Belia adalah aset yang amat berharga. Merekalah tonggak kekuatan generasi serta pewaris kepimpinan masa depan negara. Menurut Kementerian Belia dan Sukan, golongan belia adalah merujuk kepada mereka yang berumur diantara 15 hingga 40 tahun. Pada masa ini golongan belia dianggarkan seramai 11.9 juta orang atau 41.5% daripada keseluruhan penduduk negara ini yang berjumlah seramai 28 juta orang.
Berdasarkan peratusan yang besar ini dan selari dengan wawasan belia pemacu pembangunan satu ummah dan satu Malaysia, maka amat wajar golongan ini diasuh, dididik dan dibimbing menjadi generasi belia ulul albab. Secara umumnya generasi belia ulul albab adalah merujuk kepada belia yang bertakwa, memiliki akal fikiran sempurna, berilmu, kreatif lagi berupaya menyelamatkan dirinya dari pengaruh hidup budaya berdosa serta mampu menjadi pemangkin agar orang lain juga berubah ke arah yang sedemikian.
Kehebatan generasi belia seperti ini menjamin kemakmuran dan kemajuan negara di masa depan, ia selari dengan tema sambutan Hari Belia Negara pada tahun ini iaitu Belia Kreatif Pemacu Pembangunan Negara. Persoalan besar timbul ialah bagaimana usaha untuk melahirkan generasi belia ulul albab ini?.
Berdasarkan sejarah Islam, penglibatan pendakwah negara berjiwa besar memberi sumbangan sangat beerti dalam membentuk remaja dan belia ulul albab. Soalnya, siapakah sebenarnya pendakwah negara ini?. Rasulullah SAW selain sebagai pemimpin umat, adalah seorang ketua pendakwah negara yang memberi penekanan khusus membimbing belia dengan cara menggesa mereka sentiasa taat beribadah kepada Allah, berakhlak mulia, menjaga kesihatan akal, kebersihan jasmani dalam semua sudut yang membawa kepada kesempurnaan peribadi.
Bimbingan ini akan mencorakkan jati diri yang beramanah dan bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara. Sabda Rasulullah SAW:Mafhumnya: “ Sesungguhnya Allah sangat kagum kepada pemuda yang tidak ada padanya kelakuan pelik dan menyeleweng”(Riwayat Ahmad.)
Berdasarkan hadith ini, pemuda soleh adalah individu yang menerima amanah paling baik sehingga kelihatan coraknya pada akhlak mereka. Generasi pemuda soleh ini terus lahir seperti Khulafa’ al-Rasyidin, pemimpin tentera, pemimpin kerajaan di zamannya juga bertindak sebagai pendakwah negara. Mereka berdakwah, mentarbiah dan temu-mesra dengan kumpulan sasar serta menjadi contoh teladan kepada masyarakat khususnya para belia.
Sejarah juga telah merakamkan tentang kegigihan tentera Islam sejak kerajaan Umaiyyah, Abasiyah dan Kepimpinan awal kerajaan Othmaniah Turki untuk menawan Kota Konstantinopel (Istanbul) tetapi gagal. Namun satu ketika tampil seorang anak muda iaitu Sultan Muhammad Al-Fateh, Sultan Kerajaan Othmaniah Turki bangkit menghidupkan cahaya dakwah. Dalam usia 21 tahun baginda berjaya menawan semula kota Konstantinopel daripada Rom. Antara penyebab kejayaan tersebut ialah tertanamnya kekuatan bijak, pintar dan kreatif .
Kota tersebut menjadi laluan dan menjadi pintu masuk penyebaran Islam di Eropah. Antara kata-kata keramat baginda ketika melancarkan percubaan akhir pada hari ke 53 kepungan untuk menawan Kota Konstantiopel ialah, “ Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah, sesiapa yang mahu syahid, ikutilah aku”. Menurut riwayat, baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat sunat rawatib dan solat tahajjud sejak baligh lagi. Demikianlah contoh kepimpinan pendakwah negara dimana kekuataan rohani tidak dapat dipisahkan dalam diri mereka sebagai pemimpin.
Justeru itu menjadi tanggungjawab mimbar mengingatkan sidang jumaat dan umat Islam sekalian bahawa corak tingkah laku golongan belia masakini merupakan cerminan masa depan sesebuah negara. Wahai jemaah dan umat Islam sekalian, demi golongan belia yang kita kasihi, jalankan tugas dakwah dengan penuh hikmah. Tugas berdakwah adalah fardhu ‘ain dan tidak boleh diserah kepada golongan tertentu sahaja. Dalam usaha membentuk akhlak murni kumpulan sasar yang besar ini, maka mimbar menyeru semua pemimpin dalam pelbagai peringkat marilah tampil kedepan bertindak sebagai pendakwah negara sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.
