Sebagai seorang Muslim kita wajib mempercayai akan adanya syurga dan neraka yang mana setiap manusia akan mengalaminya.Orang yang beramal soleh akan ke Syurga manakala orang yang ingkar akan ke Neraka. Semua orang Islam yang beriman berkeyakinan sedemikian.Persoalan besar timbul ialah apakah kita menyedari bahawa gaya hidup dan tingkah laku kita sehari-hari itu termasuk sebagai persediaan sebagai ahli Syurga atau telah pun tergelincir sebagai ahli Neraka.
Gaya hidup dan tingkah laku manusia yang beruntung ialah hidup yang selalu diisi dengan amalan soleh iaitu melaksanakan hak-hak Allah, mengerjakan kebajikan dan melakukan perbuatan yang membawa kebaikan kepada masyarakat atau manusia umumnya. Ketahuilah bahawa setiap kebajikan atau kejahatan yang kita lakukan akan dicatat, direkod dan dikumpulkan oleh Allah SWT dengan perantaraan malaikat-malaikatnya untuk diperhitungkan dan dipertanggungjawabkan ke atas kita di akhirat kelak.
Allah SWT menjadikan kita di dunia ini bukan dengan tujuan sia-sia atau secara main-main tetapi ada tanggungjawab tertentu. Kerana itulah manusia diberi akal fikiran supaya tidak terikut-ikut dengan gaya hidup yang tidak sempurna. Dengan demikian amat rugilah manusia jika manusia bertingkah laku sedemikian.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Mukminun, ayat 115:
Bermaksud: “Maka adakah patut kamu menyangka bahawa kami hanya menciptakan kamu sia-sia sahaja? Dan kamu tidak akan dikembalikan kepada kami?.”
Dengan demikian kita sebagai manusia yang berakal hendaklah celik akal dan celik mata supaya kehidupan kita selari dengan ajaran Islam dan menjauhi daripada gaya hidup yang penuh dengan budaya maksiat. Manusia yang bebas daripada budaya maksiat akan membentuk masyarakat yang bertamadun dan berintegriti.
Orang yang baik bukan hanya sekadar melakukan kebaikan sahaja tetapi mestilah juga meninggalkan segala keburukan dan mencegahnya. Seseorang itu tidaklah dinamakan baik apabila ia pada sebelah pagi melakukan kebaikan tetapi apabila sebelah petang pula melakukan kejahatan.
Oleh itu, untuk mengelakkan kita tidak rugi atau menyesal, maka marilah kita mengambil kesempatan dalam tempoh hidup yang pendek ini kita gunakan untuk melakukan kebaikan sebanyak-banyaknya dan menghindarkan perbuatan yang merosakkan masyarakat.
Sebagai renungan kita perhatikan Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Bermaksud: “Seorang lelaki telah melalui sebatang jalan dan ternampak satu ranting pokok yang berduri lalu dialihkannya ke tepi. Maka Allah melimpahkan kasihnya kepada lelaki tersebut dan diberikan keampunan keatasnya.”
Menurut Hadis ini, walaupun menjauhkan sebatang duri daripada tengah jalan kelihatan mudah tetapi pekerjaan berkebajikan ini dianggap oleh Allah sebagai satu kebajikan yang besar kerana boleh mengurangkan kesusahan dan penderitaan manusia sejagat.
Janganlah kita berangan-angan ingin memasuki Syurga Allah SWT sedangkan usaha dan gaya hidup kita dipenuhi dengan budaya maksiat. Oleh kerana itu, setiap kita yang mengaku beriman dan ingin ke Syurga perlu membuktikannya dengan melakukan amal ibadah dan amal soleh yang bersungguh-sungguh. Sebagai persediaan menjadi manusia yang soleh maka kita perlu mengambil langkah berikut:
Pertama : Memperbanyakkan amal soleh dan menjauhi kejahatan,
Kedua : Memastikan kehidupan kita sehari-hari tidak bercanggah dengan hak-hak Allah dan hak-hak manusia,
Ketiga : Memperbanyakkan kebajikan kepada manusia seperti membantu mengurangkan kesusahan dan mempercepatkan urusan yang melibatkan kepentingan manusia, dan
Keempat : Memastikan dalam kehidupan seharian tidak mencampur adukkan perkara yang halal dan perkara yang haram.
Ini adalah sorotan khutbah yang pernah dibaca oleh saya di Masjid Besar Marudi,baram,Sarawak.
1 comments:
thanks atas info dan entry y mbangun :)
terima kasih cikgu:)
Post a Comment