ketiga yang pahalanya berterusan sehingga ke alam akhirat ialah doa kebaikan seorang anak yang soleh setelah ibu atau bapanya meninggal dunia. Alangkah beruntungnya ibu bapa, yang mampu mendidik anak-anaknya sehingga menjadi anak-anak yang soleh dan taat kepada Allah S.W.T. Dalam masa yang sama, anak-anak juga diasuh supaya menjadi generasi harapan yang akan menyumbang bakti berguna kepada agama, bangsa dan negara tercinta. Inilah di antara ciri- ciri anak soleh yang memiliki kekuatan rohani dan kehebatan jasmani yang doanya amat bernilai kepada kedua orang tua. Sesungguhnya anak yang soleh adalah pelaburan jangka panjang, yang amat berharga kepada kedua ibu bapa apabila mereka meninggal kelak. Rasulullah s.a.w pernah menegaskan dalam sabdanya diriwayatkan oleh al-Baihaki yang bermaksud:

“ Orang yang mati dalam kuburnya tidak ubah seperti seorang yang sedang kelemasan meminta pertolongan. Dia sedang menunggu hingga sampai kepadanya rahmat sesuatu doa daripada bapanya, saudaranya ataupun sahabat handainya. Jika sampai doa kepadanya, maka itulah yang amat disukainya berbanding dengan segala isi dunia. ”

Demikianlah antara beberapa amalan soleh yang perlu diamalkan sebagai persiapan menuju kehidupan hakiki. Sedarilah bahawa kehidupan dunia ini hanyalah sementara dan kehidupan hakiki adalah di akhirat. Justeru, sebelum terlambat bersegeralah kita melakukan sebanyak-banyak kebaikan dan dalam masa yang sama menjauhkan daripada segala kemungkaran serta bersungguh-sungguh mendidik anak-anak agar menjadi insan yang benar-benar beriman dan bertaqwa.


Semoga tuan-tuan dan puan-puan beroleh manfaat dan keberkatan.Amiin

4 comments:

Ahmad Tajuddin said...

subhanallah,baru td khutbah jumaat khatib menyentuh pasal sakaratul maut....

humairah said...

Ingat mengingati sesama muslim.Sesungguhnya peringatan itu amat berguna bagi orang yang beriman.

Anonymous said...

Aku hanya menambahkan halaman web Anda ke favorit saya. Saya suka membaca posting Anda. Terima kasih!

Anonymous said...

Aku hanya menambahkan feed Anda ke favorit saya. Saya sangat menikmati membaca posting Anda.

komen anda dihargai