Jangan di biarkan api mendekati minyak, kerana ia akan menyemarakkan lagi api tersebut. Begitu juga dengan penyebaran budaya yang menyemarakkan gelojak nafsu dan syahwat. Lebih-lebih lagi pada era dunia tanpa batas dan teknologi media elektronik, internet atau CD/VCD yang sangat mudah diperolehi dan murah pula harganya. Ingatlah dan insaflah bahawa hawa nafsu dan syahwat merupakan ujian yang besar untuk manusia, lebih-lebih lagi kepada golongan remaja dan belia. Jika punca dan tempat yang menaikkan nafsu tidak dibendung atau ditutup, maka selagi itulah gejala keruntuhan akhlak dan moral akan terus berleluasa. Penglibatan dengan dadah, berzina, pembuangan bayi, minum arak dan penglibatan dalam gejala sosial lainnya adalah berpunca daripada kegagalan mengawal gelora syahwat dan hawa nafsu.
Kehendak nafsu yang berunsur syahwat sentiasa mencabar setiap peringkat kehidupan ia boleh menjatuhkan kualiti akhlak manusia setaraf dengan binatang. Ibnu Abbas RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah mengingatkan sabdanya,
Mafhumnya: “ Rebutlah lima perkara sebelum kamu di datangi oleh lima perkara lain. Masa mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa kayamu sebelum miskin, masa lapangmu sebelum sempit, dan masa hidupmu sebelum mati”(Riwayat : al-Hakim dan Ibnu Majah).
Selain itu, Allah SWT berfirman dalam surah Al-Kahfi ayat 13 dan 14:Maksudnya: “Kami ceritakan kepadamu hal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk Dan Kami kuatkan hati mereka, semasa mereka bangun lalu berkata: Tuhan kami ialah tuhan yang menciptakan dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak akan menyembah Tuhan yang lain selain-Nya; jika tidak bermakna kami memperkatakan sesuatu yang jauh dari kebenaran.”
Sesungguhnya agama Islam berkehendakan supaya setiap umatnya menjadi sebaik-baik manusia yang sempurna keperibadiannya, mulia budi pekertinya dan menjadi teladan yang baik kepada orang lain. Rasulullah SAW pernah menasihatkan kita dalam sabdanya:
Maksudnya: Sebaik-baik manusia ialah orang-orang yang bermanfaat kepada orang lain.(Riwayat Al-Tabarani)
Hadith ini menjelaskan bahawa manusia yang baik menurut pandangan Islam ialah orang yang hidup menggunakan sepenuhnya potensi yang ada untuk memajukan keluarga, masyarakat, bangsa, agama dan negara. Mimbar amat yakin generasi belia ulul albab inilah yang menjadi cita-cita negara kita untuk membentuk belia yang kreatif, pencetus dan pembina tamadun Islam yang dihormati dan disegani oleh masyarakat dunia.
Marilah kita khususnya golongan belia memastikan kehidupan kita di dunia ini mendapat perlindungan Allah SWT. Ini selaras dengan hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA mafhumnya: Bahawa terdapat tujuh golongan manusia yang dilindungi Allah SWT pada hari akhirat iaitu :
Pertama : Pemimpin yang adil
Kedua : Pemuda yang hidup dalam beribadah kepada Allah SWT
Ketiga : Orang yang mengingati Allah SWT ketika bersendirian lalu
menitis airmatanya
Keempat : Orang yang hatinya bergantung kepada masjid
Kelima : Orang yang saling berkasih sayang kerana Allah SWT semata-mata
Keenam : Lelaki yang digoda oleh perempuan yang cantik tetapi mengatakan aku takut kepada Allah SWT
Ketujuh : Orang bersedekah dan memyembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang dibuat oleh tangan kanan.
Marilah kita sama-sama berdoa mudah-mudahan generasi belia negara kita sentiasa diberikan taufik hidayah oleh Allah SWT dan seterusnya berjaya memainkan peranannya yang sebenar dalam memacu pembangunan negara bangsa yang maju dan dihormati lagi dikasihi Allah SWT.
Maksudnya: “(ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: "Wahai Tuhan kami! kurniakanlah kami rahmat dari sisimu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami". (surah Al-Kahfi ayat; 10)
2 comments:
terima kssih kerana saling ingat mengingati...entri yang berguna untuk remedy ni
haishh..apsal ellis x leh nak tglkan jejal kat shoutmix neh...
Post a Comment