BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Search This Blog

Selamat Datang

Selamat datang kepada semua rakan,sahabat,guru,bekas pelajar SMK Marudi dan pelajar SMK Marudi yang sedang menuntut di SMK Marudi ke laman blog saya ini.

Followers

Tuesday, 6 April 2010

MENGHARGAI ZAMAN MUDA


         Setiap negara pasti mengharapkan untuk mempunyai rakyat yang mampu menyumbang ke arah kemajuan, kejayaan dan keamanan. Semua itu hanya dapat dicapai dan diperolehi jika rakyat negara itu mempunyai sahsiah dan jati diri yang unggul serta cemerlang; sama ada melalui generasi muda belia atau pun generasi tua.

            Kementerian Belia dan Sukan mentakrifkan belia sebagai golongan muda yang berumur antara 15 hingga 25 tahun, dan ia selaras dengan takrif yang diberikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Manakala Islam pula mentakrifkan belia sebagai satu fasa umur alam baligh yang menerima tanggungjawab (taklif) atas setiap perbuatan yang dilakukan. Menurut Jabatan Perangkaan, jumlah golongan belia di negara ini pada tahun 2008 mencecah seramai 16 juta orang. Angka ini memberi gambaran bahwa negara akan menghadapi cabaran hebat dalam aspek pembinaan dan pengurusan belia di masa hadapan.


           Belia adalah harta yang amat berharga serta tonggak dan kekuatan masa depan negara. Mereka juga adalah pewaris kepimpinan negara dan kesinambungan umat di masa hadapan. Justeru itu adalah perlu golongan belia ini diasuh, dididik dan dibimbing ke jalan yang benar dan diredhai Allah s.w.t. sehingga mampu menjadi generasi yang boleh diharapkan dan dibanggakan iaitu belia yang beriman, berilmu, beramal dan berakhlak mulia. Inilah yang menjadi cita-cita negara kita untuk mempunyai belia yang berkualiti sebagaimana yang diharapkan melalui tema sambutan Hari Belia Kebangsaan pada tahun ini iaitu Belia Berwawasan Penggerak Kejayaan.


                  Persoalan besar timbul ialah ke manakah hilangnya wawasan belia hari ini? Saban hari kita masih mendengar berita-berita yang tidak baik tentang segelintir belia, dan hanya beberapa cebis kisah kejayaan dan kecemerlangan yang telah diraih oleh mereka. Kes-kes salah laku jenayah sivil, jenayah syariah, masalah disiplin dan adab sering dikaitkan dengan belia. Hal ini tentunya mengundang rasa rungsing dan gusar di kalangan ibu bapa, masyarakat dan pemimpin negara. Justeru Rasulullah s.a.w. berpesan kepada semua golongan belia agar dapat memanfaatkan umur dan masa muda dengan sebaik-baiknya.



Imam Hakim telah meriwayatkan bahawa Ibnu Abbas r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:


Mafhumnya: “ Rebutlah lima perkara sebelum kamu di datangi oleh lima perkara lain. Masa mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa kayamu sebelum miskin, masa lapangmu sebelum sempit, dan masa hidupmu sebelum mati.”Berdasarkan hadith tadi, jelas bahawa belia yang cemerlang adalah mereka yang memanfaatkan masa dengan betul seperti dengan usaha menuntut ilmu, berbuat kebaikan dan paling penting memantapkan diri dengan iman dan taqwa. Dengan iman dan taqwa, jati diri belia dapat dipertingkatkan dan menjadi mantap. Mereka tidak mudah goyah dan goncang oleh pengaruh anasir-anasir dan gejala-gejala yang merosakkan jiwa, minda, akidah dan akhlak seperti penyalahgunaan dadah, alkohol, zina, lumba haram, ajaran sesat, dan sebagainya.






Antara faktor yang dikenalpasti sebagai punca berlaku penyelewengan akidah dan berkembangnya gejala sosial adalah kurang didikan dan penghayatan agama di kalangan belia akibat pengaruh persekitaran. Apa yang penting, belia hendaklah mengisi diri dengan ilmu agama dan pelbagai ilmu serta kemahiran hidup di samping berusaha menjadikan diri sebagai hamba yang soleh, generasi yang berkualiti, umat yang cemerlang berlandaskan ajaran Islam yang sebenar.


      Islam telah menggariskan peranan dan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan sebagai seorang belia muslim yang bersifat teguh iman, taat perintah Allah dan Rasul, mengasihi dan menjejaki sunnah Rasul-Nya dalam setiap cara hidup, baik urusan dunia mahupun akhirat.






            Selain itu, para belia juga adalah bertanggungjawab mentaati Raja dengan mematuhi titah perintahnya selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Paling penting juga, kepatuhan dan ketaatan belia kepada kedua-dua ibu dan bapa.


firman Allah s.w.t. dalam surah al-Israa’ ayat 23:
Maksudnya: “ Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan 'ah', dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia.”



Dalam hal ini kita juga dituntut untuk berbakti, mengasihi, menghormati serta sentiasa menyenangkan hati kedua ibu bapa dengan memelihara tingkah laku dan tutur kata yang lemah lembut serta bersopan. Sentiasalah berdoa untuk kesejahteraan ibu bapa walaupun setelah mereka meninggal dunia.
                                       
Pada masa sama, belia juga berperanan menegakkan syiar agama Islam dengan menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Kerana amalan tersebut boleh menjadi benteng untuk menangkis segala gejala buruk dari merosakkan jiwa dan meracun minda yang akibatnya boleh merosakkan belia dan masa depan


         Hakikatnya, belia yang telah memenuhi tanggungjawab mereka adalah belia yang cemerlang dan menjadi harapan negara di masa depan. Mereka menjadi contoh dan ikutan yang baik untuk dituladani demi kecemerlangan ummah. Ketahuilah, belia yang sentiasa melakukan amal ibadat dengan tekun dan ikhlas dijanjikan dengan kedudukan yang tinggi serta tergolong ke dalam tujuh golongan yang mendapat perlindungan di hari kiamat ketika berada di padang Mahysar kelak.


            Imam Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang mafhumnya, terdapat tujuh golongan yang dilindungi oleh Allah s.w.t. pada hari kiamat kelak iaitu imam yang adil, dan pemuda yang hidup sejak kecil hingga matinya sentiasa beribadat kepada Allah s.w.t.




0 comments:

komen anda dihargai